Cerita Sedih Keisya Levronka Dalam Single Terbaru Tak Ingin Usai
Selepas hampir dua tahun tidak mengeluarkan karya baharu, penyanyi berbakat Indonesia, Keisya Levronka kini tampil dengan single baharu berjudul TAK INGIN USAI yang telah dilancarkan di bawah pengurusan Universal Music Indonesia pada 13 Mei 2022 yang lalu.
TAK INGIN USAI merupakan buah tangan keempat Keisya Levronka selepas mengeluarkan Jadi Kekasihku Saja pada Julai 2020, Tergesa (September 2020) dan Lagu Untuk Hari Ini (November 2020). Gadis jelita berusia 19 tahun ini antara salah seorang penyanyi muda yang aktif mengeluarkan karya baharu buat peminat setianya. Menurut Keisya Levronka, single TAK INGIN USAI bercerita mengenai hubungan percintaan yang memang tidak boleh dipaksa dan berpisah adalah jalan terbaik walaupun hal itu berat untuk dilakukan.
“Pada pandangan saya, TAK INGIN USAI ini menceritakan hubungan yang terlerai akibat keputusan sebelah pihak. Perpisahan itu turut menyebabkan pasangannya itu gagal meneruskan kehidupan, berasa hancur, menangis, tapi berusaha menerima takdir dan reda. Bagaimanapun individu itu tetap berharap agar suatu hari nanti bakal dipertemukan lagi,” ujar Keisya menceritakan mengenai makna single TAK INGIN USAI.
Menariknya mengenai single itu, Keisya berkerjasama dengan seorang penyanyi yang juga penulis lirik berbakat yang sedang meningkat naik, Mario G Klau manakala Tohpati bertindak sebagai komposer. Lagu bertemakan percintaan ini sangat menarik dengan tema pop balada yang meruntun jiwa pendengar selain bait-bait liriknya yang begitu sarat dengan mesej menyentuh hati dan pesanan. Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Keisya berkata, dia tidak mengambil waktu yang lama untuk memilih lagu TAK INGIN USAI sebagai pertaruhan terbaharunya.
Untuk rekod, muzik video dan lirik video TAK INGIN USAI sudah meraih 135 juta tontonan di YouTube sehingga 16 Ogos 2022. Malah lagu terbabit turut mendapat perhatian ramai selebriti tempatan yang menyanyikan semula lagu itu mengikut rendasi masing-masing.
Antaranya ialah Nabila Razali, Dalia Farhana, Aina Abdul, Nuha Bahrin, Aziz Harun, Tabby DOLLA, Syasya DOLLA, Meer Nash, Wani Kayrie dan Athalia. Lebih membanggakan Keisya turut meraih Anugerah Emas daripada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengiktirafan pencapaian single TAK INGIN USAI di platform digital di Malaysia.
Bakat wanita jelita ini dicungkil daripada program pencarian bakat Indonesian Idol 2019. Dilahirkan di Malang pada 2 Februari 2003, Keisya mula mengintai peluang dalam dunia nyanyian ketika usianya masih mentah iaitu 16 tahun. Bakat dan kesukaan menyanyi Keisya memang telah terlihat sejak kecil. Namun, walaupun memiliki bakat menyanyi, ia tidak pernah mengikuti kursus atau bernyanyi secara khusus.
Bahkan, sifatnya yang pemalu dan tidak terlalu percaya dengan bakat yang dimiliki membuat dia tidak berani untuk mencuba nasib di program realiti sebelum ini. Bagaimanapun melihat bakat luar biasa yang dimiliki anaknya, ibu Kiesya mendaftarkan Keisya mengikuti sesi uji bakat Indonesian Idol secara online.
Siapa sangka, Keisya Levronka berhasil mengambil hati kelima-lima juri dengan memberikan Golden Tiket kepadanya dengan membawakan lagu yang berjudul “Celengan Rindu” dari Fiersa Besari. Bagaimanapun perjalanan Keisya di Indonesian Idol 2019 terhenti di episod ke-12. Namun kariernya tidak hilang begitu saja, malah Keisya semakin hebat meneruskan kerjaya nyanyiannya.
Instagram: https://www.instagram.com/keisyalevro...
Twitter: https://twitter.com/keisyalevronkaa
Facebook: https://www.facebook.com/KeisyaIdol10