Terkini | New

TURKISH AIRLINES KL TOWER INTERNATIONAL TOWERTHON CHALLENGE 2023

TURKISH AIRLINES KL TOWER INTERNATIONAL TOWERTHON CHALLENGE 2023.


Bersempena dengan Ulang Tahun Menara Kuala Lumpur yang ke-27, sepanjang bulan Oktober ini, Menara Kuala Lumpur akan mengadakan beberapa acara, bermula dengan ‘Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2023’ yang telah berlangsung sebagai salah satu acara kemuncak bagi meraikan ulang tahun tersebut.


“Sepanjang Oktober ini, Menara Kuala Lumpur telah merancang beberapa aktiviti menarik sebagai menyambut kejayaan Menara Kuala Lumpur sejak penubuhannya pada 1996. Kami akan mengadakan acara seperti ‘KL Tower Feast’ di mana kami akan mengadakan aktiviti trak makanan, pertunjukan kebudayaan dan berkelah di Tower Terrace kami,” kata Encik Nazli Saad, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.





Sementara itu, tambahnya, ini merupakan edisi ke-21 di mana acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge’ ini telah dianjurkan di Menara Kuala Lumpur.






“Kami amat bangga dengan jumlah peserta pada tahun ini walaupun cuaca tidak menyebelahi kami, kami masih berjaya mendapatkan jumlah peserta yang baik. Ini menunjukkan bahawa para peserta masih berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti ini. 




Saya percaya bahawa kebanyakan peserta mempunyai minat yang sama, dan mereka berkongsi minat yang besar untuk acara sukan ini. Menara Kuala Lumpur amat teruja untuk menganjurkan lebih banyak acara seperti ini di mana kami boleh menarik rakyat Malaysia dan pelancong luar untuk bersama-sama menyertai aktiviti seperti ini,” katanya.




Semasa majlis penyampaian hadiah, seramai sepuluh peserta ‘Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2023’ yang bertuah telah membawa pulang hadiah menarik melalui cabutan bertuah. Hadiah utama bagi cabutan bertuah tersebut adalah dua tiket penerbangan pergi balik ke Istanbul, Türkiye, bernilai RM15,000.






100 peserta dengan catatan masa yang terbaik merangkumi enam kategori yang dipertandingan telah memenangi t-shirt ‘FINISHER’, selain membawa pulang hadiah dan barangan daripada rakan acara yang mengambil bahagian.


Rakan acara yang telah terlibat secara langsung bersempena dengan acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge’ pada tahun ini adalah Turkish Airlines sebagai penaja utama, dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan, Tourism Malaysia, Jabatan Bomba & Penyelamat (BOMBA) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan disokong oleh DEI Global, Syauqi Group, Prime, citizenM Hotel Kuala Lumpur, The Boom Bevlab, Starbucks, Jantzen, Garmin, KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, N8 Nutrition, Cool Rhino, FAMA, Nestle Ice Cream, Nestle Milo, Nestle Fitnesse dan Nestle Lively Tea.