Terkini | New

‘AEON Mesra’ Bawa Keriangan Kepada Kanak-Kanak Yang Memerlukan Berjaya Menyumbang Lebih RM350,000

‘AEON Mesra’ Bawa Keriangan Kepada Kanak-Kanak Yang Memerlukan "Lebih RM350,000 Berjaya Disumbangkan Pada Tahun Ini"


Yayasan AEON Malaysia (MAF) meneruskan misi menyumbang melalui program AEON Mesra, seiring dengan usaha untuk mendekatkan diri dan membantu ekosistemnya dengan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. 


Kempen AEON Mesra telah dilaksanakan oleh MAF sejak tahun 2005 bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang memerlukan khasnya untuk persiapan di musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.


(Atas) Tsugutoshi Seko, Timbalan Pengarah Urusan AEON turut membantu membalut hadiah semasa majlis AEON Mesra Deepavali dan (Bawah) Datin Noryahwati, Presiden Yayasan AEON Malaysia membantu membalut hadiah semasa majlis AEON Mesra Deepavali.


Di dalam program yang murni ini, kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan akan diberi pengalaman membeli belah yang menggembirakan di pasar raya AEON atau AEON BiG yang terpilih untuk mendapatakan pakaian menyambut perayaan dan barangan keperluan yang lain.

Melalui kempen AEON Mesra tahun ini MAF telah berjaya menyantuni lebih daripada 2000 orang kanak-kanak seluruh negara dengan jumlah sumbangan melebihi RM350,000 dalam bentuk barangan keperluan perayaan kepada keluarga yang memerlukan dan juga rumah-rumah kebajikan.


Sempena perayaan Krismas tahun ini; AEON Mesra Krismas menyumbang sehingga RM55,000 yang melibatkan 300 kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan juga dari rumah-rumah kebajikan seluruh negara. Program ini bermula pada 10 Disember 2022, dengan penyertaan daripada tiga  pasar raya AEON dan dua cawangan AEON BiG berlokasi di Sarawak, Melaka, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Acara kemuncak program ini telah diadakan di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru pada 17 Disember di mana seramai 100 orang kanak-kanak dari rumah kebajikan telah dibawa membeli belah untuk persiapan dan hadiah untuk perayaan yang bakal menjelma. 



Bagi program tersebut, MAF telah bekerjasama dengan beberapa Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dan rumah kebajikan seperti Yayasan Kebajikan Suria, Pusat Kebajikan Kalvari dan Pertubuhan Kebajikan Penyayang Permata Hati. Selain dari jawatankuasa MAF dan pihak pengurusan AEON CO., aktiviti ini turut dibantu oleh sukarelawan dari Kumpulan Syarikat AEON (AEON Group of Companies) di Malaysia.


Menurut Datin Noryahwati Mohd Noh, Presiden Yayasan AEON Malaysia, “Kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi saat-saat yang istimewa bersama kanak-kanak ini. Setiap perayaan perlu disambut dengan hati yang gembira dan hari ini sudah tentu merupakan hari yang bermakna untuk mereka. Adalah menjadi harapan kami agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberikan keriangan dan harapan kepada mereka. Lapang sungguh hati kami melihat senyuman ceria pada wajah mereka yang berseri-seri.”


“MAF sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti dalam ekosistem kami. Kami akan sentiasa berusaha untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada inisiatif dan gerakan yang bermanfaat kepada masyarakat dan rakyat Malaysia.” tambah Datin Noryahwati.


Program AEON Mesra adalah selaras dengan usaha MAF untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) SDG 16 – yang menggalakkan masyarakat yang aman dan inklusif untuk pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat .