Terkini | New

Kertas Jadi Karya Ketuhanan Istimewa Noryn Aziz

Kertas Jadi Karya Ketuhanan Istimewa Noryn Aziz




Tidak ada yang lebih mengujakan buat Noryn Aziz saat membuka tahun 2024 dengan sebuah cetakan baharu dalam sejarah karier seninya.

Setelah sangat sinonim dengan genre Jazz, R&B dan Soul, Noryn membuktikan selaku penyanyi beliau mempunya kredibiliti yang besar dalam ruang lingkup nyanyiannya.

 Kertas, lagu terbaharu nyanyiannya yang saat ini sedang mencuri perhatian peminat apabila menjadi runut bunyi drama bersiri Khun:sa adalah bukti nyata kemampuan seorang Noryn Aziz sebagai penyanyi wanita tanah air yang patut dibanggakan.

Karya sepenuhnya oleh komposer wanita berbakat besar, Amylea Azizan, Kertas yang dibalut dalam nuansa Pop Balada Melayu dialun dengan cukup gemersik oleh Noryn.

Ironi, Kertas adalah sebuah karya Ketuhanan yang menurut Amylea sangat sesuai dilagukan oleh Noryn. Dan jangan terlupa, Kertas adalah karya pertama yang dialunkan Noryn dalam balutan Pop Balada Melayu.

“Kertas mencabar diri saya mencuba sesuatu yang baharu, sesuatu yang saya takuti tidak dapat dilakukan dengan baik. Untuk pertama kalinya saya menyanyikan lagu dari genre Pop Balada Melayu.

“Dari segi vokal, ia agak berlainan kerana kali ini saya mencabar vokal saya menyanyikan nada tinggi dengan teknik vokal yang berlainan. Jadi saya dapat terokai nyanyian di luar kotak,” kata Noryn mengenai Kertas.

Tambahnya, kekuatan Kertas juga bukan hanya bergantung kepada beliau selaku penyanyi tetapi kredit perlu diberikan kepada Amylea yang tidak pernah gagal menghasilkan sebuah karya cemerlang.

Tidak cukup dengan itu, Noryn berasa bonus berganda apabila Kertas dicipta khusus oleh Amylea untuk menjadi runut bunyi Khun:sa sentuhan magis sutradara, Shahrulezad Mohameddin atau Budak Ijat.

“Saya amat mengidamkan untuk bekerjasama dengan Amylea dan Shahrulezad. Jadi apabila tawaran dan tahu Kertas dicipta khusus untuk drama Khun:sa, saya amat berbesar hati..Mereka adalah tim yang banyak melahirkan karya-karya hebat dan berkualiti, lain serta tidak cliche. Dan menjadi sebahagian daripada tim ini adalah sebuah penghormatan buat saya,” katanya lagi.

 

Bercerita lebih lanjut, Noryn menyifatkan Kertas sebagai sebuah karya yang cukup istimewa. Ia kata Noryn lagi secara umumnya bercerita tentang jeritan batin seorang manusia yang pasrah kepada Ilahi. Lagu Kertas adalah lagu yang meruntun jiwa dan memiliki emosi yang agak berat mengenai kesedihan dan dugaan takdir kehidupan. Sejujurnya saya menangis sewaktu berbincang tentang isi lagu ini dengan Amylea kerana terkenang peristiwa-peristiwa yang pernah saya alami. Dengarkanlah lagunya dan selami lirik Kertas dengan cermat,” harap Noryn.

Link lirik video KERTAS: https://youtu.be/R7SwdGcF5dw?si=jOuR_KkPFBox5YgL

Digital platform: https://bfan.link/kertas-1

LAGU: KERTAS

PENYANYI/ARTIS: NORYN AZIZ (@norynaziz)

KOMPOSER: AMYLEA AZIZAN (@amyleaazizan)

KOMPOSISI MUZIK:  AMYLEA AZIZAN, BAJAI & SCIFISTUDIO (@bajai11 @amyleaazizan @scifistudio)

RUNUT BUNYI: DRAMA BERSIRI KHUN:SA

KARYA: SHAHRULEZAD (@budakijat @radiusone_official @astroria)