Terkini | New

Lotus Malaysia Telah Menaik Taraf Bilik Darjah di SK Pandan Jaya dan SK Methodist ACS Seremban

Lotus Malaysia Telah Menaik Taraf Bilik Darjah di SK Pandan Jaya dan SK Methodist ACS Seremban, Memberi Manfaat Kepada Lebih 1,000 Murid


Sepanjang lapan tahun yang lalu, Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) telah bekerjasama dengan Yayasan PINTAR dalam usaha untuk membawa pengalaman pendidikan yang berkualiti kepada para murid di Malaysia terutamanya, komuniti yang serba kekurangan melalui program sekolah #KitakanJiran SMART UP. Tujuan program tersebut adalah untuk memupuk minat murid dalam pembelajaran dan inovasi bagi masa depan yang lebih mampan.


Pada tahun 2023, Lotus’s Malaysia telah mengumpul sebanyak RM150,000 semasa acara Lotus’s Ceria Charity Run yang pertama di Setia Alam dengan sokongan lebih daripada 3,000 peserta yang telah mendaftar dan juga penaja korporat utama seperti Payments Network (Malaysia) Sdn. Bhd. (PayNet Malaysia) dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. 100 peratus daripada dana yang telah dikumpul melalui acara larian tersebut telah dimanfaatkan untuk membaik pulih tiga bilik darjah di SK Pandan Jaya dan SK Methodist ACS Seremban. Setakat ini, Lotus’s Malaysia telah menyokong 63 sekolah di Semanjung Malaysia di bawah program sekolah angkat Yayasan PINTAR.



Ketua Bahagian Komunikasi dan Kelestarian Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan, berkata “Ceria Charity Run ini bermula dengan komitmen untuk mengurangkan halangan dalam pembelajaran di kalangan murid dari keluarga berpendapatan rendah dan juga sekolah yang serba kekurangan. Dengan sokongan daripada komuniti dan rakan kongsi, murid-murid dari SK Pandan Jaya kini boleh menghadiri kelas sains mereka di makmal yang baharu dan bebas daripada anai-anai. Kami sangat bersyukur atas semua sumbangan yang diterima daripada rakan kongsi kami dan sokongan daripada para peserta dari seluruh Malaysia”.

Kerja-kerja penambahbaikan makmal sains di SK Pandan Jaya termasuk mengecat semula makmal, menggantikan perabot dan soket elektrik dengan kos anggaran RM70,000.




Pada awal bulan Ogos, Lotus’s Malaysia, Yayasan PINTAR dan rakan kongsinya telah melancarkan majlis penyerahan makmal komputer dan bengkel reka bentuk dan teknologi yang baru diubah suai di SK Methodist ACS Seremban. Projek-projek tersebut mengambil masa kira- kira lima minggu untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM80,000.

“Kami berharap bahawa pembaharuan tersebut akan memberi semangat kepada 1,000 murid dan guru di kedua-dua sekolah untuk menghadiri dan menjalankan pengajaran mereka dalam persekitaran pembelajaran yang lebih ceria, selesa dan kondusif.”

Majlis penyerahan di SK Pandan Jaya telah dihadiri oleh Tuan Haji Baharuddin Yassir, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Fadzli Abu Bakar, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Norazlina Masom, Pengurus Besar, Yayasan PINTAR, Nik Justin, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan Sinar Karangkraf dan Ng Kein Ai, Ketua Bahagian Komersial, PayNet Malaysia.

Pada tahun ini, Lotus’s Malaysia sekali lagi meneruskan usaha pengumpulan dana untuk sekolah melalui Lotus’s Ceria Charity Run yang kedua di mana acara tersebut akan diadakan di cawangan Ara Damansara pada 29 September 2024. Pendaftaran kini dibuka sehingga 27 September 2024. Sama seperti tahun sebelumnya, RM20 daripada setiap tiket akan disalurkan untuk menaik taraf pengalaman pembelajaran di sekolah yang dalam serba kekurangan dengan kerjasama Yayasan PINTAR. Pendaftaran bagi khalayak umum boleh dilakukan melalui aplikasi

JomRun atau di https://www.jomrun.com/event/Lotus%27s-Ceria-Charity-Run-2024-Powered-By-JomRun