Terkini | New

Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 Memeriahkan Dataran Merdeka

Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 Memeriahkan Dataran Merdeka.


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia menganjurkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 bermula 13 hingga 16 September 2024 bertempat di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. 



Majlis Perasmian Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 telah diadakan pada 15 September 2024 (Ahad) jam 8.30 pagi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bersama YB. Dr. Zaliha bt Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). 




Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 atau ringkasnya FPM@KL 2024 merupakan acara dibawah Kalendar Pelancongan Budaya yang diadakan setiap tahun bagi mengenengahkan keunikan seni budaya negeri.



Seramai 2378 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan terbaharu institusi pengajian tinggi terlibat di dalam pertandingan permainan tradisional sempena FPM@KL 2024. Program yang telah memasuki sembilan tahun penganjuran dan berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran dan demonstrasi, persembahan serta jualan dan banyak lagi.




Sebanyak 738 orang mewakili badan beruniform, 902 sektor korporat dan 738 mewakili institusi pengajian tinggi terlibat dalam 10 pertandingan sukan tradisional yang dipertandingkan iaitu tarik tali tradisional, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit dan memanah tradisional.





Selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, pengisian lain yang turut memeriahkan FPM@KL 2024 adalah Permainan Lagenda Rakyat seperti terompah gergasi, susun bata, kaki hantu, kereta sorong, lari dalam guni berkembar, tarik upih pinang, kelereng, tuju tin, bola beracun dan raja dijulang. Selain itu terdapat juga aktiviti Memanah Tradisional Interaktif dan Menyumpit, Pertandingan Lastik Terbuka KL, pameran, jualan produk dan demontrasi permainan dari negeri Sabah dan Sarawak serta demonstrasi permainan tradisi masyarakat Orang Asal iaitu kercang. Sebanyak 30 unit Food Truck yang menyajikan pelbagai menu menanti para pengunjung yang hadir.






Penganjuran FPM@KL 2024 seperti sebelumnya turut menampilkan acara bertaraf dunia iaitu Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Antarabangsa yang diselaraskan oleh Persatuan Tarik Tali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Setakat ini kelab-kelab dari negara Brunei, Taiwan dan Singapura telah mengesahkan penyertaan dalam acara ini. 


Manakala sebanyak 60 kelab tempatan daripada seluruh Malaysia akan turut serta. Pada tahun ini juga, beberapa acara baharu telah diperkenalkan seperti Pertandingan Tarian Singa, Geng Solat Subuh Macam Jumaat di bawah penyelarasan Olive House dan Masjid Jamek Kuala Lumpur, Pertandingan Catur Cina, Pasar Saloma dan Kuala Lumpur Cinta Rasul sempena Maulidur Rasul 1446H.




Festival kali ini juga turut melibatkan pelancaran Senam Seni 2.0 iaitu modul baharu senam seni yang merupakan senaman hasil inisiatif daripada JKKN menggunakan kaedah gerak tari yang telah diperkenalkan pada tahun 2008 dimana kali ini melibatkan penyertaan lebih 1000 orang peserta dari kumpulan dan persatuan mewakili bidang kecergasan. 



Senam Seni 2.0 juga telah mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (MAFA) manakala gerak dan muzik Senam Seni 2.0 juga telah didaftarkan sebagai harta intelek melalui MYIPO. Antara perkara yang ditambah baik adalah dari segi durasi masa, dimana Senam Seni 2.0 hanya berdurasi selama 18 minit berbeza dengan Senam Seni Malaysia selama 30 minit dan secara keseluruhan gerakan 70% kecergasan dan 30% gerakan seni. Pelancaran Senam Seni ini turut menampilkan Selebriti dan Artis tersohor negara iaitu Izzue Islam, Mimi Fly, Nur Dhabitah Sobri dan Kevin Zahari.




FPM@KL 2024 mendapat sokongan yang padu lebih daripada 40 rakan kerjasama dan juga penaja-penaja.

"Selain bertujuan menyemarakkan permainan tradisional dan sukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, besar harapan saya agar FPM@KL terus menjadi acara tahunan negara dalam mengangkat dan memulihara keunikan kesenian serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat Malaysia. 




Selain itu juga, penganjuran festival ini diharap dapat menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada usahawan seni budaya dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta membantu NGO seni budaya melalui acara sebegini." Ulas Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataannya hari ini.



Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my dan www.facebook.com/mysenibudaya.