BMW Malaysia Persembahkan BMW XM yang Sulung.
BMW Malaysia Persembahkan BMW XM yang Sulung.
Jentera SAV (Sports Activity Vehicle) BMW M GmbH sulung yang hadir dengan daya pacuan elektrik membuat penampilannya di Malaysia.
Jentera SAV (Sports Activity Vehicle) BMW M GmbH sulung yang hadir dengan daya pacuan elektrik membuat penampilannya di Malaysia.
Menjelang ketibaannya di pasaran Malaysia, BMW Malaysia mempersembahkan BMW XM yang sulung, jentera SAV BMW M GmbH berprestasi tinggi yang pertama kali didatangkan bersama daya pacuan elektrik. Dijadualkan tiba di Malaysia pada bulan Jun 2023, BMW XM yang sulung menampilkan sistem pacuan BMW M HYBRID yang serba canggih, digandingkan dengan teknologi suspensi M untuk menzahirkan sebuah pengalaman pemanduan yang dinamik dan yang tiada bandingannya. Produksi bagi BMW XM yang sulung telah bermula pada Disember tahun lalu di kilang Spartanburg milik BMW Group yang terletak di AS.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami benar-benar teruja untuk memperkenalkan BMW XM yang sulung di Malaysia. Jentera SAV serba eksklusif ini merupakan kereta berprestasi tinggi BMW M GmbH yang pertama bakal menampilkan sistem pacuan M HYBRID, lantas meluaskan lagi keupayaan e-mobiliti dalam segmen kereta berprestasi tinggi di Malaysia. Ia merupakan pengilhaman semula ideal automotif, dan karakteristik prestasinya yang ekstrem akan menjanjikan pengalaman pemanduan yang serba mewah buat para pelanggan dan penyokong jenama ini di Malaysia.”
BMW XM menandakan permulaan sebuah era baharu: buat julung kali sejak jentera legenda BMW M1 diperkenalkan pada tahun 1970-an, BMW M GmbH mempersembahkan sebuah model produksi yang dibangunkan secara bebas – jentera yang memiliki spesifikasi luar biasa dari segala sudut. Mengagumkan dari segi prestasi dan pesonanya, keistimewaan status BMW XM yang sulung dicerminkan dalam pelbagai bentuk, dengan kualiti material, mutu kerja dan keeksklusifan yang mendefinisikannya.
BMW XM yang sulung menggandingkan bahasa reka bentuk model-model BMW X dengan karakter yang menonjol serta aneka ciri yang elegan. Justeru, berbekalkan juga prestasi cemerlang sebuah model BMW M, maka terlahirlah jentera elektrik yang benar-benar memukau, memecah acuan tradisi dan kelaziman. Sebagai standard, BMW XM yang sulung hadir dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan yang disediakan untuk profil Shadow Line. Selain itu, lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan secara standard.
Dari sudut hadapan, BMW XM yang sulung membawakan gril “kidney” bersaiz besar dengan kisi-kisi M berkembar secara mendatar, lalu ia disempurnakan dengan kontur gril “kidney” beriluminasi. Di atasnya, terletak dua kubah kuasa sebagai elemen bonet yang berperwatakan ekspresif. Mengiringi gril tersebut ialah set lampu hadapan yang tampak jitu dan langsing, ia terbahagi kepada dua modul yang berasingan, satu untuk pencahayaan waktu siang dan satu lagi untuk lampu rendah/puncak.
Jika dilihat dari sisi pula, BMW XM menyerlahkan siluet tersendiri yang hadir dengan garis bumbung yang melandai, justeru membuahkan iras yang lebih garang. Dengan seksyen belakangnya yang menirus, tingkap sisi jentera ini menonjolkan lagi profil dinamik BMW XM yang sulung. Turut memperkayakan profil sisinya ialah jalur trim dalam rona “nightgold” yang selari dengan garisan tingkap. Set roda aloi ringan 23” Star Spoke Style 923 M Bicolour Night Gold Accent (set roda aloi ringan 23” Star Spoke Style 923 M Bicolour Black Accent untuk profil Shadow Line) mencungkil perwatakannya yang gah dan tangkas, manakala penutup saluran pengecas kenderaan ini melambangkan statusnya sebagai jentera SAV hibrid “plug-in”.
