Terkini | New

SUARA HATI HAN BYUL MENERUSI ‘BUKAN MILIKMU’

SUARA HATI HAN BYUL MENERUSI ‘BUKAN MILIKMU’
Juara Big Stage Musim Ke-2 Kembali Dengan Single Balada Terbaharu Dwibahasa Melayu-Korea Yang Meruntun Jiwa


Oppa nombor satu negara, Han Byul, kembali mengubati rindu peminat-peminat kesayangannya yang digelar ‘Twinklers’ dengan buah tangan terbaharu, sebuah single balada dwibahasa Melayu-Korea istimewa berjudul ‘Bukan Milikmu’ hasil ciptaan penyanyi-penggubah lagu popular, Hazama, bersama-sama komposer terkenal, Omar K, manakala terbitan oleh Warner Music Malaysia.

“Sebenarnya idea di sebalik pembikinan lagu ini tercetus ketika Hazama dan saya sedang melakukan penggambaran sebuah telemovie pada bulan Mei tahun lepas.

“Dia ada menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu, dan setelah mendengar beberapa demo, hati saya terus terpaut pada ciptaan bertajuk Bukan Milikmu,” jelas pemilik nama sebenar Jang Han-Byul.

Penyanyi kelahiran Korea Selatan yang baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk ‘Lecturerku Oppa’ yang bakal bersiaran di WeTV iFlix ini turut menjelaskan, “Lagu ini telah pun saya rakamkan pada tahun lepas, namun kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah membantutkan segala aktiviti termasuklah cabang seni, dan segala perancangan terpaksa ditunda.


“Selain itu, lagu ini tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan, hanya sejam sahaja, manakala proses adunan dan mastering pula memakan masa selama 2 minggu.

“Menariknya dalam lagu ini, saya turut menyelitkan beberapa bait lirik dalam Bahasa Korea yang disesuaikan dengan cara nyanyian ala Korea bagi menambah feel terhadap karya ini.

Tambah Han-Byul lagi: “Bukan Milikmu adalah sebuah lagu sedih yang menceritakan tentang keinginan seorang lelaki yang mendambakan cinta daripada kekasihnya yang merupakan segala-segalanya bagi dirinya, namun perasaan itu diracuni oleh pelbagai emosi yang yang menyakitkan.

Jika pendengar amati, lagu balada dalam nuansa teatrikal ini sarat dengan elemen muzik seperti ‘OST ala drama Korea’ yang pasti menggamit perasaan disulami pula dengan susunan muziknya yang membuai perasaan seakan-akan membawa anda ke Pulau Jeju!

Perjalanan seni Han-Byul telah pun bermula lebih sedekad yang lalu ketika beliau pertama kali menjejakkan kaki di salah sebuah syarikat rakaman muzik yang terkenal di Korea, kongsinya, “Ketika itu saya sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan diri sebagai salah satu ahli kumpulan K-pop, Led Apple, pada tahun 2011, namun segala-segalanya berubah sehinggalah saya menjadi juara Big Stage 2019.


“Kini, Malaysia adalah rumah kedua saya kerana kebanyakkan peminat saya adalah dari sini. Walaupun saya mempunyai peminat di serata dunia, hati saya tetap di sini kerana sokongan peminat Malaysia (Twinklers) sangat mengharukan, dan merekalah penyebab terbesar mengapa saya ingin mempelajari lebih banyak tentang bahasa Melayu, budaya dan segala-galanya.

“Kami (pihak pengurusan dan Han-Byul) masih lagi dalam proses perbincangan mengenai pembikinan video muziknya, semuanya bergantung terhadap sambutan dari peminat.

“Apa yang saya lakukan adalah kerana peminat dan sudah pastinya saya mahu berikan yang terbaik buat mereka dan bukannya ala kadar, kerana setiap yang dihasilakn adalah dari hati,” ujar Han-Byul sambil menunjukkan tanda mini-love.

Akhiri Han-Byul: “Saya masih lagi ingat perasaan saya ketika lagu ‘Luka Dan Bahagia’ dimainkan di radio ketika memandu di Malaysia, perasaan bangga, terharu dan teruja menyelubungi jiwa.

“Saya berharap peminat muzik di Malaysia dapat menerima Bukan Milikmu dan menyanyikannya bersama kerana itulah yang saya mahukan, menghiburkan hati semua orang melalui muzik yang saya hasilkan.


Lagu ‘Bukan Milikmu’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.