Pelancaran Hab Tvet Digital Serantau Di Malaysia Bakal Penuhi Permintaan Industri Terhadap Bakat Mahir Digital
Pelancaran Hab Tvet Digital Serantau Di Malaysia Bakal Penuhi Permintaan Industri Terhadap Bakat Mahir Digital
Permintaan yang semakin meningkat terhadap bakat mahir dalam industri digital dijangka dapat dipenuhi dengan pelancaran Hab TVET & Karier Digital di Gamuda Cove.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, inisiatif ini diterajui oleh TVETAA, sebuah organisasi yang bergiat aktif memajukan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional di Malaysia, dengan disokong oleh pemain industri utama dan organisasi latihan, yang bertujuan untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran digital kritikal.
“Landskap digital di Malaysia semakin berkembang dengan pesat. Jadi, permintaan untuk bakat mahir telah meningkat ke tahap yang luar biasa, didorong oleh pelaburan tempatan dan antarabangsa,” kata Timbalan Menteri. “Masa depan pekerjaan di seluruh dunia sedang berubah seiring dengan kemajuan, dipercepatkan oleh teknologi-teknologi baru seperti Kecerdasan Buatan (AI), data raya, pengkomputeran awan, dan keselamatan siber. Trend ini telah diketengahkan dalam Laporan Masa Depan Pekerjaan Forum Ekonomi Dunia 2023, yang menekankan kepentingan mendesak untuk menyediakan tenaga kerja digital yang berdaya saing,” kata Wilson dalam ucapannya.
Hab TVET & Karier Digital bertujuan untuk merapatkan jurang antara permintaan untuk bakat digital dengan bekalan semasa dari institusi pendidikan. “Kami menangani isu ini dengan menawarkan kelayakan yang diiktiraf industri serta pensijilan antarabangsa, memastikan bakat kami memenuhi keperluan pemain digital yang semakin berkembang,” kata Dato’ Bruce Lim Aun Choong, Pengarah Urusan TVETAA.
Kerjasama unik ini menyatukan pemimpin industri, institusi pendidikan, dan penyedia latihan digital untuk mewujudkan rangkaian bakat yang lebih terangkum. Hab TVET ini menawarkan gabungan pembelajaran akademik, peningkatan kemahiran dan latihan semula secara praktikal, serta pemupukan minda yang progresif. “Matlamat kami adalah untuk menjadikan hab ini sebagai ‘finishing school’, mempersiapkan calon dari institusi rakan kongsi untuk kerjaya digital di dunia sebenar,” tambah Lim.
Dengan memendekkan laluan pendidikan tradisional dan menyelaraskannya dengan keperluan industri, inisiatif ini memastikan pengeluaran bakat tepat pada masanya, menyediakan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan yang pesat dalam ekonomi digital. “Hal ini secara signifikan mengurangkan masa yang diperlukan untuk membangunkan bakat yang bersedia untuk menceburi industri sambil memastikan mereka cakna dengan perkembangan teknologi terkini,” tegas Raymond Siva, Naib Presiden Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Teras inisiatif ini merupakan satu platform inovatif ClickED, yang menggunakan AI untuk memadankan kemahiran dengan pekerjaan digital dalam program "Place & Train" yang dikendalikan melalui MDEC. Program kerjaya digital lain yang dipacu oleh TVETAA termasuk Program K-Youth Khazanah Nasional, HRD Corp, Bina Kerjaya SOCSO, serta kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, yang telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini.
“Kita akan terus bekerjasama dengan industri untuk mengenal pasti keperluan kemahiran semasa dan akan datang, dengan agensi seperti MDEC dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai pemudah cara. Pada masa yang sama, kita juga bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti universiti, politeknik, kolej, dan pusat GiatMARA untuk mengenal pasti bakat digital berpotensi tinggi untuk mengikuti program latihan seperti ini,” umum Timbalan Menteri.
Majlis pelancaran tersebut juga meraikan 180 graduan daripada program Digital Boot Camp, sebuah program inovatif yang bertujuan memperkenalkan peserta kepada peluang kerjaya digital dan membina minda yang selari dengan kehendak industri. Hasil program ini menyaksikan sebilangan graduan telahpun menerima tawaran pekerjaan bersyarat daripada syarikat digital terkemuka, menekankan peranan inisiatif ini dalam menghasilkan bakat yang bersedia untuk pekerjaan.
Selain itu, Timbalan Menteri turut menyaksikan majlis tandatangan perjanjian kerjasama antara TVETAA dan institusi-institusi seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pelbagai politeknik, serta pusat GiatMARA. Beberapa syarikat terkemuka dan Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC) juga telah menyatakan sokongan mereka dengan menubuhkan makmal industri dan sumber di dalam hab terbabit. TVETAA turut mengukuhkan komitmennya melalui kerjasama dengan penyedia-penyedia latihan digital terkemuka seperti K-Pintar, Thriving Talents, Peoplelogy, dan Human Kapital, yang menawarkan pensijilan digital dan teknologi yang diiktiraf di peringkat global.
###
About TVETAA
TVETAA, dijalankan oleh Technoriant Sdn Bhd, merupakan penyedia Latihan, Teknikal dan Vokasional serantau yang bertumpu kepada inovasi digital dan teknologi. Usaha kami adalah berlandaskan keperluan semasa dan masa hadapan yang dijanakan oleh inudstri. TVETAA menjalankan usahasama bersama-sama pemain-pemain industri untuk menjana ekosistem yang seterusnya menghasilkan platform digital yang canggih, dan mempastikan perserta-perserta dibekalkan pensijilan dan berterampil, sesuai dengan permintaan industri masa hadapan (future-ready skills). Ia mempunyai visi untuk terus menjana dan menguatkan keboleh pasaran bakat dan pembangunan ekonomi menerusi rangkaian hab dan spoke TVET Digital.
TVETAA telah berjaya membuat penempatan perkerjaan kepada lebih 10,000 perserta di pelbagai karier di rantau Asia menerusi pelbagai inisiatif seperti Khazanah Nasional Berhad (MyStep & K-Youth Development Programme), HRDCorp (Place & Train, Generate 1.0, 1MOC, SME Upskilling), Perkeso (MyStep, Bina Kerjaya, Penjana Kerjana, Jamin Kerja), MDEC (MyWIT, TSP training & eSWAT), Kementerian Pengajian Tinggi (Penjana KPT CAP & PACE), Malaysia Productivity Corporation (MPC) (University of California, Berkeley TEC Immersion, ESMT Berlin Industrie 4.0, CKGSB China, National Dual Training System (SLDN) dan Pensijilan Pembelajaran Terdahulu (RPEL).