Terkini | New

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Bersama Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) Berbincang Berhubung Dengan Kekurangan Pekerja

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Bersama Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) Berbincang Berhubung Dengan Kekurangan Pekerja


Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengusaha restoran Muslim atau yang lebih dikenali sebagai restoran nasi kandar manakala PRIMAS mewakili pengusaha restoran India yang terkenal dengan nasi daun pisangnya, kedua-duanya di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Jumlah restoran yang besar itu pastinya memerlukan tenaga pekerja yang ramai dan ini tidak dapat dipenuhi dengan pekerja tempatan. Pekerja tempatan lebih suka melakukan kerja dalam bidang lain menyebabkan kami terpaksa bergantung pada tenaga kerja asing.



Keadaan menjadi lebih meruncing apabila terdapat arahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membuat keputusan untuk menghentikan pengambilan pekerja asing dengan serta-merta pada Mac 2024, yang sekali gus menjejaskan hampir seluruh industri termasuk perniagaan restoran di negara ini.

Justeru PRESMA dan PRIMAS dengan ini merayu kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat memberi beberapa kelonggaran kepada kami untuk membawa masuk pekerja asing bagi menampung kira-kira 25,000 kekurangan pekerja setakat ini dengan mengambil beberapa langkah yang berikut:


1. Memperkenalkan semula dasar ‘Gantian Pekerja’ iaitu membenarkan kami mengambil pekerja baharu berdasarkan ‘Checked-Out Memo’ di kaunter keluar Imigresen, bagi menggantikan pekerja yang telah pulang ke negara asal, Dasar ‘Gantian Pekerja’ ini pernah diamalkan sebelum ini tetapi telah dihentikan oleh kerajaan yang terdahulu.

PRESMA dan PRIMAS yakin permohonan baharu untuk pekerja asing akan dapat dikurangkan sekiranya KDN memperkenalkan semula dasar ‘Gantian Pekerja’ ini.

2. Kami juga ingin merayu agar kerajaan menimbang untuk menganjakkan had umur pekerja daripada 18 tahun hingga 45 tahun, kepada 18 tahun hingga 60 tahun. Ini kerana kebanyakan pekerja kami masih sihat dan didapati berupaya untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik walaupun telah menjangkau usia melebihi 45 tahun.

3. Kami juga ingin merayu kepada kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan sistem levi berperingkat (multi-tier levy system) sehingga kekurangan tenaga kerja dapat diselesaikan dan keadaan ekonomi lebih stabil.

Sistem levi berperingkat akan meningkatkan kos pengambilan pekerja asing khususnya bagi industri kecil seperti industri restoran. Peningkatan kos operasi boleh menyebabkan kenaikan harga makanan sekali gus membebankan pengguna.


Presiden : DATO’ HAJI JAWAHAR ALI BIN TAIB KHAN
Presiden : DATO J’GOVINDASAMY @ SURESH


PRESMA DAN PRIMAS berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan kami kerana industri restoran di Malaysia amat bergantung kepada tenaga kerja yang mencukupi bagi kelangsungan perniagaan setiap hari terutama di restoran yang menjalankan operasi selama 24 jam.