Terkini | New

CelcomDigi perkenal jenama korporat baharu dengan aspirasi untuk teraju inovasi dan pendigitalan

CelcomDigi perkenal jenama korporat baharu dengan aspirasi untuk teraju inovasi dan pendigitalan

· Lambang baharu jenama ini mencerminkan integrasi Celcom dan Digi serta simbolik kepada dinamisme, mengutamakan pelanggan dan kecemerlangan

· Pelanggan akan terus menikmati tawaran produk di bawah Celcom dan Digi


PETALING JAYA, 19 Oktober 2023 – CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) hari ini memperkenalkan logo korporat baharunya – sebuah manifestasi terhadap aspirasi syarikat untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai oleh pelanggan serta rakyat Malaysia dalam inovasi serta pendigitalan.


Celcom dan Digi merupakan antara jenama yang paling dipercayai dan disayangi di Malaysia selama tiga dekad. Pengenalan logo baharu ini merupakan langkah signifikan dalam misi syarikat selepas penggabungan, untuk mencari cara yang inovatif bagi memajukan rakyat Malaysia dalam mencapai semua yang mereka impikan dan ilhamkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “Sejak termeterainya penggabungan kami pada Disember 2022, kami telah memperkenalkan pelbagai perkhidmatan, penyelesaian, dan inovasi baharu secara progresif. Hari ini, lebih daripada sekadar lambang baharu, jenama korporat baharu ini turut menggambarkan permulaan lembaran yang unggul untuk pelanggan, negara, dan CDzen yang memperkasakan organisasi ini setiap hari. Pembaharuan ini didorong oleh semangat jenama kami iaitu ‘Mencipta dunia yang diinspirasikan oleh anda’, dengan menerapkan tiga prinsip asas, iaitu dinamisme, mengutamakan pelanggan dan kecemerlangan.

“Kami berhasrat untuk mengangkat CelcomDigi sebagai ikon inovasi baharu negara – sebuah institusi yang mempunyai skala serta sumber untuk menjadi penggerak kepada pertumbuhan digital negara, mengembangkan bakat tempatan, membangunkan ekosistem digital tempatan, dan menyediakan penyelesaian, tawaran, serta pengalaman terbaik buat pelanggan. Di samping menjadi jenama yang boleh dipercayai oleh pelanggan dalam era ‘segalanya digital'.”


323 hari pencapaian

Sejak penggabungan Celcom dan Digi pada Disember 2022, kedua-dua jenama – kini di bawah satu entiti korporat tunggal CelcomDigi Berhad – terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan perniagaan dengan lancar, menyepadukan perkhidmatan serta produk, memperkenalkan tawaran baharu, membina rangkaian digital masa depan negara, dan mewujudkan sebuah organisasi terbilang yang dikemudi oleh barisan bakat terhebat di Malaysia.

Pada April 2023, syarikat ini melancarkan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan mengintegrasi dan memodenkan rangkaian 4G terbesar dan terpantas di Malaysia menerusi teknologi LTE dan sedia-5G yang terkini. Langkah ini berjaya meningkatkan keseluruhan pengalaman rangkaian buat pelanggan yang mana selepas penggabungan, pelanggan kini dapat menikmati liputan yang lebih luas serta pengalaman pelanggan yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, syarikat ini juga memperkenalkan tawaran segmen baharu untuk perkhidmatan rumah dan fiber, serta peranti di bawah CelcomDigi Fibre dengan gentian satu gigabait sesaat (Gbps) yang pertama di Malaysia di setiap bilik, dan untuk segmen perniagaan melalui CelcomDigi Business. CelcomDigi juga menggalakkan secara aktif pengadaptasian pendigitalan dan 5G For All dalam kalangan pengguna serta perniagaan melalui pakej peranti 5G mampu milik termasuk siri MY5G, dalam menerajui pembangunan 5G dan mempromosikan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Terbaru, CelcomDigi, melalui Pusat Inovasinya telah bekerjasama dengan DHL untuk melancarkan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di negara ini. Di samping itu, syarikat ini juga menjalin usahasama dengan Yinson Holdings untuk pembangunan perkhidmatan dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) yang inovatif buat pengguna Malaysia. Selain itu, CelcomDigi juga telah menandatangani perkongsian strategik bersama SK Telecom dan VIRNECT dalam bidang yang memacu inovasi dengan pengaplikasian 5G, AI dan Metaverse.

“Dalam kerancakan CelcomDigi memenuhi janji berdasarkan pada skala, pengalaman, sumber dan bakat, para pelanggan masih menjadi fokus utama kami. Penyepaduan efisien kesemua kedai Celcom dan Digi serta saluran perniagaan telah membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lancar kepada semua pelanggan. Ini membolehkan kami untuk terus meningkatkan perkhidmatan pelanggan, membawa lebih nilai serta lebih banyak produk penumpuan (converged) buat mereka, menerusi rangkaian terbesar dan terpantas di Malaysia. Kami amat teruja untuk terus mengorak langkah ke hadapan, dan pelanggan boleh menjangkakan lebih banyak lagi tawaran akan datang daripada CelcomDigi,” tambah Datuk Idham.

Menyediakan penyelesaian, tawaran dan pengalaman terbaik kepada pelanggan dalam era “segalanya digital”


CelcomDigi komited untuk menjadi penyedia digital buat rakyat Malaysia dengan menawarkan produk yang komprehensif, inovasi dan penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT), melangkaui perkhidmatan telekomunikasi untuk menghubungkan masyarakat di mana sahaja serta meningkatkan gaya hidup digital rakyat Malaysia.


Untuk maklumat lanjut mengenai CelcomDigi, layari www.celcomdigi.com