YURA YUNITA Tunai Janji Buat Peminat Di Malaysia Konsert Pertama Di Zepp Kuala Lumpur
YURA YUNITA tunai Janji Buat Peminat Di Malaysia Konsert Pertama Di Zepp Kuala Lumpur
Hampir 10 tahun mencipta nama sebagai anak seni, ternyata nama Yura Yunita tidak lagi asing buat peminat muzik di Indonesia dan Malaysia. Terkenal melalui lagu-lagu ciptaannya yang cukup puitis, setiap karya bekas peserta pertandingan realiti, The Voice ini juga bagaikan magis yang mampu menjadi penyembuh jiwa buat si pendengar.
Bakal membuat Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur, ternyata ini merupakan momen penting buat penerima anugerah Artis Solo Wanita Pop Terbaik pada Anugerah Anugerah Musik Indonesia 2022 ini.
Berkongsi perasaan teruja untuk bertemu dengan peminat di negara ini, jelas Yura tempoh dua tahun menyimpan impian untuk beraksi secara langsung di hadapan peminat di Malaysia membuatkan dia cukup bersyukur diberikan kesempatan ini. Tambahnya, konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur ini juga merupakan lokasi pertama jelajah konsertnya.
“Menjadi impian terbesar saya untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Jadi ini adalah antara impian yang direalisasikan, saya sangat bersyukur dengan komitmen yang diberikan semua pihak dalam menghasilkan konsert ini.
“Paling indah, Kuala Lumpur juga merupakan lokasi pertama konsert sebelum ke lokasi lain. Semoga dengan penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.
Menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya, penyanyi berusia 31 tahun ini juga memberitahu Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi pentas terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai seorang anak seni tetapi seorang wanita dan juga isteri.
“Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang ingin saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.
“Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi pentas saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat untuk sentiasa berjuang. Soalnya setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya. Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu ciptaan saya yang akan saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia,” katanya.
Merupakan rakan duet mendiang Glenn Fredly untuk lagu, Cinta Dan Rahasia, Yura yang juga penerima anugerah Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 (AMI 2017) dan menjadi Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018) akan membawakan lagu-lagu terbaiknya pada konsert tersebut antaranya Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.
“Dua tahun saya menantikan saat ini, jadi saya janji untuk memberikan yang terbaik buat penonton di konsert ini. Saya juga memohon peminat saya untuk hadir memberikan sokongan kepada saya. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak penaja Wardah yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menghiburkan peminat di sini,” katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati membawa Yura ke Malaysia dalam menjawab permintaan peminat penyanyi ini yang mahukan Yura mengadakan persembahan di sini. Yakin dengan kemampuan yang dimiliki penyanyi kelahiran Bandung itu jelas Aliya Arisya Anuar pihaknya yakin Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan memukau peminat di Malaysia.
“Karya Yura mempunyai aura yang kuat dan selalu berbicara mengenai semangat dan inspirasi dalam kehidupan. “Karyanya banyak menyentuh mengenai kelebihan dan kekurangan manusia sehingga mengajak kita agar kuat percayakan diri. Lagu seperti Dunia Tipu-Tipu, Cinta dan Rahasia dan Tutur Batin antara bukti karya Yura memberi inspirasi kepada kita. Disebabkan itulah, Renjana Idea mahu semangat ini dikongsikan dalam konsert nanti," katanya.