KRU Cetak Sejarah Industri Hiburan Konsert Genkru Jadi 3 Hari.
KRU Cetak Sejarah Industri Hiburan Konsert Genkru Jadi 3 Hari.
KRU mencetak bukan hanya rekod peribadi tetapi sejarah industri hiburan tanah air saat tahun 2025 dibuka apabila KONSERT GENKRU bukan dilaksanakan sehari atau dua tetapi tiga hari. Betapa besar empayar dan pengaruh yang pernah dan masih lagi dimiliki KRU atau Kumpulan Rap Unggul ini melangkaui generasi dan peminat muzik sejak penubuhannya pada 1992.
Itu juga menjadi nyata KRU sebagai sebuah trio legenda tanah air yang tidak boleh dinafikan apabila agenda melaksanakan KONSERT GENKRU yang dijadualkan pada 3 Mei 2025 ditambah menjadi dua hari kerana sambutan hangat. Manakan tidak, penjualan tiket untuk konsert hari pertama langsai dalam masa satu jam manakala penjualan hari kedua habis dalam masa 45 minit sahaja!
Dan setelah pihak penganjur, ICON ENTERTAINMENT menunaikan impian peminat yang ‘tewas berperang’ sewaktu mendapatkan tiket pada malam pertama kepada penganjuran malam kedua iaitu 4 Mei 2025 nampaknya ia masih belum menghentikan mereka untuk memburu peluang lolos menjadi salah seorang saksi hidup KONSERT GENKRU di AXIATA ARENA.
Demi memenuhi hajat peminat, penganjur bersama anggota KRU iaitu Dato’ Norman, Datuk Yusry dan Edry sebulat suara menganjurkan sehari lagi menjadikan KONSERT GENKRU pada 10 MEI 2025.
Keputusan menjadikan KONSERT GENKRU tiga hari juga adalah sebuah sejarah baharu yang wajar dibanggakan oleh bintang tempatan apabila kebayakannya hanya mengadakan konsert selama dua hari.
“Dengan pertimbangan yang cukup berhati-hati dan persetujuan yang diperoleh daripada KRU maka 10 MEI 2025 dipilih sebagai tarikh yang sesuai buat KONSERT GENKRU hari ketiga dilaksanakan selepas dua hari dijayakan pada 3 dan 4 MEI 2025. Keputusan menambah hari konsert menjadi tiga hari adalah kerana melihat antusias dan permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan peminat selepas ada yang gagal mendapatkan tiket pada hari pertama dan hari kedua.
“Penganjuran hari ketiga iaitu pada 10 MEI 2025 bukan bersifat opurtunis sebaliknya KRU tidak mahu menghampakan harapan peminat dan KRU juga ingin membuktikan bahawa pemuzik tempatan juga mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar terhadap pasaran sendiri. Berjaya melakukan konsert berskala besar untuk tiga malam merupakan satu penghormatan untuk artis tempatan kita,” ujar Pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang.
Iman turut memaklumkan pemilihan hari konsert ketiga yang tidak dilaksanakan berturut-turut adalah bersangkutan dengan perkara teknikal selain memberi pihak penganjur dan KRU sendiri menyusun semula jadual yang sebelum ini telah diisi dengan agenda lain.
“Kenapa 10 MEI 2025 dan bukan dilakukan selepas konsert hari kedua iaitu 4 MEI 2025 adalah kerana jadual atau tarikh itu sesuai serta dipersetujui KRU sendiri,” tambah Iman.
Penganjuran Konsert GENKRU di Axiata Arena yang bakal berlansung pada 3, 4 dan 10 MEI 2024 ini menyaksikan penampilan sulung KRU selepas enam tahun.
Tiket untuk Konsert GENKRU boleh didapati melalui laman www.ticket2u.com.my/kru3 harga bermula dengan kategori dan harga: reKRUed – RM258, Canggih – RM358, Relax – RM478, Kaset – RM508, KRUjaan – RM548 dan KRUnisme – RM588.
Untuk pemegang kad Maybank (MAYBANK CARDMEMBERS), pra-jualan tiket dibuka pada 7 Januari 2025 (Selasa sahaja) dari pukul 11 pagi.
Tiket untuk umum pula akan mula dijual pada hari Rabu, 8 Januari 2025, pada pukul 3 petang.