Terkini | New

Insaf Malaysia Kembali Dengan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga

Insaf Malaysia Kembali Dengan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga.


Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2009, kini kembali meneruskan usaha murni melalui Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga (SBSK). Program ini menyasarkan golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, serta rumah kebajikan di seluruh negara.

Sejak penubuhannya, Insaf Malaysia yang kini berusia 16 tahun telah berjaya membantu lebih 431 rumah kebajikan dan 1,309 murid sekolah. Menurut Presiden dan Pengasasnya, Ishak Abdul Kadir, Program SBSK ini bermula secara kecil-kecilan sebelum ini, namun selepas pandemik COVID-19, program ini terpaksa dihentikan sementara waktu.

"Beberapa tahun sebelum pandemik, Insaf Malaysia berjaya mengumpul 15 tan beras. Namun, selepas pandemik melanda, kami tidak dapat meneruskan program ini. Walaupun begitu, kami mula melaksanakannya kembali secara kecil-kecilan tahun lalu, dan kini kami bercadang untuk memperluaskan kutipan beras pada tahun ini," kata Ishak.

Objektif Program SBSK

Ishak menjelaskan bahawa objektif utama SBSK adalah untuk membahagikan kutipan beras kepada tiga kelompok sasaran utama. Satu pertiga dari beras akan disalurkan kepada program Dapur Insaf, satu pertiga lagi untuk sekolah, dan satu pertiga bagi membantu golongan OKU, warga emas, dan rumah kebajikan lain.

Dapur Insaf adalah inisiatif untuk menyediakan makan tengah hari kepada 200 hingga 250 murid anak-anak yatim di sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur, Setiawangsa, Gombak, Ampang dan Pandan. Selain itu, Dapur Insaf juga beroperasi di Pulau Pinang, yang telah dilaksanakan sejak 4-5 tahun yang lalu. Setiap hari, Dapur Insaf menyediakan hidangan untuk sekitar 750 orang di lokasi-lokasi ini.

Bantuan kepada Sekolah dan Komuniti

Selain menyediakan makan tengah hari, Program SBSK juga memberikan bantuan barangan makanan seperti beras (10 kg), minyak masak, dan kicap kepada sekolah-sekolah terpilih. Ishak turut menambah, beras kini semakin sukar didapati, dan banyak keluarga yang berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan beras yang mencukupi.

"Kami berharap dapat menggandakan kutipan tahun ini menjadi 30 tan, yang mana akan disalurkan kepada tiga dapur kami di Selangor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang. Kami juga telah menyediakan tiga pusat kutipan beras di Taman Seputeh, Taman Setiawangsa, dan Perda, Pulau Pinang," ujar Ishak.

Kemudahan Penyumbang

Bagi memudahkan penyumbang, Insaf Malaysia turut memperkenalkan sistem pemindahan wang melalui QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090). Semua kutipan akan dicatat dengan teliti kerana Insaf Malaysia adalah sebuah NGO yang mempunyai pelepasan cukai dan menjalankan audit bagi memastikan ketelusan dalam setiap aktiviti.

"Kami juga menggalakkan penyumbang untuk membawa beras dengan berat 5 kilogram, kerana ia lebih efisien dan membolehkan kami memberi bantuan kepada lebih ramai orang. Sebagai contoh, dengan 10 kilogram beras, hanya 10 orang yang boleh dibantu, tetapi dengan 5 kilogram, kami dapat membantu 20 orang," tambah Ishak.

Kerjasama dengan IRAMA

Selain itu, Insaf Malaysia juga merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) untuk membantu golongan masyarakat, termasuk penggiat seni. Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani, Insaf Malaysia akan menyumbang sekitar 40 hingga 50 kampit beras untuk diagihkan kepada golongan sasaran.

Program SBSK, termasuk inisiatif Dapur Insaf, biasanya dijalankan pada bulan Rejab, Syaaban, dan Ramadan setiap tahun. Namun, kutipan beras dan bantuan akan terus dilakukan sepanjang tahun, walaupun lebih banyak perhatian diberikan menjelang bulan Ramadan.

"Sebelum pandemik, kalendar aktiviti kami sangat aktif, dengan lebih 99.9% aktiviti yang dilakukan adalah berkaitan kebajikan, termasuk program di sekolah-sekolah dan untuk golongan Orang Asal," kata Ishak.

Dengan sokongan semua pihak, Insaf Malaysia berharap dapat meneruskan misi mereka untuk membantu golongan yang memerlukan, memastikan tiada yang terpinggir dalam masyarakat.