Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds Tampil Anuar Zain
Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds Tampil Anuar Zain
Sekolah tersohor dengan pencapaian terbaik dalam dan luar negara, Seri Puteri (SSP), Cyberjaya buat julung kalinya bakal menganjurkan konsert amal 'FLOURISHES 23: SYMPHONIC GALA CONCERT’ pada 20 Mei ini, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.
Konsert gala yang dijayakan menerusi Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi meneruskan legasi kecemerlangan SPWinds ke pertandingan International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September nanti. Justeru, dalam merealisasikan hasrat anak-anak tempatan yang terbabit, dana yang diperlukan adalah RM900,000.
Lebih membanggakan, penganjuran konsert amal itu mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta menampilkan penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain. SPWinds adalah sebuah pasukan wind orkestra yang ditubuhkan pada tahun 1976 di Sekolah Seri Puteri. Ia diiktiraf sebagai School of Global Excellence (SGE) oleh KPM.
SPWinds yang merupakan watak kebitaraan SSP telah memanifestasi pengiktirafan SGE, dengan memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara di pentas ternama dunia muzik klasik seperti Carnegie Hall di New York dan Golden Hall Musikverein di Vienna, Austria.
Tidak dinafikan lagi, pelbagai kejayaan yang diraih itu menjadikan Sekolah Seri Puteri antara sekolah terbaik di Malaysia dengan rekod kecemerlangan tertinggi akademik dan pencapaian kokurikulum yang luar biasa di peringkat global.
Semua hasil kutipan konsert ini akan disalurkan kepada SPWinds. Melalui konsert ini, SPWinds juga mengharapkan kerjasama pihak swasta dan mengalu-alukan sumbangan individu dan tajaan pihak korporat dalam menjayakan misi ROAD TO BARCELONA 2023.
Tiket konsert boleh didapati melalui laman web TICKETEMPIRE di https://www.myticketempire.com/flourishes23 dengan harga bermula RM168 hingga RM468.