Terkini | New

PESTA FUTSAL RAKYAT 2019 - PIALA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD 2019 “Pertandingan di Era Digital”

PESTA FUTSAL RAKYAT 2019 - PIALA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD 2019
“Pertandingan di Era Digital”

Melalui penganjuran kali pertama di bawah naungan Perdana Menteri
Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pesta Futsal Rakyat 2019 – Piala Tun Dr. Mahathir
Mohamad akan menjadi sebuah fenomena terbaru Malaysia dengan sasaran merevolusikan
penganjuran melalui pelaksanaan secara digital.






Melalui penganjuran oleh Futsal.Asia, jelajah Piala ke setiap zon di seluruh Semenanjung
Malaysia – Pahang, Kedah, Selangor dan Johor – yang dipertandingkan menerusi tiga kategori
utama; Bawah 12 Tahun, Bawah 16 Tahun dan Kategori Terbuka Lelaki manakala Kategori
Terbuka Wanita akan dipertandingkan di “Grand Final”.

Dengan tawaran hadiah dan wang tunai melebihi RM200,000 untuk dimenangi, dianggarkan
lebih 10,000 orang peserta dijangka hadir. Pertandingan yang berlangsung sepanjang dua bulan
itu mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan dan MYE.G. Services
Berhad (MYEG) selaku penaja utama.

“Acara sukan seperti ini merupakan cara terbaik mempromosikan sukan seperti futsal dan dalam masa yang sama memberi ruang kepada bakat-bakat baru menonjolkan potensi mereka. Dari pihak MYEG, kami gembira kerana dapat memberikan sokongan kepada usaha memupuk semangat kesukanan yang akan melahirkan pemimpin muda yang berpotensi dan menyumbang secara positif kepada masyarakat,” kata Pengarah Eksekutif MYE.G. Services Berhad, Y.H.M
Dato’ Haji Raja Munir Shah Raja Mustapha.

Pesta ini akan melibatkan beberapa siri aktiviti dan pertandingan yang berakhir di acara
kemuncak Grand Final bertempat di Uptown Sports, Bangi pada 31 Ogos dan 1 September 2019
bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-62.

“Kami percaya, sudah tiba masanya untuk sukan Futsal, ‘Freestyle’, ‘Panna’ dan E-Sukan wajar mendapat pengiktirafan. Walaupun begitu popular dalam kalangan rakyat, namun ia kurang diberi perhatian oleh media arus perdana. Kami berharap melalui penganjuran pertandingan ini, kita dapat membantu meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia di samping menghimpunkan rakyat bersama memeriahkan pesta yang berlangsung selama dua bulan ini,” kata Pengarah
Eksekutif Futsal.Asia, Pravin Nair.

Selain penganjuran kejohanan futsal sebagai acara utama, Pesta Futsal Rakyat 2019 akan
menganjurkan Kejohanan MY E-Games dan juga Kejohanan Panna.
Untuk meningkatkan lagi pengalaman menarik di pesta, kejohanan ini akan memperkenalkan
proses pendaftaran berasaskan aplikasi sepenuhnya melalui aplikasi mudah alih “Tournamentor”
Futsal.Asia, memberikan kemaskini secara langsung kepada peserta mengenai keputusan
pertandingan dan kedudukan semasa pasukan.

Setiap pasukan akan diberikan kod QR dan setiap pemain akan dibekalkan gelang tangan RFID
yang mempunyai maklumat profil pemain yang lengkap, mengesan kehadiran dan pergerakan
pemain keluar masuk pemain di setiap gelanggang dan juga turut digunakan untuk peserta
menebus barangan melalui pembaca kod.

Pesta Futsal Rakyat 2019 – Piala Tun Dr Mahathir Mohamad dianjurkan oleh Futsal.Asia
bersama penaja rasmi MYE.G. Services Berhad dan hurr.tv sebagai rakan media rasmi. Acara ini
disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Pesta Futsal Rakyat 2019 - Piala Tun Dr Mahathir Mohamad turut ditaja oleh Ekovest Berhad,
Berjaya Corporation Bhd, Conquest, aL-ikhsaN Sports, 100PLUS, Ice Mountain, dengan
kerjasama bersama Malaysian Football Freestylers & Gamesbond dan Picasso Media Sdn. Bhd.
sebagai agensi media rasmi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pesta Futsal Rakyat 2019 - Piala Tun Dr. Mahathir Mohamad
2019, sila layari www.pestafutsalrakyat.com