Majlis Pelancaran Single Kumpulan Margasatwa Berjudu Kasa Rubia
Majlis Pelancaran Single Kumpulan Margasatwa Berjudul Kasa Rubia Menggali Kekuatan Rohani
Margasatwa membuka 2024 dengan single terbaru Kasa Rubia yang ternyata menguatkan lagi signatur bunyian dan muzik Margasatwa yang tersendiri. Kasa Rubia merupakan single pertama daripada album kedua Margasatwa yang bertajuk Seribudaya yang mengandungi 11 lagu dijangka akan rilis pada pertengahan 2024.
Kimal berkata pada asalnya lagu ini disiapkan bersama Allahyarham Tony Alberto / Tony Spider selaku penerbit asal album namun Allah lebih menyayangi beliau dan Margasatwa mengambil masa yang agak lama untuk mencari pengganti beliau dan meneruskan perjalanan merakam album baharu.
"Sepanjang perjalanan menghasilkan lagu ini ada antara kami yang telah kematian orang yang tersayang. Maka seluruh jiwa dan raga serta air mata kami telah disertakan bersama lagu Kasa Rubia untuk dijiwai semua peminat kami dan seluruh dunia."
Gabungan unsur muzik Pop Klasik dan sentuhan Rock menjadikan karya ini begitu unik dan sangat dinamik dilengkapi susunan muzik yang dihasilkan oleh Margasatwa dan Loque selaku penerbit bersama. Runut Saxophone dan Perkusi menambah perisa dan memberi mood yang segar untuk muzik Margasatwa. Lagu ini dirakamkan di Makmal Kampung Batu dan diterbitkan oleh Penerbitan Tongkat Sakti.
Menarik apabila dilihat pada liriknya ada menyebut tentang Kebaya Nyonya yang diperbuat daripada bahan kasa rubia, cucuk sanggul dan kasut manik yang menjadi pelengkap pakaian tradisi bagi masyarakat Peranakan ataupun Baba Nyonya. Unsur dan perincian sebegini jarang diketengahkan dalam lagu Melayu kontemporari namun seakan mudah dihadam dan sangat sesuai apabila dibawakan oleh Margasatwa.
Apabila ditanya mengenai maksud lagu ini, Kimal berkata dia lebih suka jika para pendengar dapat menafsirkannya mengikut kefahaman masing-masing kerana ia akan lebih bermakna.
Namun menurutnya jika ada yang boleh dikongsikan, lagu ini menceritakan tentang cinta dan harmoni. "Kehidupan dan muzik punyai persamaan, kedua-duanya perlu kepada harmoni." Jelas Kimal.
Kasa Rubia adalah sejenis kain yang digunakan untuk membuat Kebaya Nyonya, terkadang jarang dan tembus sehingga seakan menampakkan dalaman. Sebagai satu simbolik untuk melihat tembus dari permukaan kehidupan dan keindahan sesuatu perkara atau makhluk untuk mencari yang tersirat.
Single Kasa Rubia kini boleh didengari di semua saluran digital dan pendengar boleh mengikuti laman sosial serta saluran Youtube Margasatwa untuk perkembangan terkini.