Anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneur 2024 (100MYE), Shangri-La Kuala Lumpur
Anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneur 2024 (100MYE), Shangri-La Kuala Lumpur.
Memasuki tahun kesembilan penganjuran The 100 Most Influential Young Entrepreneur 2024 (100MYE), Pengerusinya, Datuk KK Chua mahu meletakkan kejayaan usahawan muda pada tahap lebih tinggi untuk berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar.
Menurutnya, meskipun laporan ekonomi negara menunjukkan aliran pertumbuhan ekonomi semakin positif, mereka mesti terus berusaha dan bekerja keras bagi memaju kejayaan perniagaan dan mengambil setiap rintangan sebagai pemangkin semangat.
Tahun ini 100MYE berkonsepkan ‘Evolve’ dengan harapan setiap usahawan terus melakukan perubahan.
“Jika mereka boleh melakukan penambahbaikan dalam kepimpinan, pengurusan dan strategi perniagaan sebanyak satu persen setiap hari dalam masa setahun, keputusannya mereka akan dapat 37 kali lebih baik daripada titik awal mereka bermula.
“Pelbagai cara pemasaran yang ada hari ini memberi ruang yang sangat besar kepada para usahawan untuk membawa perniagaan mereka sehingga ke peringkat global.
“Mereka mesti manfaatkan kecanggihan teknologi pemasaran hari ini seperti Tik Tok dan sebagainya. Usahawan muda hari ini sangat kreatif dan mampu merangka strategi jualan di ‘luar kotak’, kata Datuk KK Chua.
Beliau berbangga dengan penganjuran 100MYE kerana ia menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh usahawan. Bahkan ada yang bekerja keras sepanjang tahun bertujuan untuk melayakkan perniagaan dapat dicalonkan dalam anugerah berprestij itu dan seterusnya terpilih dalam kelompok 100 terbaik.
“Bagi mereka anugerah yang diterima itu bukan hanya kemenangan peribadi tetapi ia menjadi penanda aras kejayaan perniagaan mereka dan peluang bersemuka dengan usahawan lain pada malam anugerah itu mencetuskan lagi persaingan yang sihat dalam perniagaan masing-masing.
“Saya lihat semangat usahawan muda untuk berjaya sangat luar biasa dan tahun ini penyertaan terus bertambah apabila kami menerima lebih dari 950 pencalonan,” katanya.
Kriteria kelayakan pencalonan 100 MIYE adalah calon terbuka lelaki atau perempuan yang berumur di bawah 45 tahun, berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan, berada dalam pengurusan syarikat minimum selama dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat. Selain itu, perolehan tahunan syarikat pula adalah sebanyak RM3 juta dan ke atas selama tiga tahun berturut-turut.
Datuk KK Chua menjelaskan, pencalonan dibahagikan kepada 15 kategori dan antaranya terdiri daripada perkilangan, perkhidmatan serta pembuatan. 100 MYE adalah anjuran Entrepreneur Insight terbitan Armani Media Group Berhad