Vanessa Reynauld Tampil Dengan Single Terbaru, Runut Bunyi Rasmi Bagi Drama Andai Itu Takdirnya
Vanessa Reynauld Tampil Dengan Single Terbaru, Runut Bunyi Rasmi Bagi Drama Andai Itu Takdirnya.
Penyanyi muda, Vanessa Reynauld bukanlah satu nama asing dalam industri hiburan tanah air. Gadis berusia 23 tahun ini mempunyai vokal yang lantang dan kelas nyanyian tersendiri. Berita baik buat semua peminat, Vanessa kini tampil dengan single terbarunya berjudul Andai Itu Takdirnya. Menurut Vanessa, dia mula menyukai lagu tersebut sejak mula diberikan demo, meskipun ketika itu sentuhan akhir masih belum digarap sempurna.
"Sebaik mendengar melodinya, saya rasakan ia mudah diingati dan sangat sedap didengar, lalu saya pun menerima tawaran untuk menyanyikan lagu ini. Bait liriknya boleh menyentuh hati orang yang mendengar, saya juga menyukai elemen sedih dan perit yang cuba disampaikan dalam naskah lagu ini.
"Antara kekuatan lagu Andai Itu Takdirnya adalah ia dipilih untuk menjadi lagu runut bunyi rasmi bagi drama Andai Itu Takdirnya. Oleh itu, para pendengar akan lebih mendalami dan menghayati lagu ini berdasarkan perspektif yang dipertontonkan dalam drama berkenaan, baik dari segi jalan cerita dan sebagainya,” katanya.
Pemenang kategori Artis Baru Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) itu berkongsi interpretasinya tentang kisah yang terkandung dalam lagu Andai Itu Takdirnya. Kata Vanessa, lagu tersebut bukanlah terhad kepada satu situasi kehidupan semata-mata.
Lagu Andai Itu Takdirnya ditulis oleh Siti Rosmizah serta digubah oleh Ejai Aziz dan Kelana. Vanessa akui berasa senang sepanjang terlibat dalam proses merakam lagu berkenaan.
"Bekerjasama dengan mereka sangat mudah, saya dapat demo yang dinyanyikan oleh Abang Ejai. Saya masuk ke studio untuk rakam lagu bersama Kelana, dia telah bantu saya dari segi melodi dan cara penyampaian. Saya juga telah belajar tentang lagu ini sebelum masuk ke studio bagi memudahkan lagi proses rakaman.
"Secara peribadi, saya tidak pernah berjumpa Kak Siti Rosmizah, tapi saya sangat menyukai cara penulisannya dalam lirik Andai Itu Takdirnya. Saya juga tak pernah jumpa Abang Ejai, tetapi perjalanan menyempurnakan lagu ini semuanya berjalan dengan lancar, proses rakaman di studio pula mengambil masa sekitar tiga ke empat jam untuk disiapkan," jelasnya.
Akhir kata, Vanessa berkongsi harapannya tentang lagu Andai Itu Takdirnya yang telah dinyanyikan dengan jujur dari hatinya. Dalam kesempatan sama, artis di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia itu juga tidak lupa mendedikasikan kata-kata istimewa buat semua peminat yang sentiasa memberi sokongan tanpa jemu.
"Saya harap para pendengar dapat merasai kisah yang tersirat menerusi cara nyanyian yang saya sampaikan. Saya juga mahu semua orang yang patah hati di luar sana untuk pulih segera. Semoga lagu ini dapat sambutan yang baik daripada para peminat saya. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang perjalanan dalam industri muzik ini dan sentiasa sabar menunggu karya daripada saya. Saya harap lagu ini berjaya membuatkan orang ramai dengar berulang kali umpama 'menghantui' mereka, kerana secara peribadi saya sangat menyukai lagu Andai Itu Takdirnya, jadi saya harap para peminat merasakan hal sama," katanya.
Lagu Andai Itu Takdirnya nyanyian Vanessa dan hasil karya Siti Rosmizah selaku penulis lirik serta digubah oleh Ejai dan Kelana.
Sementara itu, lagu Andai Itu Takdirnya juga boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
Akaun Media Sosial Vanessa Reynauld
Instagram: https://www.instagram.com/vanessareynauld/