Terkini | New

Festival Putrajaya LIFT Akan Berlangsung Pada 28 hingga 29 Disember 2019 Di Putrajaya

Festival Putrajaya LIFT akan berlangsung pada 28 hingga 29 Disember 2019 di Putrajaya buat pertama kami selaras dengan usaha kerajaan bagi memperkasakan celik kewangan rakyat.




Pemacuan pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital adalah antara teras dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan pada 11 Oktober 2019.



Selaras dengan komitmen Kerajaan ke aras transformasi digital, Kementerian Kewangan Malaysia akan menganjurkan Festival Putrajaya LIFT (Literacy in Financial Technology) 2019 yang merupakan sebuah festival bermatlamatkan pemerkasaan celik kewangan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membina masyarakat digital.



Festival Putrajaya LIFT ini mempamerkan literasi teknologi kewangan pada masa kini dan hadapan dan merupakan kerjasama bersama Bank Negara Malaysia dan industri kewangan di Malaysia.





Kementerian Kewangan yang menjadi tuan rumah bagi Festival Putrajaya LIFT yang bertempat di tiga (3) lokasi strategik iaitu Menara Perkeso@Putrajaya, Bangunan Suasana PjH dan Kompleks Kementerian di Putrajaya yang akan berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 28 hingga 29 Disember 2019.





Festival ini dipersembahkan dalam konsep yang menyeronokkan dan interaktif dengan persembahan seni dan teknologi yang turut memberi gambaran kewangan masa hadapan. Di samping itu, festival ini turut memberikan inspirasi, serta maklumat relevan dan praktikal terhadap pemerkasaan kewangan dalam dunia teknologi dan digital yang dinamik pada masa kini.













Menurut Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, “Festival ini bukan sekadar meningkatkan celik kewangan tetapi juga bertujuan untuk memperkasakan orang ramai dengan menyediakan maklumat terkini kewangan dan pembangunan teknologi baharu dalam ekonomi digital. Kami ingin memastikan kebersediaan anak muda kini dan masa hadapan dengan menjamin peluang ekonomi dan pekerjaan untuk masa depan”.


Pengunjung disarankan untuk melawat ke Pavilion Kewangan Digital (pameran utama) yang dikelolakan –oleh Bank Negara Malaysia di bangunan Menara Perkeso@Putrajaya. Ruangan ini turut menyediakan seminar, bengkel, ceramah dan pameran menarik daripada institusi kewangan dan syarikat fintech .

Pelbagai perkhidmatan dan nasihat kewangan akan ditawarkan termasuk kaunseling kewangan, penyelesaian pertikaian, aktiviti untuk kanak-kanak, pembiayaan kewangan untuk PKS dan perumahan, semakkan CCRIS serta informasi mengenai penipuan kewangan yang semakin berleluasa pada masa kini.



Pengunjung juga berpeluang melawati ‘Future Pods’, yang merupakan pameran awam mengenai aspek kehidupan masa hadapan.

Festival ini juga merupakan sebuah pusat setempat rakyat yang menghimpunkan pelbagai acara menarik dan hiburan menerusi ‘The Showcase, The Market and The Fringe’.






‘The Market’ ditempatkan di dalam dan di luar bangunan Suasana A PjH merupakan tempat membeli belah khas untuk para pengunjung. Bercirikan Pasar Glam, ruangan ini menampilkan jenama kreatif terkemuka Malaysia tentang gaya hidup, fesyen dan kecantikan di tingkat 1 dan tingkat 2.

Turut berlangsung ialah perkampungan di luar bangunan seperti Pasar Seni, Pasar Botani dan Pasar Tradisi. Pengunjung juga dapat menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang akan melengkapkan keunikan festival ini di Medan Makan.



‘The Fringe’ merupakan ruang hiburan yang menampilkan persembahan kesenian teknologi tinggi, aksi-aksi jalanan dan persembahan kumpulan tempatan sepanjang malam.



Selain itu, terdapat juga sesi tertutup bersama wakil industri yang membicarakan tren digital terkini dan pelbagai perkongsian inovatif melalui segmen ‘The Conference’.

Pihak Kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada penaja dan rakan kolaborasi- Bank Negara Malaysia,Perkeso, Joe Sidek Productions Sdn Bhd, Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dan MRCB atas kerjasama bagi menjayakan Festival Putrajaya LIFT 2019.

Untuk maklumat lanjut, layari www.putrajayalift.com