Terkini | New

Wacana Halatuju Sistem Pendidikan Dalam Talian di Malaysia bersama Tun Dr Mahathir

Wacana Halatuju Sistem Pendidikan Dalam Talian di Malaysia bersama Tun Dr Mahathir


Perubahan teknologi yang berlaku secara pesat memberi kesan kepada kehidupan manusia. Tidak terkecuali antara bidang yang turut mendapat manfaat melalui kemajuan ini adalah sistem pendidikan dunia. Sebagai sebuah negara yang mempunyai akses terhadap segala inovasi yang diperkenalkan, ternyata Malaysia juga tidak terkecuali bersaing dalam menghasilkan lebih ramai pelajar yang dilengkapi dengan ilmu terbaik.


Namun sejauh mana, penggunaan teknologi ini digunakan sepenuhnya oleh pelajar dan tenaga pengajar di negara ini. Justeru, Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI mengadakan wacana berjudul Halatuju Sistem Pendidikan Dalam Talian di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena meraikan kecemerlangan 335 pelajar pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021, baru-baru ini.


Berkongsi jawapan dalam sesi wacana yang dikendalikan moderator Muhd Habibunajjar Sazali itu, Tun Mahathir yakin dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang selain penggunaan teknologi secara berkesan, guru juga adalah faktor penting dalam memastikan cara penyampaian yang lebih berkesan.

Bersetuju dengan kenyataan teknologi sebagai keperluan dalam sistem pendidikan kini, namun menurut negarawan ini juga tidak semua boleh diaplikasikan secara mendadak kepada pelajar memandangkan perlu ada saringan dalam membentuk karakter yang sesuai.


“Kita tahu, teknologi bergerak laju dan hampir setiap hari ada penemuan baharu. Menjadi keperluan melengkapkan pelajar dengan kemahiran ini namun kita juga perlu pastikan pengetahuan yang diberikan perlu sesuai dengan karakter.

“Kerana kita tidak mahu kemahiran yang ada ini disalah gunakan,”katanya.

Melihat kemajuan yang diraih negara luar melalui sistem pendidikan yang menggunakan teknologi terkini. Malaysia juga tidak ketinggalan berada pada landasan yang sama, namun dalam mengoptimumkan kelebihan yang ada, bekas Perdana Menteri itu yakin perlu ada pembahagian kerja antara tenaga pengajar yang lebih efisien.


“Kita perlu akur bukan semua guru terbaik dalam negara dan kesannya ke atas pelajar jika guru-guru ini tidak dilengkapi dengan ilmu. Apa yang boleh kita buat adalah melalui bantuan teknologi yang akan membantu guru-guru terbaik ini menyampaikan bahan pengajaran secara meluas sekali gus membolehkan pelajar-pelajar ini mendapat peluang belajar dengan guru yang sama.

“Namun dalam masa yang sama perlu ada seliaan guru kelas secara fizikal yang akan membantu. Jadi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya ke atas guru kerana tidak semua guru mempunyai teknik pengajaran yang baik dan ini akan memberi impak kepada pelajar,” jelasnya lagi.

Berkongsi mengenai ketegasanya dalam memastikan setiap anak-anak di negara ini mendapatkan pendidikan ketika di era pemerintahannya nyata membawa kepada perubahan Malaysia kini.


Tambahnya antara yang menjadi fokus utamanya juga bagaimana pendidikan juga tidak boleh disalurkan melalui cara yang sama memandangkan tahap penerimaan murid berbeza mengikut kemampuan.

Sementara itu, berkongsi pesanannya kepada semua pelajar di negara ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, berharap agar ibu bapa dan guru menjadi pendorong utama kepada pelajar￾pelajar ini untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi masa depan.

Menjadi amalan yang baik juga, jelasnya setiap pelajar ini harus mengulangkaji setiap pelajaran itu secara berulang kali dalam memastikan ilmu itu dapat difahami dengan lebih baik.


Pada majlis sama, Tun Dr Mahathir turut melancarkan inisiatif Malaysia Bangkit Belajar yang memfokuskan kepada pelajar tingkatan tiga hingga lima untuk mendapatkan pembelajaran secara percuma melalui pembelajaran dalam talian yang dikendalikan oleh PTTI.

Inisiatif ini juga sebagai antara cara menyokong rakyat di negara ini terutamanya pelajar yang datang dari keluarga berstatus B40, yang mana PTTI menyediakan pelbagai kemudahan penyampaian ilmu secara percuma melalui aplikasi PTTI Better Result. Pembelajaran percuma ini boleh diikuti di laman web www.ptti.my