Seksyen belakang BMW XM telah dicorak untuk menzahirkan penampilan yang gagah, ia sebahagian besarnya disumbang oleh arkus roda jentera ini yang unik. Kelebaran BMW XM turut diserlahkan oleh lampu belakang berbentuk L yang langsing. Seperti setiap model BMW M, BMW XM yang sulung juga didatangkan dengan dua paip ekzos berkembar. Bagaimanapun, yang membezakan SAV BMW M berelektrik ini buat pertama kali ialah paip ekzos berbentuk heksagon yang disusun secara menegak, sebuah tafsiran yang unik bagi ciri signatur M, sambil menekankan kedudukan model BMW M tersebut sebagai jentera paling berkuasa tinggi setakat ini dalam famili BMW M.
Dari segi dimensi, panjang BMW XM yang sulung berukuran 5,100 mm, lebar berukuran 2,005 mm (2,235 mm termasuk cermin sisi) dan tinggi berukuran 1,755 mm, sementara jarak rodanya (wheelbase) pula berukuran 3,105 mm. Kapasiti muatan bagi SAV ini berukuran 527 liter, dan ia dapat ditingkatkan kepada 1,820 liter.
Eksterior yang mengagumkan, interior yang menawan.
Bukan luarannya sahaja, ruang kabin BMW XM yang sulung juga mampu mencuri perhatian. Selain kemasan trim interior bermaterialkan gentian karbon, ruang kabin SAV ini mengetengahkan BMW Curved Display, ia meliputi Paparan Informasi dan Paparan Kawalan beresolusi tinggi dengan ciri sentuh. Orientasi pemandu yang lazim dalam jentera BMW, serta skrin paparan khas untuk model BMW M memastikan pemandu mempunyai kuasa yang mutlak ke atas segala fungsi dan data pemanduan pada bila-bila masa. Mendefinisikan status M SAV ini secara visual ialah Stereng Kulit M, Tali Pinggang Keledar M, dan Kerusi Multifungsi M.
Di samping itu, material kulit vintaj serba baharu dapat dilihat pada panel pintu, termasuk seksyen atas panel instrumen – diperkayakan lagi dengan proses kemasan istimewa yang mencungkil karakteristik semula jadi material kulit Walknappa. Untuk keselesaan maksimum, fungsi ventilasi aktif pada bahagian tempat duduk di samping unit kawalan penyaman udara automatik 4 zon turut disertakan bersama, malah fungsi mengurut juga disediakan bagi pemandu dan penumpang di hadapan. Bukan itu sahaja, pencahayaan ambien dan BMW Iconic Sounds Electric turut memperkayakan lagi suasana ruang kabin, sementara elemen hiburan dalam kenderaan ini dibekalkan oleh sistem bunyi keliling Bowers & Wilkins Diamond.
Bagi ruang kabin di belakang, BMW mempersembahkan M Lounge, kontrasnya boleh dilihat membezakan pembahagian ruang kokpit. Keselesaan tempat duduk yang bertaraf kelas pertama dibekalkan melalui bangku belakang dengan ciri lengkungan yang dirumus untuk mendakap penumpang. Sementara itu, upholsteri kenderaan ini yang bersofistikasi tinggi pula menyuntik suasana ala “lounge” yang serba eksklusif. Akhir sekali, material bumbung Alcantara dengan struktur 3D prismatiknya membuat kenderaan ini tampak lebih luas, ia mempamerkan mutu kerja dan keselesaan bertaraf tinggi dengan cara yang amat mengagumkan.
Kini lebih berkuasa, juga amat lincah.
