Terkini | New

PRIHATIN DAN DXN Peruntukkan RM1.56 JUTA Ringankan Beban MANGSA BANJIR

Seramai 500 mangsa banjir dari Jalan Tiong Nam dan sekitar Kuala Lumpur telah menerima manfaat daripada Program Sentuhan Kasih PRIHATIN x DXN hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), DXN Holdings Berhad dengan sokongan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia (BAWA).



Program yang berlangsung di Koptown EDC Hotel Kuala Lumpur ini telah disempurnakan oleh Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).



Pihak PRIHATIN x DXN telah memberi mesin basuh, peti ais, periuk nasi, kipas angin, tilam, keperluan makanan asas dan pakaian kepada mangsa banjir.


Sentuhan Kasih PRIHATIN x DXN merupakan satu inisiatif oleh NGO dan organisasi korporat dalam menunjukkan keprihatinan mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan banjir besar melanda negara baru-baru ini.


Program ini dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan dalam mendepani cabaran bersama-sama dan hidup sebagai ‘Keluarga Malaysia’ yang membantu antara satu sama lain.



Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, “Saya merasa amat dukacita dan terkesan melihat nasib masyarakat kita yang dilanda bencana banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda, kehilangan tempat tinggal dan juga kehilangan ahli keluarga. Bencana banjir yang melanda kita pada tahun ini amat luar biasa walaupun ia berlaku hampir setiap tahun. Saya berharap badan-badan organisasi turut sama menyumbangkan bantuan kepada mereka bagi meringankan beban yang dihadapi khususnya mangsa-mangsa banjir. Justeru, Sentuhan Kasih PRIHATIN x DXN ini diharap mampu meringankan beban kepada mereka yang terkesan dan sedikit sebanyak mampu mengurangkan sedikit kesengsaraan kepada penerima-penerima ini.”


“Saya melihat keprihatinan Datuk Dr Lim, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN dalam menyalurkan dana kepada PRIHATIN ini wajar dicontohi oleh setiap organisasi korporat mahupun agensi kerajaan bagi menyuntik dana kewangan kepada pertubuhan atau yayasan yang berteraskan kebajikan kerana secara tidak langsung akan menjadi pendorong kepada mereka menjalankan gerak kerja dengan lebih pantas dan turut menjadi pemangkin semangat kepada penerima yang terkesan dengan banjir ini.”, ujar beliau lagi.



PRIHATIN melihat hasil hubungan strategik dengan DXN ini akan terus diperkasa melalui program - program yang dirancang bersama sepanjang tahun ini.