Terkini | New

Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar Bersama IPC Shopping Center Kerjasama Alliance Bank

Inovator Muda Bersatu: IPC Shopping Centre Memperkasakan Kanak-kanak dan Remaja bagi Mewujudkan Masa Depan yang Lebih Lestari Menerusi ‘Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar’

Pusat beli-belah itu bekerjasama dengan Alliance Bank bagi menggalakkan kanak-kanak dan remaja menyumbang kepada masa depan mampan dengan penyelesaian kreatif bagi menangani isu sisa buangan.


IPC Shopping Centre dengan kerjasama rakan supernya, Alliance Bank hari ini menandatangani memorandum persetujuan (MoA) bagi melancarkan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC. Inisiatif ini terbuka kepada pelajar yang berusia 7 hingga 17 tahun, dengan matlamat untuk menyemarakkan kreativiti minda golongan muda, menggalakkan mereka untuk mencipta penyelesaian berinovasi dan mesra alam bagi menyelesaikan isu alam sekitar menggunakan bahan kitar semula dan boleh kitar semula.



Selama dua dekad lalu, IPC Shopping Centre sentiasa komited untuk mencipta masa depan yang lebih mampan untuk komunitinya. Pusat Kitar Semula dan Beli Balik (RBBC) miliknya, yang mula beroperasi pada tahun 2009 dan kemudiannya dinaiktaraf pada tahun 2022, memainkan peranan penting dalam memperkasakan para pengunjung untuk mengamalkan gaya hidup mampan, dengan menerima sehingga 15 kategori bahan yang boleh kitar semula, termasuk kadbod, kertas, plastik, besi, aluminium, karton minuman, polistirena, tekstil, lampu mentol, tiub lampu pendarfluor, ubat, kaca, bateri, e-sisa dan sisa makanan. Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC yang akan bermula pada hari ini dan berlangsung hingga 3 Mac 2024 bakal mengembangkan lagi komitmen ini dengan mencabar para pelajar membina sama ada prototaip berfungsi atau model prototaip yang bertujuan untuk menangani isu-isu berkaitan dengan sisa menggunakan bahan boleh kitar semula yang sama diterima di RBBC.


Pengurus Besar IPC Shopping Centre, Karyn Lim berkata, “Sempena ulang tahun ke-20, kami dengan gembira memperkenalkan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC. Di IPC Shopping Centre, kami sentiasa komited terhadap kemampanan dan usaha mengurangkan impak kami ke atas alam sekitar. Kami berbangga kerana dapat menyediakan ruang yang selesa untuk komuniti kami, tempat di mana individu dari semua peringkat usia dapat berkumpul bagi mencipta kenangan indah bersama-sama dan juga menyertai aktiviti yang dapat memberikan manfaat baik kepada planet ini. Itulah sebabnya kenapa menerusi Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC ini, kami ingin menyediakan platform untuk generasi masa depan kita mempamerkan kreativiti dan idea hijau mereka. Kami berharap anugerah yang julung kali diadakan ini akan mencetuskan minat dan rasa ingin tahu mengenai inovasi dan penyelesaian hijau dalam kalangan kanak-kanak dan remaja supaya mereka bukan sahaja mendapat inspirasi tetapi turut diperkasakan bagi menyahut cabaran alam sekitar di sekeliling mereka.”



Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum menambah, “Di Alliance Bank, misi kami adalah untuk menambah baik kualiti kehidupan, dan salah satu cara untuk melakukannya ialah dengan memainkan peranan kami dalam usaha membantu memelihara planet ini. Sebagai lanjutan kepada kerjasama kami dengan IPC Shopping Centre dalam kempen ‘GavÃ¥ with Your Recyclables’ sebelum ini, kami gembira kerana dapat mengukuhkan lagi kerjasama dengan IPC Shopping Centre bagi menjayakan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar ini untuk memupuk generasi yang dapat menyumbang secara aktif ke arah usaha memulihara alam sekitar kita demi kebaikan bersama. Kerjasama ini juga selaras dengan slogan jenama kami ‘The Bank for Life’ dan usaha kami dalam menjayakan inisiatif ESG, yang berteraskan kepada usaha menyokong pelanggan kami pada setiap langkah perjalanan kehidupan mereka. Dengan pengenalan anugerah ini, kami berharap dapat melahirkan lebih ramai lagi Wira Kecil Alam Sekitar dan bekerjasama bagi mengubah komuniti kita menjadi lebih baik, tempat yang lebih lestari untuk semua.”




Untuk mengambil bahagian dalam Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar ini, para pelajar perlu terlebih dahulu membentuk sebuah kumpulan yang terdiri daripada 3 hingga 5 orang ahli, mengikut kategori usia mereka, iaitu 7 hingga 12 tahun dan 13 hingga 17 tahun. Seterusnya, mereka dikehendaki menghantar sebuah video pembentangan tidak lebih daripada 5 minit. Video tersebut patut merangkumi pengenalan dan inspirasi ciptaan mereka serta penerangan tentang bagaimana bahan kitar semula digunakan dalam proses ciptaan mereka. 20 pasukan finalis terbaik kemudiannya diberi peluang untuk membangunkan dan mempamerkan prototaip serta papan poster mereka di IPC Shopping Centre bermula dari 17 Februari hingga 2 Mac 2024 untuk sesi undian awam melalui laman Facebook rasmi IPC Shopping Centre sebagai sebahagian daripada proses penghakiman.

20 pasukan finalis terbaik itu akan dijemput kembali ke IPC menghadiri Peringkat Akhir Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar pada 3 Mac 2024 di mana setiap pasukan akan diberikan masa 10 minit untuk membuat pembentangan secara langsung dan sesi soal jawab dengan panel hakim di Ruang Legar, Aras G IPC Shopping Centre.

Pendaftaran pasukan dan penyerahan video pembentangan dibuka dari 1 November hingga 8 Disember 2023, dan tarikh akhir lain untuk pertandingan ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah:


Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC akan menampilkan beberapa kategori anugerah, setiap satu meraikan aspek inovasi alam sekitar muda yang berbeza:

● Paling Kreatif: Si kecil berwawasan yang bergemerlapan dengan imaginasi.
● Paling Praktikal: Si kecil genius penyelesai masalah.
● Paling Inovatif: Si kecil pintar dengan idea ciptaan yang hebat.
● Paling Estetik: Artis kecil dengan idea yang dapat mewarnai dunia dengan kehidupan.
● Paling Mampan: Si kecil penyayang yang mencipta dengan rasa kasih kepada bumi.

Pasukan yang menang akan menerima hadiah berikut:

● 120,000 Mata Tack (bernilai RM1,000 dan akan dimasukkan ke dalam akaun keahlian Tack Club yang dicalonkan).
● Wang tunai RM500 (dikreditkan ke dalam akaun Alliance Bank pasukan yang dicalonkan (seorang penerima bagi setiap pasukan)).
● Piala (diperbuat daripada bahan kitar semula).
● Sijil (sijil peribadi untuk setiap ahli pasukan).

Sempena dengan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC, pusat beli-belah itu turut menjemput ahli Små Club untuk menyertai aktiviti mingguan di sepanjang November ini yang menyasarkan untuk merangsang minda generasi muda agar mereka dapat mengamalkan corak pemikiran mampan berinovasi.


Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC, sila layari ipc.com.my/littleheroes.