Terkini | New

Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) Bakal Kembali lagi Pada 29 November 2024

Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) Bakal Kembali lagi Pada 29 November 2024


Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ialah salah satu Festival Filem tertua dan paling berprestij di rantau ini, yang diasaskan pada 1953. APFF diadakan secara tahunan yang dianjurkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) dan telah dihoskan oleh pelbagai lokasi bandar di 25 negara dan wilayah yang berbeza. Ia berfungsi sebagai sebuah platform penting untuk mempamerkan bakat dan kreativiti sinematik terbaik dari Asia-Pasifik, menghimpunkan pembuat filem, artis, para pemain industri dan peminat bagi meraikan kecemerlangan dalam pawagam. 



Festival ini bertujuan untuk mempromosikan pertukaran budaya, ekspresi seni, pendidikan, pelancongan, dan kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik.

Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) bakal kembali dengan pelbagai acara menarik selama tiga hari yang dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Lomo Pictures Sdn Bhd, Kumpulan NCT dan Festival Seni Antarabangsa Asia Pasifik, yang akan berlangsung bermula 29 November hingga 1 Disember 2024, di Wyndham Ion Majestic Hotel Genting Tanah Tinggi, Malaysia.




Pastinya, Festival ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk program Bual Bicara antara panel, Tayangan Filem dan membuka ruang ‘networking’ bersama penggiat industri. Program-program ini akan menawarkan pandangan yang berharga tentang industri filem dan menyediakan peserta dengan platform untuk melibatkan diri dengan pakar, pengarah, penerbit dan pelakon dari seluruh Rantau Asia Pasifik. 



Selain itu, Festival ini juga bertujuan bagi memupuk dan menggalakkan pertukaran budaya, mempamerkan bakat yang pelbagai, dan menggalakkan kerjasama dalam komuniti filem Asia-Pasifik.


Tahun ini, filem Seram Malaysia “Indera” lakonan Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan Samara Kenzo, telah dipilih sebagai filem pembukaan APFF61. Kemuncak Majlis Anugerah APFF61 akan memberi penghormatan kepada pencapaian cemerlang dalam perfileman, mengiktiraf filem, persembahan dan sumbangan yang paling luar biasa kepada industri perfileman AsiaPasifik.



Peminat filem, pembikin filem yang bercita-cita tinggi, dan wakil media dijemput untuk menghadiri dan menjadi sebahagian daripada acara kebudayaan yang penting ini. 

Foto kiri : Mr. Aron Koh Organizing Chairman 61st Asia-Pacific Film Festival, Dato Kamil Othman (tengah) Chairman of Finas Mr. Pansha Secretary General Federation of the Motion Picture Producers in the Asia Pacific.

Festival Filem Asia Pasifik sentiasa menjadi platform utama untuk meraikan kecemerlangan sinematik dengan tumpuan diberikan kepada setiap bakat dan cerita yang wujud dari rantau ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi urusetia APFF61 di www.lomopictures.my atau hubungi di talian 03-8605 0169.