Terkini | New

Filem Harimau Malaya Bakal Menemui Penonton 15 Ogos 2024

Filem Harimau Malaya Bakal Menemui Penonton 15 Ogos 2024

Naskhah epik biografi dengan suntikan fiksyen yang ditunggu ramai, HarimauMalaya akhirnya bakal menemui penonton di panggung wayang seluruh Malaysia bermula 15 Ogos 2024.



Filem cereka yang bertemakan kenegaraan serta perpaduan yang mengangkat semangat sukan bola sepak tanah air ini menjanjikan sebuah hiburan luar biasa buat peminat filem tempatan khususnya ‘kaki bola’. 

Filem terbitan 4ward Entertainment yang mendapat sentuhan pengarahan Datuk Afdlin Shauki ini mempertaruhkan barisan pelakon muda seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aiman Hakim Redza dan Amelia Henderson selaku teraju utamanya selain turut dibantu bintang terkenal lain termasuk Vanidah Imran, Erra Fazira, Tony Eusof, Namron, Bell Ngasri, Douglas Lim dan ramai lagi.



Bagi merancakkan lagi rangka promosi filem ini selari dengan objektif bagi meraikan kecemerlangan skuad kebangsaan Harimau Malaya, penerbitnya; Nashrul Nasir dan Alif Nabil telah melancarkan liga bola sepak Harimau Malaya Junior Cup bermula 20 Julai lalu bertempat di Kerteh Sports City, Terengganu (Zon Timur) dan Kopa Arena, Pulau Pinang bagi Zon Utara.

Perlawanan bola sepak yang terbahagi kepada dua kategori utamanya iaitu bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun ini adalah salah satu inisiatif bagi memupuk minat kesukanan bola sepak kepada generasi muda yang bakal menjadi pelapis akan datang.



Harimau Malaya Junior Cup akan diteruskan bagi Zon Selatan bertempat di Arena Mutiara Johor, Johor Bahru dan Zon Tengah di Stadium MPAJ, Kuala Lumpur berlangsung serentak pada hari Sabtu, 27 Julai ini bagi mencari 16 pasukan terbaik dari kesemua zon bagi setiap kategori sebelum dipertemukan di acara kemuncaknya pada 10 Ogos 2024 depan bertempat di Xfox Arena, Subang Bestari.

Menurut Nashrul, 42, atau mesra disapa Nash, Harimau Malaya Junior Cup adalah satu penghargaan dari pihak produksi bagi menyemarakkan lagi sikap patriotisma di kalangan anak muda untuk terus menghargai sukan Malaysia selain mencari pelapis muda yang bakal menggantikan skuad Harimau Malaya akan datang.

“Kami tidak menyangka menerima hampir 100 penyertaan pasukan di seluruh Malaysia bagi setiap zon sebaik kami melancarkan liga ini dua minggu lalu. Bayangkan, melihat anak kecil di bawah 10 tahun dan 12 tahun berlari di tengah padang bagi mengejar kemenangan adalah satu kepuasan bagi peminat bola tempatan seperti saya.

“Semangat mereka jauh lebih terlihat berbanding hadiah yang kami tawarkan buat pasukan yang bakal menjuarai liga ini nanti,” katanya. Pasukan yang menjuarai Harimau Malaya Junior Cup bagi setiap kategori nanti bakal mendapat hadiah tajaan sepenuhnya bagi menyertai perlawanan persahabatan di luar negara.

Lain bagi Alif Nabil yang menyifatkan penghasilan filem yang menelan kos RM7 juta ini lebih cenderung memupuk sikap perpaduan serta cintakan kesukanan bola sepak terutamanya di kalangan anak muda hari ini.

“Saya hanya mengharapkan segala usaha dan inisiatif yang kami lakukan bagi mempromosikan filem ini akan mendapat perhatian rakyat Malaysia khususnya ‘kaki bola’ yang sudah lama ingin mengenali skuad kesayangan ramai ini dengan lebih dekat. 


“Meskipun terdapat unsur fiksyen yang disuntik bagi melengkapkan lagi perencah sesebuah naskhah, Harimau Malaya masih sebuah filem yang mencerminkan perjalanan pasukan negara kita dalam berusaha mengintai peluang untuk di pentas dunia”, katanya.

Filem Harimau Malaya yang mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini mendedahkan kisah belakang tabir FAM dan skuad kebangsaan.

Untuk rekod, syarikat produksi 4ward Entertainment juga pernah menerbitkan filem untuk TV tempatan berjudul ‘Rompak’ pada 2022 dan tiga filem cereka Indonesia iaitu ‘Rumah Iblis’, ‘Mengejar Surga’ dan ‘Terkutuk’ lakonan Nora Danish dan Amir Ahnaff yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi;
Erin (012-893 8941) atau Fasham (017-323 3002)