Terkini | New

XX RAY III

XX RAY III 
‘Tampil Dengan Misi Selamatkan Dunia’ Tiga remaja cuba menghentikan kegiatan seorang hartawan muda daripada menggunakan ‘probe’ untuk mensabotaj Kerajaan Malaysia tanpa menyedari ia boleh memusnahkan keseluruhan sistem suria. 


Sekitar tahun 90an, filem bergenre fiksyen sain - XX RAY dan XX RAY ll antara filem arahan pengarah tersohor Aziz M Osman yang mendapat sambutan box office. Setelah lebih 24 tahun, kini pengarah berkenaan telah kembali muncul dengan XX RAY III, melengkapkan siri filem tersebut sebagai sebuah trilogi. 



Menurut Aziz, tercetusnya idea untuk menghasilkan filem XX Ray III adalah bermula pada tahun 2015 oleh desakan peminat genre filem fiksyen sains. ‘Desakan peminat filem tempatan yang merasakan filem fiksyen sains ini kurang dihasilkan oleh karyawan filem kita merupakan antara faktor saya menghasilkan XX Ray lll.’ 



 ‘Biarpun mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sambungannya, namun saya percaya jenama XX Ray masih lagi menjadi ingatan peminat,” ujarnya. Menurut Aziz untuk filem terbaharunya itu, sesi penggambaran merangkumi dua peringkat dan mengambil masa selama 40 hari. 

Untuk penggambaran peringkat pertama, ia dilakukan pada tahun 2015 dan peringkat seterusnya dua tahun kemudian di beberapa buah lokasi seperti Melaka, Johor dan Jordan. Antara barisan pelakon yang membintangi XX Ray lll seperti Izzue Islam, Nonni Nadirah, Adam John, Dazrin Kamaruddin, Ardell Aryana, Asyraf Muslim, Saiful Apek dan ramai lagi. Mengenai pemilihan pelakon pula, Aziz meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pelakon muda untuk menjadi teraju utama dan turut mengekalkan pelakon sebelum ini iaitu dirinya dan Datuk Jalaluddin Hassan yang pernah muncul dalam XX Ray ll. 




‘Saya tidak terlalu cerewet dalam pemilihan pelakon dan percaya mereka antara pelakon yang digemari penonton. Selain itu, saya melihat setiap barisan pelakon juga telah memberikan yang terbaik untuk menjayakan watak yang diberikan.’ ujarnya. Pada masa yang sama, 

Aziz turut menegaskan hasil filem XX Ray lll itu akan memberikan nafas baharu dari sudut persembahan jalan cerita dan visual yang tiada pada filem tempatan.