BMW XM yang sulung merupakan model BMW M yang pertama didatangkan dengan sistem pacuan hibrid “plug-in”. Kombinasi antara enjin pembakaran dalaman – yang membekalkan 360 kW / 489 kk serta nilai tork maksimum mencecah 650 Nm – dan motor elektrik memberi satu lagi kelebihan kepada prestasi M yang sinonim dengannya sambil meningkatkan efisiensi. Semasa ia dirungkaikan, BMW XM yang sulung hadir secara eksklusif dengan teknologi M HYBRID, berpaksikan M TwinPower Turbo V8 4.4 liter. Jentera ini turut membawakan sistem ekzos sport dengan ciri kawalan kelepak yang menonjolkan karakter ekstrovertnya, justeru profil bunyi yang setara dengan perwatakan ini telah disertakan bersama.
Output keseluruhan rangkaian kuasa (powertrain) BMW XM yang sulung merekodkan 480 kW / 653 kk dan 800 Nm tork, ia dibekalkan melalui transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan. Pecutan abad dapat dibuat oleh kenderaan ini dalam masa 4.3 saat sahaja. Dengan rangkuman Kawalan Pelancar, daya pecutan maksimum dijamin seawal posisi henti. Bagi BMW XM yang sulung, kelajuan tertingginya dihadkan pada paras 250 km/j (270 km/j dengan pakej M Driver, yang disertakan secara standard), manakala kelajuan tertinggi elektriknya dihadkan pada paras 140 km/j.
Seperti yang dijangkakan daripada kenderaan BMW M, SAV berelektrik ini – yang menampilkan sistem pacuan semua roda M xDrive serba pintar secara standard – membekalkan dinamik pemanduan yang luar biasa, pengendalian yang optimum, serta cengkaman maksimum. Di samping tetapan 4WD yang asas, pemandu dapat memilih mod 4WD Sport, yang mempunyai bias tayar belakang dan tahap kelincahan kenderaan ini dapat ditingkatkan melaluinya. Semasa menyusuri permukaan berpasir, mod 4WD Sand boleh digunakan untuk mengoptimumkan cengkaman, ia disumbang oleh komponen diferensial M Sport yang membekalkan distribusi boleh ubah bagi daya pacuan roda belakang untuk menjamin cengkaman dan stabiliti pemanduan yang lebih cemerlang.
Menerusi Adaptive M Suspension Professional yang disediakan secara standard, BMW XM yang sulung dilengkapi dengan peredam elektronik selain membawakan Penstabilan Guling Aktif yang mengurangkan pergerakan lateral pada tubuh kenderaan ini. Oleh itu, kelincahan dan corak membelok yang lebih baik dapat dinikmati. Selain itu, Stering Aktif Integral yang merupakan salah satu komponen rekaan casis yang penting akan membelokkan roda belakang sejajar dengan roda hadapan pada kelajuan tinggi, maka stabiliti kenderaan yang lebih baik dapat dijamin. Pada kelajuan rendah, roda belakang akan memaling ke arah yang bertentangan dengan roda hadapan, sekali gus menaik taraf kebolehgerakan kenderaan ini.
Di samping pusat graviti kenderaan ini yang rendah, sistem kawalan canggih seperti pengehadan gelincir roda berasaskan penggerak (actuator) turut menyumbang kepada ciri pengendalian dinamiknya yang luar biasa. Nyahpecutan yang optimum dibekalkan oleh brek M Sport standard dalam warna hitam berglos tinggi berserta cakera brek 508 mm di gandar hadapan.
Sementara itu, bateri voltan tinggi yang terletak di dalam lantai kenderaan ini membekalkan jarak operasi elektrik sejauh 88 kilometer. BMW XM yang sulung boleh dicas pada kadar setinggi 7.4 kW di stesen pengecasan AC. Dengan kapasiti bateri sebanyak 25.7 kWj (bersih), kenderaan ini boleh dicas penuh dari 0% hingga 100% dalam tempoh 4 jam 15 minit.
