Terkini | New

PRASARANA Lancar Aplikasi PULSE Untuk Rancang Perjalanan Anda.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan aplikasi perancang perjalanan PULSE, atau ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’; bermula dengan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang dan Selangor, sebelum dikembangkan kepada perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan pada pertengahan tahun depan.



Dilancarkan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman di Kompleks Rapid Rail, Subang, aplikasi PULSE adalah satu lagi inisiatif daripada Kumpulan Prasarana untuk meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan untuk orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Kumpulan Prasarana.


“Aplikasi ini boleh didapati di Google Play Store minggu depan; dan di Apple App Store sebelum Tahun Baru untuk dimuat-turun dan digunakan oleh para pengguna perkhidmatan Rapid KL dan juga mereka yang belum menggunakannnya. Saya amat berharap warga kota akan memuat-turun dan mencuba aplikasi PULSE ini, yang sememangnya direka sebagai mesra pelanggan dan mudah digunakan,” kata Dato’ Sri Tajuddin.

Untuk peringkat permulaan, aplikasi PULSE boleh diguna-pakai untuk perkhidmatan Rapid KL, yang meliputi rangkaian LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Sri Petaling, Laluan Monorel, Bas Rapid Transit - Laluan Sunway, perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL dan juga bas perantara Jom Naik MRT.


“Dengan adanya aplikasi baru ini, para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana dapat merancang perjalanan mereka dengan lebih baik; sekali gus mengoptimakan masa mereka untuk lebih produktif dan membantu meningkatkan produktiviti diri, organisasi dan juga negara secara keseluruhan,” kata Dato’ Sri Tajuddin. 

PULSE akan dikembangkan untuk fasa kedua bagi meliputi perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan pertengahan tahun depan.


Selain memberikan pilihan perjalanan yang terbaik untuk seorang pengguna, aplikasi PULSE juga turut menyediakan maklumat tentang status perkhidmatan setiap mod perkhidmatan Prasarana dan jangkaan masa ketibaan atau ‘Estimated Time of Arrival’ (ETA). Ia juga akan memberikan waktu sebenar atau ‘real time’ untuk lokasi-lokasi bas dan juga tren.




Apkasi PULSE turut menampilkan ciri-ciri berikut:

1. Masa Ketibaan (Arrival Time) – Jangkaan Masa Ketibaan atau ‘Estimated Time of Arrival’ (ETA) untuk bas dan tren berdasarkan kepada data masa benar atau ‘real-time’ daripada Rapid Bus dan Rapid Rail;
2. Kiraan Tambang (Fare Calculator) – Mempamerkan tambang untuk perjalanan yang menggunakan perkhidmatan Rapid KL;
3. Status Perkhidmatan (Service Status) – Mempamerkan status perkhidmatan tren untuk hari berkenaan;
4. Notifikasi ‘App Push’ (App Push Notification) – Membolehkan ‘admin’ untuk menghantar mesej mengenai perubahan dalam perkhidmatan secara terus ke telefon pengguna pada bila-bila masa;
5. Maklumat Dekat Saya (Near Me) – Membolehkan pengguna untuk melihat stesen-stesen terdekat dan tempat-tempat menarik atau ‘points of interest’;
6. Hubungi Kami (Contact Us) – Membolehkan pengguna untuk menyalurkan maklumat kepada Rapid KL.

PULSE - ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’ telah dicipta oleh staf Prasarana sendiri, Ahmad Hakimi Ali dari Bahagian Projek LRT3. Nama itu dipilih daripada sebanyak 362 nama yang dicadangkan dalam satu peraduan dalaman kendalian portal rasmi Prasarana - Warna Portal.




Langkah memberi peluang kepada staf untuk memberi nama kepada satu produk penting Prasarana adalah untuk menguatkan semangat ‘ownership’ dan sayangkan Prasarana. Ini penting untuk menguatkan semangat bekerja dan meningkatkan dedikasi staf terhadap aspirasi dan misi Prasarana itu sendiri.

Untuk maklumat lanjut layari laman web dan laman sosial Prasarana www.myrapid.com.my/