Terkini | New

Lawatan KPK Ke Getha Ketengahkan Fokus Nasional Untuk Penjenamaan Dan Kelestarian Getah Malaysia

Lawatan KPK Ke Getha Ketengahkan Fokus Nasional Untuk Penjenamaan Dan Kelestarian Getah Malaysia Untuk Pasaran Global


Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin, bersama wakil dari Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Majlis Getah Malaysia (MRC) telah mengadakan lawatan rasmi ke Getha hari ini. Lawatan tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran produk getah global, sambil menekankan keperluan mendesak untuk pendekatan mampan dalam industri getah tempatan.

YB Timbalan Menteri dan delegasi diberi lawatan menyeluruh ke kilang pengeluaran Getha. Lawatan ini merangkumi proses pembuatan yang dilalui setiap produk keluaran jenama terkemuka produk tidur berasaskan getah tersebut, daripada pengendalian bahan mentah hingga ke peringkat akhir dalam bentuk produk siap.

Dengan kemudahan seluas lebih daripada 1 juta kaki persegi, Getha mampu menghasilkan 600 tan lateks mentah setiap bulan, atau dengan 7,200 tan setahun bersamaan hasil torehan 10 juta pokok getah setiap bulan. Komitmen Getha terhadap kelestarian jelas kelihatan sepanjang rantaian pengeluarannya yang meluas, sekaligus mengukuhkan kedudukan jenama tersebut sebagai peneraju dalam industri sambil menetapkan penanda aras bagi amalan pembuatan yang mesra alam.

Semasa lawatan terbabit, pihak kementerian dan Getha bertukar pandangan mengenai usaha Malaysia untuk meningkatkan kualiti getah asli melalui kelestarian, mempertingkatkan piawaian getah dan menyelaraskannya dengan peraturan antarabangsa yang terkini, serta kepentingan memastikan getah asli yang diimport memenuhi Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah (EUDR).

Getha menegaskan bahawa usaha penjenamaan yang kukuh adalah penting untuk meletakkan produk getah buatan Malaysia sebagai pilihan utama di pasaran antarabangsa, terutamanya di rantau Eropah dan Amerika Syarikat, di mana perakuan dan pensijilan berteraskan kelestarian sangat mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.

YB Timbalan Menteri memuji Getha atas sikap proaktifnya dalam memperjuangkan amalan mampan, sambil menyatakan bahawa inisiatif sedemikian adalah penting untuk daya saing jangka panjang produk getah Malaysia. YB Timbalan Menteri juga menegaskan komitmen Kementerian untuk menyokong usaha yang selaras dengan piawaian global dan jangkaan pengguna. Lawatan ini menandakan langkah penting ke arah menyelaraskan objektif industri dengan dasar nasional yang berfokus pada kelestarian, memastikan industri getah Malaysia bukan sahaja berkembang maju tetapi juga memimpin dalam menetapkan amalan yang bertanggungjawab dan berwawasan.