Terkini | New

Teater MUZIKAL MOYANG SALLEH Dipentaskan Di Istana Budaya Selama 6 Hari Persembahan

Teater MUZIKAL MOYANG SALLEH Dipentaskan Di Istana Budaya Selama 6 Hari Persembahan

Majlis Pra Pelancaran Muzikal Moyang Salleh diadakan sempena Majlis Temu Kasih dan menandatangani kontrak antara pelakon di Pusat Peloncongan Malaysia (MaTiC). 


Majlis disempurnakan oleh YTM Dato' Mendika Menteri Akhirul Zaman, Dato' Haji Maarof bin Haji Mat Rashad, Undang Luak Jelebu Ke 16 selaku Penaung Kehormat Diraja. Antara tetamu yang hadir semalam ialah Ts. Mohd Fadzley Bin Abd Shukor, Pengarah Senireka, Istana Budaya, Encik Rudy Irwan bin Shukaim, Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Encik Rahmad Mohd Noh, Pengarah JKKN Johor dan En Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Sains Islam Malaysia.


Muzikal Moyang Salleh adalah sebuah pementasan muzikal berdasarkan lagenda figura seorang pemimpin Melayu yang bernama Moyang Salleh dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan yang mengisahkan tentang perjuangan, pengorbanan berlatarkan seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan.


Muzikal Moyang Salleh akan dipentaskan di Istana Budaya pada 26 – 31 Ogos 2022 menampilkan kelainan dari segi persembahan dan teknikal serta keunikan tersendiri apabila menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa pertuturan. 




Menurut pengarahnya saudara Roslee Mansor, antara aspek kekaguman yang membuat penonton terpesona seperti Moyang Salleh boleh berjalan di atas air dan boleh berada di sesuatu tempat dalam sekelip mata. Hembusan nafas keluar dari lubang hidung Tok Laut Api menyambar langsir dan jendela istana, Tok Gagah Lela Perkasa menggesel badannya di tiang istana sehingga bergegar istana, Tok Beruang mencakar bumbung dan dinding istana sehingga menjadi lumat. Tok Bauk menggali tanah di depan istana dengan kedua dua tangannya sehingga berlubang sebesar kawah.



Muzikal ini menampilkan 16 buah lagu ciptaan baru yang pastinya menjadikan persembahan ini lebih menarik kerana mempunyai elemen muzik, tari dan lakon yang menampilkan para pelakon berwibawa seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar sebagai Moyang Salleh, Khir Rahman sebagai Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah, Hairi Safuan sebagai Bendahara, dan Along Eyzendy sebagai Si Amat. 

Selain itu muzikal ini menggandingkan Melissa Kelvin sebagai Seri Banun, Aloeng Silalahi sebagai Tok Penghulu Rembau, Naque Ariffin sebagai Tok Penghulu Sungai Ujong, Eliza Mustafa sebagai Moyang Timah, Mubarak Majid sebagai Dato Laksamana, Kamarul AR sebagai Penghulu Johol, Zuhairi Ibrahim sebagai Tok Laut Api, Nen Tebabo dari Radio Negeri FM sebagai Cik Kembang Dara dan ramai lagi. Durasi persembahan adalah selama 1 jam 45 minit sudah pasti akan membuatkan penonton tidak terasa waktunya dengan momentum persembahan yang penuh dengan aksi, cinta dan kasih sayang dan emosi.



Sebagai sebuah persembahan muzikal yang menggabungkan eleman muzik, tari dan lakonan sudah tentunya para pelakon wajib mempunyai kebolehan dan menguasai ketiga-tiga bidang tersebut iaitu lakonan, tarian dan nyanyian. Kesukaran kami adalah mendapatkan para pelakon yang bersesuaian dengan konsep persembahan, menurut Roslee. Skrip Muzikal ini ditulis oleh Subroto Hj Katimin yang pernah menghasilkan skrip telemovie dan fiem.






Menurut Puan Hajah Siti Salbiah Zahari selaku Penerbit Persembahan, teater ini diterbitkan oleh Persatuan Karyawan Negeri Sembilan dengan Kerjasama Badan Kebajikan Undang Luak Jelebu dan Kementerian Pelancongan dan Kesenian Malaysia yang menampilkan 150 orang tenaga produksi termasuk para pelakon, penari, pemuzik dan tenaga pengurusan. Muzikal Moyang Salleh adalah persembahan teater yang julung-julung kalinya dipersembahkan di Istana Budaya sejak pendemik 3 tahun lalu. 

Tiket boleh didapati dengan menghubungi talian 018-275 5981(Urus setia) atau 014-636 4636 (Suhairi).