Terkini | New

JKKN LANCARKAN IFTAR @ KL 2022

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kembali lagi menganjurkan Iftar @ KL setelah dua (2) tahun pelaksanaannya ditangguhkan disebabkan pandemik COVID-19.


Iftar @ KL akan dilaksanakan pada 16, 17 dan 23 April 2022 bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Program ini bakal dihadiri oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 17 April 2022.


Pelaksanaan program pada tahun ini merupakan penganjuran kali kesepuluh oleh JKKN yang telah bermula sejak tahun 2012. Uniknya Iftar @ KL ini adalah berkonsepkan berbuka puasa secara duduk bersila beralaskan tikar dan dihadiri oleh pengunjung termasuk pelancong asing.


Iftar @ KL yang dianjurkan oleh JKKN ini merupakan anjuran bersama rakan strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Seni Budaya Putra serta disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Antara rakan penganjur dalam pelaksanaan Iftar @ KL pada tahun ini ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association dan Masjid Jamek Kampong Bharu. Program ini juga turut mendapat tajaan daripada 100 Plus.


Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengimarahkan dan memakmurkan ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui pengisian aktiviti, merapatkan dan mengeratkan silaturrahim serta toleransi antara kaum bagi menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi Program Peiancongan Budaya (Culture Tourism).

Antara pengisian program ini adalah seperti Majlis Berbuka Puasa, Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk, Solat Berjemaah, Tadarus Al-Quran, Tazkirah Ramadan, Bicara Ramadan, Kaunter Sumbangan, Sukarelawan, Kaunter Zakat serta Jualan Makanan Food Truck.


 
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada rakan-rakan strategik serta semua rakan penganjur dan rakan penaja yang terlibat. Sungguhpun pelaksanaan aktiviti fizikal telah dibenarkan, namun kita masih belum menang untuk melawan virus COVID-19.

Justeru itu adalah diingatkan agar kita dapat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standarad (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Semoga gandingan dan kerjasama sebegini akan berterusan di masa akan datang. 



Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN di www.jkkn.gov.my atau layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.