Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Dan Mencari Azura Pada Februari 2025
Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura Jadi Medan Gamit Rendisi Nostalgia.
Sudah menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil sejak lebih 40 tahun bergelar penghibur bukan alasan untuk Dato Jamal Abdillah berhenti beraksi di atas panggung. Sebaliknya setiap pengalaman yang diperoleh lewat semua persembahan yang pernah dipersembahkan sentiasa diambil lalu disatukan untuk sebuah lagi pertunjukan yang penuh bertenaga dan semakin matang.
Penghibur berusia 65 tahun tersebut bakal muncul dengan Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura. Konsert dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025 dianjurkan bersama oleh Live Injection dan NJ Resources. Ia akan menjadi konsert solo perdana Jamal Abdillah pada tahun 2025 sekaligus membuktikan kewujudannya dalam belantika muzik masih relevan dan sentiasa dilihat mampu menawan hati peminat.
Membawa nama yang cukup ikonik di bawah ‘bendera’ konsert kali ini iaitu judul lagu hit beliau, Sandarkan Pada Kenangan dan Azura, penganjur percaya dengan magnet penyanyi bersuara emas yang dimiliki Jamal Abdillah akan membuat ruang Zepp Kuala Lumpur penuh.
“Selaku penganjur kami di Live Injection dan NJ Resources sentiasa melihat kualiti dan jenama seorang penghibur bersuara emas iaitu Dato Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi beliau berada dalam industri seni tempatan. “Kami percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hit yang telah dirakamkan Jamal Abdillah sejak awal pembabitan sehingga kini, penganjuran Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat.
“Sementelah ini adalah pertama kali Jamal Abdillah beraksi di panggung Zepp Kuala Lumpur secara solo dan suasana yang lebih intim ini akan mencipta momen tersendiri buat penghibur kesayangan ramai ini dan peminatnya,”ujar Edy dari Live Injection.
Bagi Jamal Abdillah meski sudah ribuan kali membuat persembahan bukan bermaksud beliau boleh sambil lewa dan berasa tanggungjawab yang diberikan penganjur sesuatu yang ‘ringan’ hanya kerana telah memiliki segudang pengalaman.
Sebaliknya, setiap kali dilamar terbabit dalam persembahan apalagi berskala besar seperti Konsert, beliau akan sentiasa ‘melakukan kerja sekolah’ demi menhadirkan persembahan terbaik.
Berbekalkan lagu-lagu nostalgia yang cukup pekat di ingatan dan ‘sing along’ seperti Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Kekasih Awal Dan Akhir, Sepi Seorang Perindu serta Di Sudut Kamar Hatiku, Jamal Abdillah tidak memerlukan lebih banyak bukti untuk dijadikan daya penarik ke konsert tersebut.
“Memang Konsert Dato Jamal Abdillah akan menjadi siri persembahan skala besar dari saya sekali lagi sebagai penghibur namun peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu.
“Harapan saya peminat yang tahu mengenai penganjuran Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur, 15 Februari 2025 datang beramai-ramai ke konsert ini. “Kenapa kena hadir? Kerana ia akan menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi lalu dinikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti,”ujar JamalAbdillah.
Untuk peminat dan pengikut setia Dato’ Jamal Abdillah, hadir ke Zepp malam itu nanti dengan berpakaian era 80’an kerana itu tema pakaian yang ditetapkan untuk malam itu. Semoga kita semua hadir bukan hanya dengan memori zaman 80an tetapi juga jiwa segar di tahun-tahun itu!
Untuk mengetahui keunikan dan kelainan yang bakal ditonjolkan pada Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, peminat boleh membeli tiket pada kategori berbeza bermula harga RM 360 (CAT 04), RM 380 (CAT 03), RM 340(CAT2),RM 395 (CAT1), RM7,500 (VIP BOX-8orang).
Pembelian boleh dibuat melalui atas talian menerusi TICKET2U.COM.Dan untuk maklumatlanjut, sila layari www.live-injection.com atau email hello@live-injection.com.