DPDDM dan INSKEN ingin membantu usahawan-usahawan
DPDDM dan INSKEN ingin membantu usahawan-usahawan.
Maya Karin Penerima Anugerah Usahawan Madani Bersama Selebriti Negara Yang Lain.
Anugerah Usahawan Madani 2024, sebuah acara yang meraikan 60 tokoh keusahawanan negara dari pelbagai bidang. Anugerah anjuran Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Presiden DPDDM, Datuk Seri Nor Hasnal bin Hashmi berkata, Anugerah Madani ini adalah inisiatif pertama bersama INSKEN yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara usahawan-usahawan di seluruh negara.
“Anugerah ini diberikan berdasarkan kapasiti dan pencapaian yang telah kami analisis sepanjang tahun 2024. Ia merangkumi pelbagai kepakaran, daripada golongan profesional sehingga separa mahir, untuk memberikan galakan dan inspirasi kepada generasi baru,” katanya lagi.
Nor Hasnal turut menyatakan bahawa DPDDM menyasarkan untuk melahirkan 1000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang melalui pelbagai kaedah dan platform yang telah dirancang.
Turut hadir duta Rusia di Malaysia dan usahawan-usahawan dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura serta Tan Sri Syed Mohd Yusuf Tun Syed Nasir (Penasihat Korporat DPDDM) dan YM Tengku Dato Dr. Hismuddin Zaizi (Penasihat Utama DPDDM).
Pada majlis tersebut beberapa artis turut menerima Anugerah Usahawan Madani & Selebriti Negara. Antara penerima Anugerah Madani dan selebriti negara, Maya Karin, Datuk Ifa Raziah, Datuk N.D.Lala, Poey Sting, Keena Mentor, Halim Othman, Datuk Ayu Putih, Nazeera Sardi, Datuk Malek Reduan, Datin Ira Ghani dan lain-lain lagi.
"Maya Karin turut rasa gembira dan tidak sangka dirinya sebagai artis dan usahawan dihargai bersama kalangan artis-artis yang lain, menerima Anugerah Usahawan Madani", kata Maya Karin.
Dalam pada itu Nor Hasnal turut berkongsi perancangan masa depan DPDDM yang akan bekerjasama dengan syarikat Usahacaya Urus Sdn Bhd untuk melaksanakan beberapa projek.
“Ada dua Projek Usahawan Vending Machines DPDDM akan melibatkan 1000 usahawan, termasuk ahli-ahli dan golongan B40 untuk menyertai projek ini. Pembiayaan akan disediakan oleh DPDDM bagi membasmi kemiskinan serta meningkatkan pendapatan golongan B40.
“Bagi Projek Usahawan Agro Tani, DPDDM akan membuka peluang kepada ahli-ahli untuk menyertai latihan bersama INSKEN bagi mengusahakan tanaman Halia Bentong melalui kaedah kontrak pertanian. Sebagai permulaan kawasan pertanian seluas 100 hektar, dikenali sebagai Halia City akan diwujudkan.
Tapak ini akan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) terkini bagi meningkatkan hasil tanaman dan memberi pulangan lumayan kepada para peserta,” ujarnya yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pengeluaran halia yang dinamakan Halia Emas.
Projek-projek ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menyahut seruan kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan dan membangunkan ekonomi usahawan tempatan.