Terkini | New

Yayasan Koreksional Malaysia Bantu Banduan Lebih Berkualiti Dalam Pekerjaan

Yayasan Koreksional Malaysia Bantu Banduan Lebih Berkualiti Dalam Pekerjaan

Yayasan Koreksional Malaysia (YKM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia komited bagi memperkasakan banduan menerusi latihan kemahiran bagi penghuni penjara serta kakitangan.


Inisiatif ini selaras aspirasi yayasan itu dalam membantu bekas banduan serta Orang Bebas Berlesen (OBB) untuk mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan.


Majlis Rumah Terbuka Yayasan Koreksional Malaysia turut hadir, Pengerusi Yayasan Koreksional Malaysia, Datuk Sri Zulkifli Bin Omar yang telah menandatangai dan merasmikan Pejabat Yayasan Koreksional Malaysia.



Exco YKM, Wan Ramzan Wan Ahmad berkata, langkah proaktif tersebut dalam membantu banduan dan bekas banduan menjadi anggota produktif dalam masyarakat, selain memberikan mereka peluang pekerjaan dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya, sekali gus membantu kumpulan itu membina kehidupan yang lebih baik.



“Masih ada stigma masyarakat terhadap bekas banduan sehingga menyukarkan mereka menempatkan diri di dalam komuniti apatah lagi mendapatkan pekerjaan. Banduan akan dilatih oleh pakar dalam bidang kemahiran yang diceburi hingga mereka mahir dan menjadi tenaga kerja berkualiti. Antara latihan kemahiran yang ditawarkan seperti dalam bidang pertanian, jahitan, penternakan serta sektor perkilangan dan perladangan,” katanya pada sidang media.

Exco YKM, Wan Ramzan Wan Ahmad

Tambahnya, latihan kemahiran terutama dalam sektor perkilangan dan perladangan juga adalah usaha terbaik bagi mengurangkan kebergantungan sektor perindustrian terhadap tenaga kerja buruh asing di Malaysia.



Malah katanya, atas kesedaran itu semakin banyak majikan dalam sektor tersebut menyambut baik usaha YKM dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan dalam syarikat masing-masing. Selain itu, terdapat juga latihan dalam bidang perkhidmatan, pembuatan makanan, perikanan, perabot kayu dan fabrik tenun, songket, dan batik.



Melalui yayasan itu, bekas banduan turut diberikan bantuan dari segi pinjaman kewangan dalam memulakan perniagaan melalui Tekun supaya mereka dapat berdikari dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Antara pencapaian terbaik Jabatan Penjara adalah mengangkat seni tenunan Pahang Diraja ke peringkat antarabangsa dan mendapat pengiktirafan oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Tunku Azizah, yang juga Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, meminati keindahan tenunan warga penjara yang turut menarik perhatian pelbagai individu termasuk ketika ia dipamerkan sempena Minggu Kraf London pada tahun 2023 sehingga terdapat permintaan daripada Jabatan Penjara Singapura, Filipina dan Jepun untuk berkongsi ilmu seni tekstil Malaysia,” katanya.