BALAN KASH BAKAL MELANCARKAN SINGLE MELAYU PERTAMA, 'TERIMA KASIH' BERSAMA PENYANYI ROCK TERKENAL, HAZAMA
BALAN KASH BAKAL MELANCARKAN SINGLE MELAYU PERTAMA, 'TERIMA KASIH' BERSAMA PENYANYI ROCK TERKENAL, HAZAMA.
Balan Kash adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia sebagai seorang pemuzik rap berbakat yang serba boleh. Malah, beliau juga dikenali sebagai artis yang mampu menguasai tiga bahasa. Sehingga hari ini, beliau pernah bekerjasama dengan beberapa nama hebat lain seperti Joe Flizzow, Reshmonu, Anirudh Ravichander, Santesh dan ramai lagi. Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai rekod penstriman sebanyak 20 juta sepanjang kariernya dalam bidang muzik.
Selepas berjaya menembusi pasaran Kollywood dan dunia hiburan Tamil, Balan cuba mengintai peluang baru dengan melancarkan lagu berbahasa Melayu pertama nyanyiannya pada tahun 2022. Lagu berjudul 'Terima Kasih', yang didanakan geran Cendana dan My Creative, merupakan kerjasama Balan bersama penyanyi rock terkenal Malaysia, Hazama.
Balan, bersama duo yang banyak menerima anugerah, Mambang dan Navin 'Navigator' Kumar, telah menulis ‘Terima Kasih’ ketika pandemik COVID-19 melanda negara. Korus lagu tersebut merupakan idea daripada Balan sendiri, selepas inspirasinya muncul ketika beliau mahu menidurkan anak perempuannya yang berusia dua tahun.
‘Terima Kasih’ merupakan sebuah lagu yang nyata, dan refleksi jujur tentang hidup saya," cerita Balan. "Bagi saya, makna lagu ini lebih besar daripada perkataan Terima Kasih itu sendiri. Lagu ini menyedarkan saya, bagaimana rasa syukur itu mampu memberikan semangat untuk terus memulakan hari dan menerima apa sahaja yang terjadi- sama ada yang baik, yang buruk, yang tinggi atau yang rendah. Rasa tenang ini boleh hadir dengan mudah apabila kita sering bersyukur untuk setiap perkara.”
"Saya sudah lama mengikuti bakat Balan dan karya-karya hebatnya sepanjang kariernya,' ujar Hazama. "Saya teruja apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan nama besar daripada industri muzik Tamil. Sebenarnya, banyak bakat-bakat tempatan yang kurang menerima perhatian daripada media dan orang ramai kerana mereka tidak menyanyi dan melakukan persembahan dalam Bahasa Melayu. Namun, kita semua adalah rakyat Malaysia dan saya mengharapkan kerjasama merentasi bahasa ini dapat diteruskan lagi.”
Video muzik ‘Terima Kasih’ merupakan adaptasi hidup Balan, dan bagaimana beliau membentuk dirinya sebagai seorang artis- bermula sebagai seorang penyanyi indie yang gigih menempa nama dan kini, beliau boleh berbangga selepas mempersembahkan lagunya sendiri, 'Start That Thiruvizha' di konsert Anirudh baru-baru ini.
"Kerana rasa cinta dan minat yang mendalam dalam muzik, saya berpeluang untuk berjumpa dan bekerjasama dengan orang-orang yang berbakat, serta idola saya,” tambah Balan lagi. "Lagu ini juga tentang bagaimana kegigihan saya bekerja dan mengusahakan apa yang saya suka semata-mata untuk menyara keluarga. ‘Terima Kasih’ juga menceritakan siapa saya pada hari ini dan bagaimana saya telah berusaha untuk menjadi yang terbaik, bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai seorang anak, bapa, suami dan rakan.”
‘Terima Kasih’ akan dilancarkan oleh Believe Music di semua platform penstriman digital pada 16 Disember ini. Video muzik ‘Terima Kasih’ pula akan dilancarkan pada 20 Disember pada laman Youtube label muzik Balan sendiri, Third Eye Music.