Terkini | New

MAJLIS PELANCARAN VIDEO DREAM MALAYSIA BERSAMA TOURISM MALAYSIA DAN GOPRO

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan GoPro dalam usaha menggiatkan semula industri pelancongan bagi mempromosikan keindahan kehidupan dan destinasi-destinasi di Malaysia menerusi pembikinan video ‘Dream Malaysia’.



'Dream Malaysia' merupakan kempen yang mengetengahkan tarikan-tarikan ekopelancongan dan pelancongan desa selain memberi inspirasi kepada Keluarga Malaysia untuk melancong ke lokasi-lokasi unik yang masih belum diterokai serta mencipta kenangan baharu dengan menggunakan kecanggihan kamera GoPro.




Kempen ini bermula pada Mac 2021 dengan penganjuran pertandingan video 'Dream Malaysia Challenge' antara 13 hingga 28 Mac di mana orang ramai berpeluang memenangi alatan elektronik GoPro terkini serta pakej percutian berasaskan alam semula jadi yang menarik di Taman Negara, Gopeng Glamping Park dan Bukit Tadom. 




Pertandingan ini telah berjaya meraih sebanyak 133 penyertaan. Dengan pemansuhan sekatan perjalanan dan kadar vaksinasi yang tinggi, rakyat Malaysia kini boleh merealisasikan impian mereka untuk melancong di dalam negara.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam ucapan perasmiannya berkata, ‘Dream Malaysia’ menyaksikan gabungan kerjasama yang memfokuskan kepada pendigitalan dalam menyemarakkan industri pelancongan negara. Terdapat pelbagai tarikan di Malaysia tetapi masih ada yang belum mendapat perhatian para pelancong, terutamanya produk-produk ekopelancongan dan pelancongan desa. 

 


Melalui GoPro, kami mahu menampilkan kandungan dan perspektif baharu melalui pengalaman pengembaraan yang menakjubkan bagi Keluarga Malaysia dan warga dunia. Sementara itu, En. Rick Loughery, Naib Presiden Pemasaran Global dan Komunikasi di GoPro yang turut hadir menyatakan pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan mempamerkan destinasi-destinasi yang menakjubkan di Malaysia. 




Matlamat GoPro adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk merakam dan mengabadikan memori mereka melalui pelbagai sudut manakala Tourism Malaysia memainkan peranan dalam mengetengahkan destinasi-destinasi yang kaya dengan tarikan dan budaya.


Pasukan GoPro serta penyedia kandungan (content creators) di bawah pengendalian Tourism Malaysia telah mengembara ke beberapa negeri untuk menerokai destinasi tempatan yang belum diterokai. Dengan penemuan keindahan produk-produk pelancongan yang tersembunyi, mereka telah memperoleh pengalaman dan mencipta kenangan yang unik di sekitar Malaysia menggunakan kecanggihan kamera GoPro




Baki Zainal, Duta Global GoPro yang turut mengambil bahagian dalam perjalanan yang menarik itu berkata, “Kenangan bersama haiwan laut di perairan jernih Pulau Tioman serta pengalaman di kawasan alam semula jadi yang hijau di Malaysia pastinya tidak akan dilupakan. Dengan bantuan kamera GoPro yang terkenal sebagai peranti pengimejan yang serba boleh dan berprestasi tinggi di pasaran, kami berharap kandungan yang disediakan akan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menerokai destinasi-destinasi unik di seluruh Malaysia.”

 



Video-video yang dihasilkan akan dikongsikan melalui platform media sosial GoPro dan Tourism Malaysia. Untuk maklumat lanjut, layari laman Instagram dan Facebook GoPro (@gopromysg) serta laman Instagram Tourism Malaysia (@malaysia.truly.asia) dan Facebook (@malaysia.travel.my).