Terkini | New

Ratusan Pelabur Terus Jadi Mangsa Scam Seorang Bergelar “datuk Wira” Melalui Pelbagai Skim Pelaburan Yang Meragukan

Ratusan Pelabur Terus Jadi Mangsa Scam Seorang Bergelar “datuk Wira” Melalui Pelbagai Skim Pelaburan Yang Meragukan

Seorang pelabur warga British telah membuat laporan polis terhadap suspek pada November 2023 - kes masih dalam siasatan

Seorang pelabur British yang ditipu melebihi RM60 juta oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bergelar "Datuk Wira", terus membantu polis dalam siasatan berterusan kes penipuan tersebut.


Imbas kembali pada 6 November 2023, satu laporan jenayah komersil telah dibuat terhadap suspek Datuk Wira R oleh pelabur British bernama Encik Lee Meiklejohn, yang mendakwa jelas ditipu GBP 10 juta (melebihi RM60 juta mengikut kadar tukaran semasa) wang pelaburannya kononnya untuk pembelian saham dalam sebuah syarikat, yang ketika itu dikawal oleh Datuk Wira R.

Polis telah memulakan siasatan tidak lama selepas pelabur tersebut membuat laporan namun tiada tangkapan dibuat. Sementara itu, Datuk Wira R terus "menjalankan" operasi perniagaannya seperti biasa melalui wakil perniagaan (nominee) dan para pekerjanya.

Yang agak peliknya, sebulan selepas laporan difailkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ada mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan oleh Harian Metro bertarikh 9/12/2023 yang menyatakan bahawa JSJK telah "dimaklumkan" oleh Datuk Wira R bahawa dia Datuk Wira R telah membayar balik sekitar RM 10 juta kepada pelabur tersebut serta telah memberi saham-saham syarikat kepada pelabur berkenaan sebagai balasan pelaburannya.

"Ini sama sekali tidak masuk akal dan semata-mata pembohongan kepada pihak polis," dakwa Encik Meiklejohn. Beliau menambah, "Saya tidak menerima walau sesen pun wang pelaburan saya yang sepatutnya dilaburkan dalam pembelian Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares ataupun RPS) dari Vasseti Berhad."

Sebagai bukti kepada dakwaan saya, saya kini telah memperoleh pengesahan bertulis daripada syarikat tersebut yang menyatakan mereka tidak pernah menerima sebarang wang daripada saya untuk pelaburan yang sepatutnya dibuat. Selain itu, syarikat tersebut mengesahkan bahawa saya tidak pernah memegang sebarang saham berbayar syarikat itu dan syarikat tersebut telah memperoleh keputusan mahkamah terhadap Datuk Wira R kerana mengeluarkan dan mengedarkan saham syarikat yang tidak bernilai dan tidak berbayar di pasaran terbuka kepada ramai pelabur yang tidak sedar ditipu.

Perlu ditekankan bahawa, walaupun siasatan sedang dijalankan, suspek terus menjalankan aktiviti perniagaannya dengan sewenang-wenangnya. Sebagai respon kepada kenyataan media tersebut, Encik Meiklejohn, melalui peguamnya Tetuan Salehuddin Saidin & Associates, telah menulis surat memohon penjelasan dari pejabat Ketua Polis Negara, demi untuk mendapatkan kesahihan kenyataan yang dibuat oleh Pengarah JSJK kepada media tempoh hari.

Untuk meletakkan fakta benar dalam perspektif yang betul, pelabur tersebut kini telah menyediakan suatu Akuan Berkanun (Statutory Declaration), yang juga telah diedarkan kepada pihak media ini dengan harapan penerbitan kandungannya yang berkaitan dengan ket penipuan tersebut akan menghalang Datuk Wira R daripada menggunakan pengaruhnya dalam jabatan polis untuk menghalang atau memesongkan siasatan yang sedang dijalankan.

"Saya telah menyerahkan semua bukti yang saya kumpul kepada ketua pegawai penyiasat kes saya. Jujurnya saya berasa bimbang dengan cara kes ini dikendalikan, kerana saya rasa seperti berulang kali diminta untuk membuktikan dakwaan saya, sementara kenyataan suspek pula seolah-olah diterima tanpa siasatan menyeluruh dan tanpa sebarang pengesahan dengan saya."

Walaupun saya bimbang tentang masa panjang di ambil untuk siasatan, saya yakin semua bukti akan dipertimbangkan oleh pihak JSJK dengan teliti. Bagi saya, adalah sangat penting untuk memastikan siasatan menyeluruh dijalankan oleh semua pihak yang terlibat."

Menurut Encik Shah Abdul Malek, Pengerusi Kumpulan Tindakan Mangsa-mangsa Penipuan Datuk Wira R ataupun secara ringkas “MaPeR”, yang telah lama memperjuangkan tindakan terhadap Datuk Wira R kerana menipu ramai pelabur, menambah, "Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk membantu pelabur-pelabur ini. Saya mempunyai senarai lebih 300 orang pelabur yang besar kemungkinan telahpun kehilangan wang pelaburan mereka, termasuk wang daripada beberapa isntituisi/syarikat berkaitan kerajaan. Perkara yang tidak disedari oleh pelabur-pelabur ini ialah syarikat-syarikat yang berkaitkan dengan Datuk Wira R tidak mempunyai sebarang perniagaan yang bermakna dan saya percaya semua wang itu hanya disalurkan ke dalam poket Datuk Wira R sendiri. Datuk Wira R bukannya seorang ahli perniagaan yang jujur dan sememangnya tidak tahu bagaimana untuk menjalankan sebarang perniagaan lain selain dari menipu para pelabur."