Terkini | New

Astro Mempersembahkan ‘Kilauan Emas 2024’, Kembali Memperkenalkan Bakat Otai Hebat

Astro Mempersembahkan ‘Kilauan Emas 2024’, Kembali Memperkenalkan Bakat Otai Hebat

‘Otai Kembali Berbisa’ selepas tujuh tahun, bermula 14 September ini di Astro Prima


Astro kembali menampilkan bakat-bakat dari generasi X iaitu rakyat Malaysia yang berusia 45 tahun ke atas untuk bertanding dalam program realiti legenda, ‘Kilauan Emas 2024’, sebuah program nyanyian kompetitif yang telah mencungkil banyak bakat otai tempatan terpendam di Malaysia. Setelah hampir 7 tahun menyepi, program ini bakal menemui para pelanggan sekali lagi di Astro bermula 14 September 2024, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105), serta strim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan sooka.

Program Kilauan Emas kali ini membawakan nafas baharu dengan tema ‘Otai Kembali Berbisa’, membuka ruang dan peluang kepada bakat tempatan otai tempatan untuk mempamerkan bakat terpendam mereka dalam bidang nyanyian. Bakat-bakat yang dipilih juga bukan sahaja berkebolehan dalam bidang nyanyian, namun mempunyai pencapaian dan latar belakang unik masing-masing yang memberikan pelbagai corak warna dalam konsert utama ‘Kilauan Emas 2024’. Musim terbaharu ini mencungkil seramai 12 peserta menerusi sesi uji bakat yang telah dijalankan pada 3 & 4 Ogos di SACC Mall, Shah Alam.

‘Kilauan Emas 2024’ bakal digegarkan dengan penampilan Kak Lina Pom Pom sebagai pengacara program utama, serta pelawak dan pelakon Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas & diari Kilauan Emas. Bangku juri buat musim terbaharu ini mengekalkan figura legenda, Erra Fazira dan Dato’ Hattan, bersama pelawak terkenal iaitu Roy Azman yang bakal menyerikan lagi episod-episodnya.

Penerbitan ‘Kilauan Emas 2024’ disinarkan lagi dengan kolaborasi bersama Astro Gempak selaku rakan digital, SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi.