Terkini | New

Alibaba Cloud Perkenal Tawaran AI Terbaharu untuk Memajukan Agenda AI Malaysia

Alibaba Cloud Perkenal Tawaran AI Terbaharu untuk Memajukan Agenda AI Malaysia

Kemajuan AI terkini termasuk infrastruktur generasi baharu, multimod AI dan penyelesaian perniagaan yang direka untuk memacu kecekapan dan keupayaan skala. Kolaborasi dengan penggiat industri utama dan inisiatif pemerkasaan dilancar untuk menggalakkan inovasi dan pembangunan kemahiran AI tempatan.


Alibaba Cloud, tulang belakang teknologi digital dan kecerdasan Alibaba Group, telah memperkenalkan model, penyelesaian dan penawaran infrastruktur AI yang dipertingkatkan serta program pemerkasaan AI pada Hari Teknologi AI sulungnya di Malaysia hari ini. Kemajuan-kemajuan ini bertujuan untuk memperkasakan perniagaan dan pemaju teknologi di negara ini untuk membina aplikasi AI yang inovatif dengan lebih berkesan daripada aspek kos, di samping memacu perkembangan ekosistem AI generatif di rantau ini.



Acara ini, yang dirasmikan oleh YB Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Digital, juga menandakan pengumuman kerjasama utama Alibaba Cloud dengan perniagaan dan organisasi terkemuka di Malaysia termasuk unit inovasi kecerdasan buatan (AI) YTL Power International Bhd, YTL AI Labs, syarikat pengurusan dana, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan penyedia perkhidmatan pemasaran digital Malaysia, HiSEVEN. Jalinan kerjasama ini memperkukuhkan peranan Alibaba Cloud sebagai rakan teknologi yang dipercayai dalam ekosistem AI negara.

Dalam ucapannya, Timbalan Menteri menghargai semangat kerjasama dengan menyatakan, “Malaysia komited untuk memanfaatkan AI bagi transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi. Dengan inisiatif seperti kemajuan AI Alibaba Cloud dan kerjasama industri, kita dapat memperkukuh ekosistem AI serta memperkasakan perniagaan tempatan. Bersama-sama, kita boleh membina Malaysia yang bukan sekadar peserta, tetapi peneraju dalam ekonomi digital global—yang inovatif, inklusif, dan makmur.”



“Di Alibaba Cloud, kami komited untuk memacu inovasi AI di Malaysia dengan menyediakan model-model berteknologi terkini, infrastruktur yang berdaya skala dan sokongan khusus untuk pelanggan, rakan niaga dan pemaju. Kemajuan terbaharu kami ini akan memperkasakan bakat-bakat dan bisnes tempatan untuk mempertingkatkan kecekapan, skala aplikasi AI dan menyumbang kepada masa depan digital Malaysia yang dikuasakan oleh AI,” kata Kun Huang, Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence di Malaysia.


Pengkomputeran dan Infrastruktur AI Generasi Baharu. Untuk menyokong kehendak AI yang kian meningkat, Alibaba Cloud telah mengumumkan pengenalan global Elastic Compute Service (ECS) Perniagaan Generasi ke-9 yang dijadualkan tersedia di Malaysia menjelang pertengahan 2025.

Generasi ECS terbaharu ini menampilkan peningkatan prestasi yang lebih ketara berbanding lelaran sebelum termasuk kenaikan 20% dalam keberkesanan pengkomputeran. Selain itu, dengan mempercepatkan rangkaian menerusi eRDMA (Akses Memori Langsung Kawalan Jauh Elastik atau elastic Remote Direct Memory Access), prestasinya dalam menyokong pengkomputeran prestasi tinggi, dan pengesyoran pencarian serta keupayaan pangkalan data Redis yang dipertingkatkan sehingga 50%.


Model AI Berteknologi Terkini dan Keupayaan Multimod – Alibaba Cloud memperkenalkan siri Qwen2.5, generasi terbaharu model bahasa besar (LLM), disediakan dalam saiz parameter di antara 7 bilion sehingga 72 bilion. Model-model ini kini boleh didapati menerusi API dalam platform pembangunan AI generatifnya, Model Studio yang membolehkan perniagaan dan pemaju teknologi untuk membina dan memperkenalkan aplikasi AI secara efisien merentasi industri, termasuk daripada sektor kewangan dan peruncitan ke penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Alibaba Cloud telah memperkenalkan model bahasa visual terkini, Qwen2.5-VL, mewakili penambahan signifikan berbanding model terdahulu, Qwen2-VL. Model sumber terbuka, multimod ini ditawarkan dalam pelbagai saiz, daripada parameter 3 bilion, 7 bilion sehingga ke 72 bilion, serta melibatkan kedua-dua versi asas dan yang disesuaikan dengan arahan. Model utama, Qwen2.5-VL-72B-Instruct, kini boleh didapati menerusi platform Qwen Chat, sementara keseluruhan siri Qwen2.5-VL boleh didapati di Hugging Face dan komuniti sumber terbuka Alibaba, Model Scope.




Untuk terus menyokong pemaju teknologi, Alibaba Cloud turut melancarkan pembantu pengekodan berkuasa AI miliknya, yang akan tersedia untuk pembangun pada Mac 2025. Pemprogram AI tersebut menawarkan ciri-ciri seperti pelengkap dan pengoptimuman kod, bantuan menyah pepijat, pencarian cebisan kod dan penjanaan ujian unit kumpulan. Ia menyediakan pemaju pengalaman pengekodan yang efisien dan lancar, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kreativiti mereka secara ketara.

Penyelesaian AI untuk Kegunaan Perniagaan dan Perusahaan – Penyelesaian berpacukan AI Alibaba Cloud direka untuk membantu perniagaan meningkatkan keberkesanan operasi, hubungan bersama pelanggan dan mendayakan transformasi digital. Antara penawaran terbaharunya:

● AI Doc: Alat pemprosesan dokumen pintar yang direka untuk membantu perusahaan mengendali dan menggunakan pengetahuan mereka dengan lebih efisien dan anjal, di samping menguruskan kos dengan lebih berkesan. Alat ini membantu pengguna mengubah dokumen tidak berstruktur kepada data berstruktur, memperkemas sistem alir kerja dan mengurangkan kos operasi. Ia memanfaatkan LLM untuk menyediakan pelbagai fungsi termasuk penghuraian dokumen, pengekstrakan kandungan teras, soalan dan jawapan berasaskan pengetahuan, perbandingan kandungan dan penghasilan laporan.

● Voice Insight: Alat analisis dan pengecaman suara pelbagai bahasa yang meningkatkan kualiti pemeriksaan, interaksi pelanggan dan pemantauan perkhidmatan menggunakan analisis audio dan video yang berpandukan AI.

● Smart Studio: Platform penghasilan kandungan generasi baharu yang dikuasai AI, membolehkan aplikasi teksi-ke-imej dan teks-ke-video yang lancar bagi mempertingkatkan output pemasaran dan kreatif.

● SmartQ: Modul analisis data berpacukan AI, Quick BI, yang merupakan platform penyelesaian Kecerdasan Perniagaan (BI) Alibaba Cloud. Dikuasai oleh LLM proprietari Alibaba Cloud, Qwen, penyelesaian BI berasaskan chat yang inovatif ini membolehkan pengguna bukan teknikal untuk menjana pandangan dengan hanya bertanya dalam bahasa biasa, seterusnya meringkaskan pengalaman analitik perusahaan.



Memacu Inovasi AI Menerusi Kolaborasi Strategik

Alibaba Cloud memperkukuhkan ekosistem AI Malaysia dengan menjalin kerjasama penting. Usaha ini turut mempamerkan keselamatan dan manfaat penyelesaian AInya dalam senario sebenar.

● YTL AI Labs: Alibaba Cloud bekerjasama dengan unit inovasi kecerdasan buatan (AI) YTL Power International Bhd, YTL AI Labs, untuk menyokong usaha penyelidikan dan pelaksanaan AInya. YTL AI Labs telah bekerjasama dengan saintis dan arkitek AI Alibaba Cloud untuk melaksanakan beberapa penyelesaiannya, termasuk pembinaan Ilmu 0.1, yang telah mencapai penanda aras prestasi yang ketara dalam aspek Pemahaman Bahasa Melayu Berbilang Tugas (MMLU). Sejak September 2024, YTL AI Labs telah membangunkan teknologi berasaskan infrastruktur canggih Alibaba Cloud untuk memperhalusi modelnya dengan inisiatif-inisiatif AI semasa seperti papan pemuka AI dan pengesanan aksara optik (OCR) AI. Kolaborasi ini menekankan peranan Alibaba Cloud dalam ekosistem AI Malaysia, khususnya dalam aplikasi AI berasaskan bahasa.

