Terkini | New

McDonald’s Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad Jalin Kerjasama Strategik Kurangkan Jejak Karbon melalui Tenaga Boleh Diperbaharui

McDonald’s Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad Jalin Kerjasama Strategik Kurangkan Jejak Karbon melalui Tenaga Boleh Diperbaharui.


McDonald’s Malaysia mengukuhkan lagi komitmennya melibatkan alam sekitar dan kelestarian, seiring dengan komitmen McDonald’s Global untuk mencapai sifar karbon dalam segenap operasinya di peringkat global menjelang 2050.

Dalam satu majlis, McDonald’s menandatangani kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) untuk pemasangan bumbung fotovoltaik solar (PV) melalui penandatanganan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE). Kemudahan solar PV tersebut akan dipasang di 100 restoran Pandu-Lalu McDonald’s di seluruh negara secara berperingkat, dan dijangka siap pada Disember 2024.


Sejak Jun 2023, McDonald’s telah memulakan fasa awal bagi inisiatif kelestarian dengan kerjasama TNB, melibatkan pemasangan bumbung solar PV di beberapa restoran McDonald’s terpilih. Dalam fasa awal, GSPARX yang merupakan anak syarikat TNB telah memasang sistem bumbung solar di 39 restoran McDonald’s di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 1216.18kWp. Ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan McDonald’s kearah inisiatif kelestarian jangka panjang.


Di bawah SARE, GSPARX bertanggungjawab membina, memasang, mengoperasi dan menyelenggara kemudahan solar PV dengan saiz sistem 2.5MWp untuk 100 restoran McDonald’s. Dengan pelaksanaan projek solar ini, McDonald’s Malaysia dijangka mampu mengurangkan kos penggunaan elektrik sebanyak RM7 juta untuk kesemua restoran ini.


“Kerjasama yang terjalin dengan TNB dan GSPARX sangat bermakna bagi McDonald’s Malaysia dalam melaksanakan penyelesaian hijau yang mampu mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran karbon. Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami kearah ekosistem yang lebih lestari. Melangkah ke hadapan, matlamat kelestarian kami bakal membentuk asas dalam cara kami mengembangkan perniagaan, menyantuni komuniti dan meminimumkan kesan terhadap alam sekitar,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.


“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan McDonald’s Malaysia dan menyumbang kepakaran kami dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Kerjasama ini mengetengahkan komitmen TNB menyokong syarikat terkemuka seperti McDonald’s kearah mengurangkan penggunaan karbon dalam operasi mereka. Kami percaya yang kerjasama ini mampu mewujudkan pertumbuhan perniagaan yang signifikan untuk kedua-dua organisasi, pada masa sama mempercepatkan usaha ke arah Peralihan Tenaga,” kata Dato’ Indera Ir. Baharin Din, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad.




Selain menandatangani SARE, McDonald’s juga akan bekerjasama dengan GSPARX untuk pembangunan stesen pengecas Kenderaan Elektrik (EV) di restoran McDonald’s terpilih, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan menyokong mobiliti elektrik di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif kelestarian oleh McDonald’s Malaysia, layari www.mcdonalds.com.my