BMW Motorrad Malaysia Mempersembahkan BMW K 1600 B.
BMW Motorrad Malaysia Mempersembahkan BMW K 1600 B.
Melambangkan keelegenan, kuasa, dan kemewahan – BMW K 1600 B baharu merupakan sebuah motosikal jelajah serba menawan yang hadir bersama teknologi inovatif dan aneka kemudahan bertaraf tinggi bagi menyempurnakan segala jenis pengembaraan.
Terokai dunia baharu bersama BMW K 1600 B.
Melambangkan keelegenan, kuasa, dan kemewahan – BMW K 1600 B baharu merupakan sebuah motosikal jelajah serba menawan yang hadir bersama teknologi inovatif dan aneka kemudahan bertaraf tinggi bagi menyempurnakan segala jenis pengembaraan.
BMW Motorrad Malaysia hari ini telah mengumumkan ketibaan jentera BMW K 1600 B baharu, sekali gus meluaskan lagi portfolio motosikal berkuasa tingginya di peringkat tempatan bagi segmen jelajah.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Untuk mengalu-alukan tahun yang baharu, kami berbesar hati untuk membawakan sebuah jentera yang menawan, menyelesakan lagi berkuasa tinggi sebagai pendamping bagi para pengembara di Malaysia. Dengan BMW K 1600 B baharu, para pelanggan kami dapat mengalami sendiri sebuah jentera mewah berprestasi tinggi yang sebenar, yang tidak mengkompromikan mana-mana ciri kemudahan yang sinonim dengan model-model jelajah kami. Jentera ‘Bagger’ baharu ini benar-benar merangkap ‘The Spirit of the Open Road’, kerana ia menjadikan setiap jalan raya, penjelajahan, dan detik – tersemat dalam ingatan anda.”
Generasi jentera ini yang terbaharu hadir bersama gaya yang tersendiri, disinambungkan dengan pengoperasian dan anjakan kuasa yang serba lancar, disumbang oleh enjinnya yang luar biasa. Menggandingkan prestasi cemerlang enjin sebaris enam silinder dengan kelengkapan dan kemudahan yang canggih, BMW K 1600 B baharu menjadikan sesi tunggangan jarak jauh anda lebih menyelesakan dan mengagumkan.
Terokai dunia baharu bersama BMW K 1600 B.
BMW K 1600 B baharu mempersembahkan bahasa reka bentuknya yang tersendiri, dirumus untuk menyusur dari destinasi ke destinasi. Didatangkan dalam warna Black Storm Metallic dan Manhattan Metallic Matte (Style Exclusive), jentera ini menggayakan cermin hadapan yang lebih singkat serta seksyen belakang yang lebih menonjol bersama indikator LED dan lampu brek pada peti sisinya. Enjin sebaris enam silinder berwarna hitam dengan Perisai Perlindungan Enjin turut menyempurnakan imej jentera ini yang gah. Berbekalkan bar hendal tempaan yang serba istimewa, motosikal ini dapat dikemudi dengan begitu mudah. BMW K 1600 B mencahayakan haluan yang terbentang dengan lampu hadapan LED yang menampilkan Ikon Cahaya serta Lampu Membelok Adaptif, lengkap dengan Lampu Sampingan LED dan juga Pencahaya Aras Lantai.
Enjin sebaris enam silinder empat lejang yang disejukkan dengan minyak/air menjadi jantung jentera ini, ia hadir bersama dua aci sesondol overhed yang terletak di atas aci pacuan, menggalang kapasiti 1,649 cc, yang mampu menjana 118 kw (160 kk) pada paras 6,750 rpm. Nilai tork maksimum mencecah 180 Nm pada paras 5,250 rpm mampu menjana kuasa tujahan yang mengagumkan, membolehkan motosikal ini mencapai kelajuan maksimum berkadar 200km/j (180km/j jika bersertakan Panel Pemijak). Penunggang juga dapat memanfaatkan Bantuan Mengundur yang didatangkan sebagai standard.
Kadar penggunaan bahan api BMW K 1600 B direkodkan pada paras 5.9 liter bagi setiap 100 km. Dikemas kini mengikut piawaian EU-5, daya kawalan emisi akan dibekalkan melalui penukar katalitik bercabang tiga dalam sistem tertutup untuk menjana output sekitar 137g bagi setiap satu kilometer perjalanan. Komponen alternator yang melengkapi jentera ini hadir dalam bentuk generator tiga fasa 700 W (kuasa nominal) yang dipadankan dengan bateri bebas penyenggaraan 12 V/26 Ah.
Kuasa disalurkan kepada BMW K 1600 B melalui klac multicakera bermediumkan minyak dan transmisi enam kelajuan bergigi heliks, justeru menjamin daya pembelokan yang dinamik di samping kelincahan yang lebih mengagumkan. Komponen utama bahagian suspensi ialah rangka jenis titian aluminium tuang, yang bersinambungan dengan BMW Motorrad Duolever pada suspensi sangga spring sentral di hadapan, manakala suspensi belakang disediakan menerusi BMW Motorrad Paralever.
BMW K 1600 B baharu juga menampilkan BMW Motorrad Integral ABS Pro dan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), berserta dengan tiga mod tunggangan: Rain, Road dan Dynamic. “Bagger” ini turut dilengkapi dengan fungsi kawalan brek enjin (MSR), Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Permulaan Curam (HSC), kawalan luncur elektronik, serta ESA Dinamik Generasi Baharu (dengan Pendatar Muatan Automatik) yang menjamin pengendalian serta dinamik pemanduan yang optimum. Jentera ini turut membawakan Gear Shift Assistant Pro, Bantuan Mengundur, dan Kawalan Tekanan Tayar (RDC) sebagai standard.
Penunggang BMW K 1600 B juga dapat menikmati unit komputer bersepadu yang menampilkan skrin paparan TFT berwarna 10.25 inci dengan fungsi Keterhubungan dan Navigasi Peta Terintegrasi, dikuasakan oleh aplikasi BMW Motorrad Connected, selain ruang pengecasan untuk telefon bimbit (USB-C). Kluster empat butang yang boleh dikonfigurasi juga membekalkan keupayaan operasi yang serba intuitif, sementara sistem Tunggangan Tanpa Kunci membolehkan kenderaan ini dihidupkan dengan lebih mudah berbanding kaedah konvensional.
BMW K 1600 B turut membawakan pelbagai kelengkapan opsyenal yang kini telah dijadikan standard, ia termasuk Penggera Antikecurian dan Sistem Pengunci Sentral untuk keselamatan tambahan, di samping Sistem Audio 2.0 untuk hiburan yang lebih memuaskan semasa menunggang. Jentera ini juga boleh didatangkan dengan Panel Pemijak untuk meningkatkan keselesaan dalam perjalanan jarak jauh, manakala ketinggian tempat duduk serba baharu yang agak rendah memberikan keselesaan maksimum dan akses yang mudah.
Para pemilik juga mempunyai pilihan untuk memperibadikan lagi BMW 1600 B mereka dengan aneka Aksesori BMW Motorrad Original bagi aspek muatan, keterhubungan, penampilan, ergonomik dan juga keselesaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai BMW K 1600 B baharu, para pelanggan boleh menghubungi pusat pengedaran BMW Motorrad bertauliah pilihan masing-masing atau layari laman sesawang BMW Motorrad Malaysia di sini.