Terkini | New

KEPERIHATINAN LUAR BIASA RAKYAT MALAYSIA: 2 BUAH KONTENA BERISI PAKAIAN MUSIM SEJUK UNTUK PELARIAN SYRIA SIAP UNTUK DIHANTAR

KEPERIHATINAN LUAR BIASA RAKYAT MALAYSIA: 2 BUAH KONTENA BERISI PAKAIAN MUSIM SEJUK UNTUK PELARIAN SYRIA SIAP UNTUK DIHANTAR


Syria Care telah berkampung Selama lebih seminggu di Dewan Melati, Seksyen 7 Shah Alam dari 14 Oktober hingga 22 Oktober 2023 bagi menjayakan projek ‘Warm Their Winter’ iaitu projek pengumpulan pakaian musim sejuk baharu dan terpakai hasil sumbangan orang ramai.



Sokongan yang ditunjukkan masyarakat di Lembah Klang dan juga luar dari negeri Selangor pada dua hari terakhir pengumpulan telah meningkatkan lagi sasaran 756 kotak pakaian musim sejuk baharu dan terpakai kepada 1,300 kotak dengan anggaran setiap satunya seberat 10 hingga 15 kilogram.




Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Puan Siti Sakinah Binti Meor Omar Baki berkata, sumbangan pakaian yang meningkat dalam masa dua  hari ini adalah satu  keajaiban dari tuhan serta menunjukkan rakyat Malaysia sentiasa menjadi tangan awal dalam membantu mereka yang berada dalam kesusahan.


Cabaran dihadapi pihak Syria Care ketika ini adalah dana bagi menghantar kontena yang masih belum mencapai sasaran yang diperlukan dan masih berbaki RM90,000.



Syria Care turut berterima kasih atas khidmat sukarelawan yang disumbangkan dari Briged Sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UITM), Management Science University (MSU), Kolej Poly-Tech Mara cawangan Bangi (KPTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Nilai dan Universiti Malaya (UM).



Projek ini juga mendapat kerjasama serta sokongan Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation, Qalby App, World Peace Entertainment, Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP ZON 3), De Haramain, Sasuke Bundle, Moon’s Kitchen serta Jakel Shah Alam.





Pelepasan kontena bantuan pakaian musim sejuk ini adalah fasa awal dari projek utama ‘Winter Aid’ Syria Care yang merangkumi bantuan pakaian musim sejuk (Warm Their Winter), bantuan bahan bakar (Fuel Aid) dan bantuan pek makanan (Order Food) dengan sasaran kutipan berjumlah RM1.3 juta sehingga Januari 2024.


Orang ramai yang ingin meringankan bebanan pelarian Syria dalam musim sejuk kali ini, boleh menyumbang kepada tabung ‘Winter Aid’ menerusi akaun Maybank: 562106653575 atau CIMB: 8601894560 dengan rujukan ‘WinterAid’.

Sehubungan itu, Syria Care mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi memastikan penghantaran bantuan musim sejuk dapat dibuat dengan seberapa segera.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Syria Care di talian 011-3703 0900