“Kerjasama kami bersama Alibaba Cloud telah membolehkan kami mempercepat penyelidikan dan pembangunan AI, khasnya dalam memajukan model-model AI bahasa Melayu. Dengan bersandarkan infrastruktur dan keupayaan AI Alibaba Cloud, kami mengorak langkah yang signifikan dalam mewujudkan penyelesaian AI dengan elemen tempatan yang memenuhi landskap digital negara,” kata Foong Chee Mun, Ketua Pegawai Eksekutif, YTL AI Labs.

● Permodalan Nasional Berhad (PNB): Alibaba Cloud juga mengumumkan kerjasama lanjutan dengan PNB menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU). Kedua-dua pihak bermatlamat untuk bekerjasama dalam memanfaatkan teknologi AI termaju Alibaba Cloud bagi meningkatkan keberkesanan operasi, proses membuat keputusan, serta sokongan pelanggan untuk PNB. Inisiatif-inisiatif utama termasuk penubuhan sebuah Makmal AI untuk memacu perjalanan AI PNB, yang merangkumi pelbagai penggunaan kes untuk diterokai pada tahun 2025. Ia termasuk alat visual data pelaburan, laporan analisis dalaman automatik dan ejen penasihat pelaburan yang dikuasai Model Bahasa Luas (LLM). Dengan menggunakan inovasi-inovasi ini, kerjasama antara Alibaba Cloud dan PNB dijangka dapat memperkemaskan pengurusan dana dan penilaian pelaburan, pada masa sama memastikan keselamatan dan pematuhan data, sekali gus memberi manfaat kepada pihak berkepentingan PNB serta meningkatkan pengalaman pelanggan yang menyeluruh.

“Alibaba Cloud telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan operasi digital runcit dan pengedaran yang berorientasikan pelanggan. Di PNB, kami komited untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan melalui penyelesaian yang berskala dan berdaya tahan, amalan pengurusan risiko teknologi yang kukuh, serta penerapan teknologi baharu strategik seperti AI Generatif,” kata Dato’ Rick Ramli, Timbalan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, PNB.

● HiSEVEN: Alibaba Cloud telah mengumumkan kerjasama yang diperkukuhkan dengan HiSEVEN, penyedia perkhidmatan pemasaran digital di Malaysia, melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) semasa acara tersebut. Dengan memanfaatkan teknologi canggih Alibaba Cloud dalam AI dan pengkomputeran awan, kerjasama ini bertujuan untuk menyokong HiSEVEN dalam meningkatkan penyelesaian pemasaran berasaskan AI, mempromosikan aplikasi AI yang standard, serta meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.



“Kerjasama ini akan membolehkan HiSEVEN dan Alibaba Cloud untuk terus menembusi sektor pemasaran dengan menggunakan teknologi canggih bagi menawarkan jenama alat pemasaran yang lebih pintar dan cekap serta sokongan strategik. HiSEVEN terus komited terhadap pembangunan dan pengoptimuman produk, meningkatkan kualiti perkhidmatan, serta membantu jenama mencapai kejayaan yang lebih besar di pasaran global,” kata Jason Lin, Ketua Pegawai Eksekutif, HiSEVEN.



Sebagai tambahan, bagi mempercepatkan lagi inovasi AI tempatan dan pembangunan bakat di rantau ini, penyedia perkhidmatan awan terkemuka ini telah melancarkan Alibaba Cloud Malaysia AI Hackathon yang julung kali diadakan, dengan kerjasama pakar penyelesaian digital Malaysia, Agmo Holdings Berhad, semasa acara tersebut. Hackathon ini mengundang pereka, pembangun, dan peminat teknologi di rantau ini untuk bekerjasama, mencipta, dan mempamerkan kepakaran mereka dalam AI. Program ini akan dibuka untuk pendaftaran tempatan dari 27 Februari hingga 30 April 2025, memberikan peluang kepada bakat tempatan untuk memanfaatkan teknologi AI terkini dan bersaing di peringkat global.