Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) kembali buat kali ketiga, perkenal 9 sambal diiktiraf Jabatan Warisan Negara sebagai makanan warisan
Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) kembali buat kali ketiga, perkenal 9 sambal diiktiraf Jabatan Warisan Negara sebagai makanan warisan di Galeri Sambal Warisan, Warong Pak Aji
Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) 0.3 kembali lagi dengan mengetengahkan Galeri Sambal Warisan dinamakan Warong Pak Aji yang mempamerkan Sembilan (9) jenis sambal yang diiktiraf Jabatan Warisan Negara (JWN) sebagai makanan warisan.
TOSFE dianjurkan oleh Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 14 September hingga 16 September 2024 di Dataran Merdeka sempena Festival Permainan Malaysia 2024.
Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, Malaysia sangat terkenal dan kaya dengan kepelbagaian makanan dan antara yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia adalah sambal. TOSFE merupakan salah satu platform mempromosi sambal sebagai salah satu produk pelancongan makanan. Pada pesta yang lepas, kami berjaya mengumpul usahawan-usahawan sambal bagi mempamerkan lebih 100 jenis sambal selain jualan produk berasas serta berkaitan sambal. “Namun, kali ini, kami membawa kelainan dengan memberi ruang kepada pengunjung untuk melawat Galeri Sambal, Warong Pak Aji yang akan menampilkan replika sambal yang diperbuat daripada silikon,” katanya pada Majlis Pelancaran TOSFE 03 di Galeri Sambal Warisan, Dataran Merdeka.
Pelancaran Galeri Sambal Warisan, Warong Pak Aji sempena Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) disempurnakan oleh (dari kanan) Ketua Jualan dan Pemasaran Ajinomoto, Noriko Fujimoto; Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffry; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Yusoff; Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah Jacob ; dan Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris
Tambah Azmi, sembilan sambal tersebut antaranya Sambal Tumis, Sambal Gesek Ikan Bilis, Sambal Goreng, Sambal Tempoyak Daun Kayu, Sambal Rong, Sambal Biji Getah, Sambal Hitam Ikan Bilis dan Sambal Tahun.
Kesemua sambal ini telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan oleh JWN.
Menurut Azmi, tahun ini, Malaysia juga telah meletakkan Nasi Lemak, Teh Tarik dan Roti Canai sebagai pencalonan bagi pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.
Sehubungan itu katanya, TOSFE mempamerkan ketiga-tiga makanan ini dalam satu sudut Sarapan Malaysia di dalam galeri tersebut sebagai tanda menyokong usaha MOTAC memastikan hidangan tradisional rakyat ini diiktiraf sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.
Di setiap pameran produk tersebut terdapat info lengkap berkaitan produk yang didapati daripada Jabatan Warisan Negara. Tambah Azmi, antara tarikan utama galeri tersebut iaitu di gerai teh tarik di mana pengunjung boleh bergambar dengan aksi seperti membuat teh tarik yang diperbuat daripada silikon.
Pada kali ini juga TOSFE memberi ruang kepada para artis yang mempunyai produk sambal seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Ezlynn, Nazia Mustafar dan Datuk Seri Vida yang akan turut serta bagi menjual produk sambal mereka di reruai artis. Sementara itu, golongan asnaf dan OKU tidak dilupakan apabila mereka diberi peluang menjual produk sambal sendiri atau menjadi agen produk sambal keluaran artis seperti Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Nadia Mustafa tanpa sebarang bayaran dan diberikan komisen hasil jualan tersebut. Ia sekaligus memberi peluang untuk golongan ini menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka.
Selain itu, Ajinomoto turut menyumbang produk kepada OKU dan asnaf untuk dijual pada hari tersebut dengan hasil jualan sepenuhnya kepada OKU dan asnaf. TOSFE turut bekerjasama dengan NGO dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menyantuni golongan asnaf dan OKU dengan memberi sumbangan barangan keperluan dan wang tunai. Tambah Azmi, antara tarikan utama aktiviti adalah pertandingan teh tarik, nasi lemak terbaik, pertandingan makan sambal serta Inovasi Sambal.
TOSFE turut mendapat sokongan beberapa NGO antaranya Persatuan Anak Melayu Johor, Karwayan, BUMTRA, PERTIMA serta agensi pelancongan untuk membawa pelancong ke acara tersebut. PSWAD turut berharap inisiatif Galeri Sambal ini tidak hanya terhenti di TOSFE sebaliknya, persatuan ini dapat meneruskan jelajah ke seluruh Malaysia untuk mempamerkan sambal yang telah diiiktraf oleh JWN sebagai Makanan Warisan Negara.
Pencalonan Budaya Sarapan Malaysia di UNESCO
- Pengiktirafan di peringkat Nasional yang telah diberikan kepada menu tradisi sarapan pagi rakyat Malaysia iaitu Nasi Lemak, Roti Canai dan Teh Tarik sebagai Makanan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) juga telah menjadi nilai tambah yang membuktikan bahawa makanan sarapan ini juga mempunyai kepentingan kepada sejarah serta perkembangan sosio-budaya masyarakat di Malaysia
- Mengambil kira kepentingan budaya sarapan Malaysia dalam meraikan kepelbagaian etnik, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengambil inisiatif untuk menghantar pencalonan budaya sarapan ini bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity ke UNESCO.
- Kejayaan penyenaraian Budaya Sarapan Malaysia ke peringkat UNESCO akan meningkatkan visibiliti dan mengetengahkan keunikan warisan tidak ketara Malaysia di
peringkat dunia.
Perkara ini bukan sahaja dapat menarik minat lebih ramai pelancong untuk lebih mengenali budaya makanan rakyat Malaysia, malahan juga dapat mempertingkatkan imej Malaysia serta memberikan faedah pulangan ekonomi melalui pelbagai industri berkaitan termasuk pengangkutan, kraftangan, perhotelan, industri produk makanan dan sebagainya.