Terkini | New

Promosi ‘My30 Plus 30’ Dapat Sambutan Memberangsangkan

Kempen ‘My30 Plus30 - Beli 1, Percuma 1’, yang bermula semalam untuk mempromosi pas perjalanan tanpa had My30 bagi rangkaian pengangkutan awam Rapid KL, mendapat sokongan memberangsangkan dengan lebih 1,400 sudah mendaftar pada jualan hari pertama.



Terhad kepada 8,333 pengguna sahaja dan berdasarkan siapa dulu dia dapat, Rapid KL menasihati para pelanggan untuk tidak berlengah dan segera mengambil peluang daripada promosi ini untuk tidak kecewa kerana pakej yang diperkenalkan sebagai satu inisiatif merangsang aktiviti pelancongan domestik ini amat menguntungkan.


Di bawah kempen yang akan berlangsung sehingga 31 Mac tahun depan untuk para pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL, satu baucar pas percuma My30 akan diberikan untuk setiap pembelian di mana pas percuma My30 ini boleh digunakan sendiri untuk pembaharuan pada bulan berikutnya. 



“Walaupun berdasarkan siapa dulu dia dapat, promosi ini terhad kepada 1 seorang pengguna dan sekali penebusan sahaja. Tempoh penebusan untuk pas percuma adalah antara 15 Januari 2021 dan 31 Mac 2021,” menurut satu kenyataan Rapid KL hari ini. 

 

Pembelian pas-pas ini boleh dibeli di semua kaunter-kaunter khidmat pelanggan di stesen-stesen LRT, MRT, monorel dan BRT di samping lapan hab bas terpilih – Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama. 

Urusan penebusan, bagaimanapun, hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hub Bas Pasar Seni.

Untuk maklumat lanjut  anda boleh melayari laman sosial media dan laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my