Terkini | New

MBI SELANGOR RAI USAHAWAN PLATS DALAM MALAM ANUGERAH PLATFORM SELANGOR (MAPS) 2024

MBI SELANGOR RAI USAHAWAN PLATS DALAM MALAM ANUGERAH PLATFORM SELANGOR (MAPS) 2024


Menteri Besar Selangor, MBI Selangor meraikan peserta-peserta Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) siri pertama dalam majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024.


Majlis yang julung kali diadakan itu turut diserikan lagi dengan kehadiran DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan diiringi oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah, EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi dan YBrs. Ts. Saipolyazan M Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor.



Seramai 12 peserta telah dipilih untuk menjadi peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, YBrs. Ts. Saipolyazan M Yusop berkata majlis ini amat bermakna untuk peserta PLATS kerana hal ini menunjukkan komitmen MBI Selangor dalam membangunkan serta memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat Selangor.

“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan,” katanya lagi.




Seramai 37,018 orang peniaga telah berdaftar dengan PLATS setakat 31 Jun 2024. Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan hasil daripada program dan kempen yang dianjurkan oleh PLATS dengan kerjasama 12 PBT di Selangor dan Selangor Youth Community (SAY) seperti PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar pada bulan Ramadan dan Program U-PLATS Digital.

DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan enam anugerah khas kepada penerima yang terpilih. 


Anugerah khas tersebut ialah Anugerah Usahawan Mikro Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro Inovasi, Anugerah Usahawan Mikro Digital, Anugerah Usahawan Mikro Muda, Anugerah Usahawan Mikro Wanita dan Anugerah Usahawan Mikro Negeri Selangor yang merupakan anugerah utama untuk MAPS 2024.

MBI Selangor yakin inisiatif PLATS ini merupakan usaha progresif dan pemangkin kepada ekonomi digital di Selangor sekali gus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.


MBI Selangor:
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor [Enakmen No: 3 1994] pada 21 September 1994. MBI Selangor berperanan sebagai sebuah badan korporat yang telah ditubuhkan khas untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri Selangor serta mewakili kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa pihak kerajaan negeri.

MBI Selangor juga berperanan mempromosi dan mendokong usaha pembangunan Kerajaan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajiban tanggungjawab sosial kepada masyarakat.


PLATS:
Platform Selangor (PLATS) ialah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk membantu peniaga mikro (contohnya penjaja, peruncit kecil) mendigitalkan perniagaan mereka dan mengatasi cabaran ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Pada tahun 2020, PLATS melancarkan Bazar Ramadan Digital yang pertama di Malaysia. Berikutan kejayaan tersebut, inisiatif diteruskan dengan mewujudkan direktori digital dengan pembentukan Rakan Digital Selangor bagi membantu peniaga mikro dalam aktiviti promosi melalui saluran media digital dan sosial pada tahun 2021. Sehingga kini, lebih 20,000 peniaga mikro di seluruh Selangor telah mendapat manfaat daripada PLATS dan lebih 1,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan untuk kumpulan B40 melalui inisiatif PLATS Rakan Digital Selangor (RDS).