Aspek keterhubungan dan kepenggunaan yang optimum. Kini, aspek keterhubungan menjadi antara elemen yang terpenting bagi sebuah pengalaman pemanduan yang bertaraf tinggi. Oleh itu, BMW XM yang sulung hadir dengan BMW Live Cockpit Professional, ia menampilkan Paparan Informasi 12.3 inci, yang berfungsi seiring dengan Paparan Kawalan 14.9 inci untuk membekalkan pelbagai kemudahan dengan tata atur yang kemas. Tambahan lagi, Papar Pandu BMW (BMW Head-Up Display) terintegrasi menjamin garis pandangan yang optimum bagi pemandu, sekali gus memudahkan lagi penggunaan kenderaan ini. Bersama BMW Intelligent Personal Assistant, Sistem Operasi BMW 8 yang disuai untuk model M menawarkan keupayaan kawalan yang intuitif ke atas fungsi-fungsi kenderaan menggunakan pertuturan kata yang natural.
Di samping itu, BMW XM yang sulung juga didatangkan dengan pelbagai fungsi dan perkhidmatan digital yang lain seperti BMW ID, yang membolehkan tetapan tersuai diaktifkan sebaik sahaja kenderaan tersebut dihidupkan, selain BMW Gesture Control, yang memperkayakan lagi aspek komunikasi dengan kenderaan ini melalui isyarat tangan bagi pengoperasian sesuatu fungsi. Ciri-ciri kefungsian yang lain meliputi Connected Package Professional, Panggilan Kecemasan Pintar, Telekhidmat, Connected Drive Services dan Pengintegrasian Telefon Pintar (Apple CarPlay/ Android Auto).
Dengan Comfort Access, BMW XM yang sulung juga boleh mengecam kuncinya dari jarak yang ditetapkan dan menyahkunci pintunya secara automatik, memudahkan lagi pengguna. Sebagai alternatif, pemandu boleh menggunakan peranti pintar (jika ia bersesuaian) sebagai kunci tanpa sentuh menerusi BMW Digital Key Plus, ia membolehkan pengguna menyahkunci pintu kenderaan semasa menghampirinya.
Untuk BMW XM yang sulung, aneka sistem bantuan turut didatangkan bersama bagi membantu pengguna serta memperkayakan lagi pengalaman memandu. Dilengkapi sebagai standard ialah Driving Assistant Professional, yang merangkumi fungsi-fungsi seperti Steering and Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Lane Change Assistant, Active Cruise Control with Stop&Go, Lane Departure Warning, Front/Rear Crossing Traffic Warning, Emergency Stop Assistant dan Evasion Assistant. Sementara itu, Parking Assistant Plus yang standard pula mencakupi Reversing Assist, Lateral Parking Aid, Active Park Distance Control dan Surround View system. Ciri-ciri keselamatan yang lain meliputi Attentiveness Assistant, Acoustic Protection for Pedestrians dan Active Protection.
Warna-warna eksterior yang ditawarkan untuk BMW XM yang sulung merangkumi Cape York Green, Carbon Black, Marina Bay Blue, Toronto Red, Mineral White, Black Sapphire dan Dravit Grey. Bagi upholsteri interiornya pula, tawaran meliputi Leather Merino Deep Lagoon dengan konten eksklusif, Leather Merino Silverstone dengan konten eksklusif, Leather Merino Black dan Leather Merino Sakhir Orange.
Program pembiayaan dinamik.
Dengan pelan pembiayaan “Straight Line” yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW XM yang sulung boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 16,698.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh tujuh tahun).
Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Para pemilik jentera BMW XM yang sulung juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:
• Waranti Tanpa Had Perbatuan 5 Tahun berserta Program Servis Berjadual Percuma oleh BMW
• Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan oleh BMW
• Aplikasi Mudah Alih “BMW Group Loyalty+” - Kad Keistimewaan BMW
• Servis Dalam Talian BMW
Harga runcit (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW XM yang sulung dengan Pakej Servis & Waranti Lanjutan Bertempoh 5 Tahun ialah:
BMW XM yang Sulung
RM 1,398,800.00
Para pelanggan digalakkan untuk menghubungi wakil pengedar pilihan masing-masing untuk maklumat lanjut atau sila layari https://www.bmw.com.my/en/all-models/m-series/xm/2022/bmw-xm-overview.html.