Terkini | New

“Nimbus Esport Festival 2023” pentas sukan permainan video terbesar tahun ini.

“Nimbus Esport Festival 2023” pentas sukan permainan video terbesar tahun ini


Nimbus Games Sdn Bhd (Nimbus Games), syarikat pembina permainan video tempatan bakal menganjurkan Nimbus Esports Fest 2023 yang merupakan festival sukan esport tahunan terbesar di Malaysia.

Festival yang diadakan selama dua hari di Sunway Geo Avenue mulai 25 November ini bakal menghimpunkan lebih 20,000 pemain industri sukan permainan video dari seluruh negara.



Ketua Pengeluar Nimbus Games, Joseph Teng Tze Luen berkata, matlamat penganjuran festival ini adalah sebagai pentas untuk membangunkan bakat sukan permainan video selain melahirkan bakat baharu bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga pembina permainan video.

“Ini merupakan kali pertama festival terbesar seumpamanya dianjurkan. Kami berharap ia akan menjadi acara tahunan dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Esports Malaysia (MESF).



“Nimbus Esports Fest akan menghimpunkan para penggiat sukan permainan video termasuk pemain, pembina, pengeluar dan juga pengulas permainan video seluruh negara dalam satu acara,” jelasnya.

Empat pertandingan permainan video seperti PUBG Mobile, Mobile Legend: Bang Bang, Valorant dan Takken yang merupakan permainan video popular di seluruh dunia juga akan diadakan pada festival kali ini.



Sebanyak 120 pasukan akan bertanding merebut hadiah terkumpul sebanyak RM30,000 dalam pertandingan tersebut. Antara pasukan profesional yang akan menyertainya adalah seperti Team Haq, Homebois, Todak, RSG Malaysia dan MPXNSEA.

Pertandingan ini bukan sahaja mencari pemenang yang terkenal dengn kehandalannya tetapi sebagai medan untuk membentuk sebuah komuniti antara pemain dan pasukan yang terlibat bagi tujuan berkongsi pengalaman dan
kepakaran.

Joseph Teng berkata, populariti sukan permainan video semakin meningkat di peringkat global dan Malaysia tidak juga kurang hebatnya apabila berjaya memenangi tempat kedua pada acara Sukan Asia, China baru-baru ini.

“Ini membuktikan bahawa negara kita turut mempunyai pemain bertaraf antarabangsa dan mampu bersaing di pentas antarabangsa jika diberi pendedahan dan sokongan semua pihak yang terlibat.

“Peningkatan minat dalam kalangan belia Malaysia juga memberikan keyakinan bahawa Nimbus Esports Fest boleh menjadi sebagai sebuah medan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini.

“Kita perlu mempunyai pelapis dan mencari bakat baharu, justeru festival ini dilihat sebagai satu cara yang positif untuk memperkenalkan sukan permainan video kepada ibu bapa yang mungkin skeptikal terhadap potensi sukan ini,”
jelasnya.

Pengunjung yang hadir turut berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik seperti Zon Permainan Video Retro, Cosplay Corner, cenderahati retro dan juga menikmati pelbagai makanan di gerai makanan serta minuman yang turut disediakan.