DOLLA MINI ALBUM HABIS TERJUAL DALAM BENTUK 'CAKERA PADAT' DALAM TEMPOH 24 JAM
Menariknya, DOLLA yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya cuma merancang untuk lancarkan 500-unit CD pada awalnya. Bagaimanapun, jumlah itu ditambah kepada 500-unit lagi ekoran sambutan luar biasa peminat setia kumpulan terbabit.
Menurut Pengurus Promosi Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar, penambahan itu dilakukan selepas masih ramai peminat terlepas peluang memilikinya dan bersungguh-sungguh untuk membelinya.
“Pada mulanya kami membuka pra-tempah sebanyak 500-unit saja untuk album ini dan dalam tempoh 12 jam sudah habis terjual. Ramai peminat mengadu terlepas peluang dan berdepan kesukaran sewaktu buat tempahan. Kami sendiri memang tak sangka ia akan terjual begitu pantas. Disebabkan itulah kami putuskan memberanikan diri buka tempahan untuk tambahan 500-unit lagi dan itu pun terjual habis dengan cepat juga,” katanya.
Menurut anggotanya Sabronzo, percaturan melancarkan CD selepas kejayaan di platform muzik digital sentiasa menjadi impian utama mereka juga. Baginya, album berbentuk fizikal pastinya lebih istimewa untuk dimiliki peminat mereka.
Meskipun penjualan CD mungkin semakin tidak relevan sekarang, sebaliknya peminat DOLLA masing-masing tidak mahu terlepas memiliki mini album itu. Sekali gus, menjadi bukti betapa kumpulan itu sememangnya mampu berbuat demikian.
DOLLA: Mini Album memuatkan semua karya hit mereka yang sudah dipasarkan setakat ini. Lagu-lagu dimuatkan termasuk BAD (versi melayu), DOLLA Make You Wanna, Impikan (versi melayu), Berani, Berani (akustik), Watch Me Glow, BAD (versi inggeris) dan Raya Raya Raya sebagai lagu bonus.
Pada September tahun lalu, DOLLA menjadi kumpulan penyanyi wanita pertama dari Malaysia tampil di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat. Showcase sulung mereka pada 19 Februari lalu juga cukup membanggakan apabila tiketnya terjual habis.