Filem Adaptasi Novel, “Mereka Yang Tertewas,” Di Pawagam Pada 7 November 2024
Filem Adaptasi Novel, “Mereka Yang Tertewas,” Di Pawagam Pada 7 November 2024
Filem MEREKA YANG TERTEWAS Adaptasi Novel ‘Mereka Yang Tertewas’ karya Hasanuddin Md Isa. Filem arahan: Dato' Zulkeflie M.Osman adalah sebuah karya yang di nanti-nantikan terutamanya pelajar-pelajar sastera SPM sekitar tahun 90an.
Filem dari pengarah tersohor, Rosnan Md Shah, filem ini dijangka menyentuh hati penonton dengan mengupas isu perjuangan keagamaan, kemasyarakatan, serta cabaran dalam usaha menegakkan syiar Islam.
Filem “Mereka Yang Tertewas” mengetengahkan sebuah cerita yang lebih berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa dari Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah. Tapa mengembara mencari penghidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya.
Tapa berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah anak murid tok gurunya serta menyebarkan syiar Islam. Kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut.
Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anakanak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat. Usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Pudin. Puat, Mat Yasin dan Tohmahan demi tohmahan dilemparkan kepada Lebai Pa sebagai usaha untuk menggagalkan hasratnya menyebarkan agama tetapi pegangan hidup Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. dalam menyebarkan agama menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar.
Akhirnya Lebai Pa mampu mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam dan sedar atas kesalahan yang pernah mereka lakukan ke atas Lebai Pa.
Filem turut dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Fiza Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Adam Shahz, dan Mubarak Majid. Turut tampil adalah Dato’ ilal Azman, yang bersama-sama membawakan watak-watak penduduk kampung.
“Mereka Yang Tertewas” diterbitkan oleh Tujuh Pelangi Maju Sdn Bhd dengan sokongan produksi oleh FZ Amal, di bawah pengawasan pengarah seni Paklong Zam. Sinematografer berbakat, Mawi Arwi, membawa suasana kampung ke layar, memperlihatkan keindahan desa yang bersesuaian dengan tema cerita. Penata muzik, Aleya, serta penata suara Suhaimi, turut memberikan sentuhan khusus, yang pastinya mampu membangkitkan emosi penonton.
Persediaan filem lebih 3 bulan dan penggambaran 20 hari yang menelan kos sebanyak RM700 ribu. Penggambaran dijalankan di Kuantan, Raub dan Temerloh.
Menariknya, Mereka Yang Tertewas telah meraih perhatian pada peringkat antarabangsa apabila tercalon di beberapa festival filem, termasuk Cannes World Film Festival, Amigo Blue Film Festival, dan Kuala Lumpur International Film Festival. Ini menunjukkan bahawa naskhah Islamik dari Malaysia mampu menarik minat para penonton luar negara serta bersaing dalam arena perfileman dunia.
Tayangan perdana dijadualkan pada 7 November 2024 dan akan diedarkan secara rasmi oleh MegaMovie ke pawagam seluruh negara.
Mereka Yang Tertewas diharap akan menjadi inspirasi bagi penonton dan memberi nilai-nilai positif kepada masyarakat.Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan filem ini di pawagam berhampiran.