Terkini | New

PERSEMBAHAN MAYA 360 DARJAH DATO’ SRI SITI NURHALIZA DALAM KONSERT ‘MANIFESTIVAL SITI NURHALIZA X HOTKOOL’

Sejak 3 Julai lalu, industri muzik Malaysia kembali rancak apabila figura muzik tersohor tanahair Dato’ Sri Siti Nurhaliza melancarkan album terbaharunya ‘ManifestaSITI2020’.


Selepas suram dilanda situasi ketidak tentuan akibat pandemik COVID-19 yang membadai dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan yang membantut aktiviti seni, kemunculan album penyanyi yang mesra disapa sebagai Dato’ Siti ini datang tepat pada waktunya bagi merancakkan kembali dunia seni.

Album yang mendapat makluman positif daripada pendengar muzik tempatan itu, bukan sahaja mendapat sambutan hangat di platform digital malah album fizikalnya juga laris dijual. Sempena pelancaran album ini, penyanyi lagenda negara ini menjayakan sebuah konsert interaktif dalam talian, Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool, pada 21 Julai 2020 yang lalu.



Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool merupakan hasil kolaborasi di antara Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions bersama stesen radio Hot FM dan Kool FM.



Konsert ini turut didukung oleh Unifi sebagai rakan penyiar rasmi dan Donna sebagai rakan media rasmi. Konsert yang menelan kos perbelanjaan hampir RM180,000.00 ini mengambil inspirasi daripada konsert dalam talian yang pernah dianjurkan di Korea dan Thailand sebelum ini.



Menggunakan aplikasi sidang video Zoom, konsert interaktif dalam paparan 360 darjah ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekaligus menjadikan Dato’ Siti sebagai artis pertama yang terlibat dalam konsert dalam talian berskala besar.



“Konsert ini hanya memberikan akses terhad kepada 500 peminat terpilih menerusi peraduan yang dijalankan oleh radio rasmi Hot FM dan Kool FM, rakan media Donna serta menerusi laman media sosial Dato’ Siti dan Universal Music Malaysia. Walaupun peraduan tersebut mendapat sambutan hangat peminat, tetapi disebabkan kekangan jumlah maksimum penonton yang dibenarkan oleh aplikasi Zoom, kami hanya boleh memilih 500 orang sahaja.

Namun begitu, ianya masih dikira sebagai skala besar kerana kejayaan memaksimumkan jumlah penonton untuk konsert dalam talian seperti ini, boleh diumpamakan kita berjaya memenuhkan satu panggung,” jelas Ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar.




Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata “Konsert maya Manifestival Siti Nurhaliza telah memberi satu pengalaman baru kepada penonton dan pendengar Hot FM dalam dunia digital dimana peminat yang bertuah dapat berinteraksi bersama penyanyi nombor 1 Malaysia walaupun tidak berada secara fizikal di situ. Idea Konsert maya seperti ini mungkin boleh diteruskan lagi bertepatan dengan kemajuan teknologi digital masa kini.”

Bagi peminat yang ketinggalan menyaksikan konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool ini secara langsung pada tempohari, anda kini boleh menyaksikan video rakaman konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool yang akan dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 12 OGOS 2020 bermula daripada jam 7 pagi hingga 9 pagi.