Fiesta Laksa 2.0 kini Kembali Lagi Bagi Menikmati Kelazatan Laksa Di Bawah Satu Bumbung.
Fiesta Laksa 2.0 kini Kembali Lagi Bagi Menikmati Kelazatan Laksa Di Bawah Satu Bumbung.
Kali ini bermula 23 Feb ini hingga 3 Mac 2024 di Dataran Niaga Penaga Kita, Jalan Permatang Bendahari, Pulau Pinang. Anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bakar Kapor dan Kelab Penaga Kita, menerusi hasil kejayaan penganjuran kali pertama Fiesta Laksa 1.0 Disember tahun lalu.
Masih dengan matlamat yang sama iaitu mengumpulkan laksa seluruh Malaysia yang berbeza rasa, keunikan dan bahan serta ramuannya. Cuma kali ini pasti lebih hebat, dengan lebih 18 jenis laksa bakal disajikan dari seluruh Malaysia dalam satu program dan dalam 1 kawasan.
Penang memang tak lari dari gelaran “Food Of Heaven”, peminat laksa pun ramai, jadi yang nak cari Laksa Penang, Assam Laksa, Laksa Kedah, Laksa Kedah Teluk Kechai, Laksa Lemak pendang, Laksa Beras Sarang Burung, Laksa Singapura, Laksa Siam, Laksa Johor, Laksa Sarawak, Laksa Nyonya Melaka, Laksa Pahang dan Laksa Temerloh Pahang dah tak perlu lagi jelajah satu Malaysia. Cukup dengan mengunjungi Penaga, dah boleh rasa semua.
Yang tak pernah rasa Laksa Kuah Merah Terengganu atau Laksa Kuale Sarang Burung, memang di sinilah tempat yang mesti di tuju.
Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bakar Kapor , Nasrul Hisham Bokhari, penganjuran ini bukan sekadar bagi menarik minat serta membuka ruang pelancongan di kawasan pinggir bandar ini namun ia juga bagi membantu penjaja kecil kecilan terdiri golongan penjaja tepi jalan, suri rumah, ibu tunggal yang sebelum ini terjejas akibat pandemik covid 19.
Katanya, mereka turut berhasrat menjadikan Fiesta Laksa ini sebagai acara tahunan yang mampu mengumpulkan lebih banyak variasi laksa seluruh negara dalam 1 tempat sambil mengajak orang ramai mengenali keunikan dan keenakkan laksa setiap negeri dan berbangga dengan masakan melayu di Malaysia.
Malahan program ini dilihat dapat menggalakkkan pelancong dalam dan luar negara bagi mengunjungi daerah itu. Tarikh kali ini sinonim dengan cuti sekolah tahunan dijangka dapat menarik minat pelancong yang sebelum ini mengunjungi penaga kerana keindahan kampung Agong Penaga, boleh turut sama mengunjungi tapak niaga ini yang akan bermula se awal jam 11 pagi hingga 6.00 petang.
Kejayaan Fiesta Laksa 1.0 pada Disember 2023 lalu dengan jualan melebihi 150 ribu dalam tempoh 4 hari dapat menjadi bukti kejayaan Fiesta ini yang menerima sokongan dari masyarakat sekitar termasuk mereka yang berada di utara tanah air.
Malah kali ini mereka mensasarkan jualan sehingga 1 juta ringgit dengan kunjungan 100 ribu pengunjung. Mereka juga berhasrat untuk menganjurkannya di peringkat kebangsaan di Putrajaya pada penghujung tahun ini disamping memperkenalkan festival ini dapat mula menjelajah ke negeri lain di Pantai Timur atau di Selatan Tanah air.
Menurut Nasrul lagi pihaknya mahu agar makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia ini dapat di wartakan sebagai Warisan Negara.