Terkini | New

Terima Kasih Allah dari Faizal Ismail

Terima Kasih Allah dari Faizal Ismail

SERINGKALI kita mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran terhadap pemberian Yang Maha Esa buat hambanya. Bagaimanapun personaliti terkenal Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI mengambil pendekatan berbeza apabila memilih tajuk Terima Kasih Allah sebagai single terbarunya.


Terima Kasih Allah ciptaan dan lirik sepenuhnya Iwan Syahman adalah gambaran seorang insan yang pernah berdepan jalan kelam dalam hidupnya, sebelum kembali ke pangkal jalan. "Ia lebih kepada kesyukuran. Selalunya kita sebut Alhamdulillah. Yang ini kita nyatakan dalam tajuk Terima Kasih Allah.Ia adalah tanda penghargaan, apa yang Allah bagi dari segi nikmat dan hidayah," katanya.


Lagu ketuhanan berentak slow rock dengan lirik yang mendalam ini amat sesuai dengan vokal Faizal yang menyampaikannya dengan penuh penghayatan. Faizal yang kini kembali bekerja sebagai penyampai radio selepas sembilan tahun meninggalkan kerjaya terbabit berkata, proses rakaman single ini di studio milik Iwan sendiri sekitar lima bulan lalu.

"Iwan seorang yang versatil dalam bidangnya. Segala-galanya dibuat sendiri bermula dari rakaman, mixing (adunan akhir) serta muzik video dibuat sendiri. Bahkan cadangan untuk saya merakam lagu pun daripada dia sendiri. Kalau nak diikutkan, dah lama saya tak masuk konti sebagai penyampai radio.

"Menyanyi lagilah lama tak buat. Nyanyian bukan satu forte atau satu keutamaan. Cuma saya buat kerana minat dalam bidang muzik yang sememangnya dah lama. Untuk jadikan sebagai karier bukan satu keutamaan," katanya.

Untuk rekod, Faizal pernah menghasilkan album secara duo dengan bekas penyampai radio Khairil Rashid (Krill) yang menggelarkan mereka sebagai Khafi. Album berjudul Satu Jengkal ini dikeluarkan pada 2006. Dia juga pernah membuat kemunculan khas (featuring) dalam album Hari Raya dengan Faizal Tahir dan Shahir Zawawi semasa bertugas di radio.

Faizal berkata, semasa proses belajar dan mendekati agama kira-kira dua tahun lalu, dia berjumpa ramai orang dan salah satunya Iwan Syahman. "Kita sudah tahu kisah penghijrahannya. Dia salah seorang yang kalau dalam bidang seni orang nampak perubahan yang signifikan. Apabila berjumpa kami berbual. Kadang-kadang saya menyanyi juga lagu-lagu ketuhanan yang dia bawa. Bila dia jemput saya dalam ceramah, kuliah, ada orang minta menyanyi. Kadang-kadang kami sama-sama menyanyi.

"Dia kemudian tanya kenapa kau tak menyanyi? Dalam bentuk barulah,". Saya jawab saya bukan penyanyi sangat. Kemudian saya kata tak nak menyanyi cara lagu-lagu dulu," cerita Faizal.


Iwan Syahman kemudian melahirkan hasrat untuk menghasilkan lagu khas buat Faizal. Cadangan memang dari dia. Dia sanggup buat. Saya kata kalau nak buat jangan yang terlalu berat, maksudnya letak mesej yang berat-berat. "Bawa satu mesej yang 'straight to the point' yang senang orang nak terima. Dia lebih teruja sebenarnya untuk buat lagu ini kepada saya. Alhamdulillah dia dapat siapkan.


"Itu memang dia buat khas untuk saya, bagi saya dengar. Saya dapati melodinya bagus dan senang tangkap. Jadi setuju kita rekod. Itulah permulaannya," katanya. Masa yang diambil untuk rakaman Terima Kasih Allah hanya tiga jam sahaja untuk disudahkan. "Kemudian lagu ini diriliskan dan mula-mula sekali dimainkan di radio Zayan. Tanpa promosi yang kuat pun muzik video dapat 13,000 tontonan di YouTube Zayan. Tapi itu macam sekadar deal peribadi.

"Tiga bulan selepas itu barulah saya berbincang dengan Universal Music dan pilih mereka kerana tahu kekuatan mereka. Saya bukan sekadar nak masuk kerana nak dapat view semata-mata, tapi nak letakkan lagu yang berbentuk religi ini dalam genre lain yang orang suka seperti pop. "Bila pilih lagu ketuhanan, ia satu usaha dakwah juga. Saya cuba selitkan di situ dan alhamdulillah Universal Music terima. Lagu ini mula dirilis secara rasmi sejak 24 Februari lalu.


Single Terima Kasih Allah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music,KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Faizal kini bergelar penyampai di radio Zayan sejak 16 Januari 2023. Dia bergandingan bersama Mawi dan Anas dalam slot Zayan Pagi dari Isnin hingga Jumaat jam 6 hingga 10 pagi.